Sinopsis
Faizal. Lelaki yang berkali-kali gagal
bercinta. Baginya wanita merimaskan. Dia mahu hidup sendiri. Lebih tenang.
Lebih tenteram. Tapi dia anak tunggal, ibu bapa yang semakin menginjak usia
begitu mendesak mahukan menantu. Faizal diburu resah. Lebih-lebih lagi bapanya
sudah terlalu uzur dan sering di masukkan ke hospital. Faizal fikir dia perlu
juga menunaikan hasrat kedua ibu bapanya itu.
Dalam keserabutan itu dia bertemu Amira. Gadis
naif yang anti sosial. Amira yang tidak percaya pada perkahwinan. Amira yang
tidak pernah bercinta. Malah Amira yang tidak pernah bersahabat baik dengan lelaki.
Faizal melamar. Lamaran yang tiba-tiba
membuatkan Amira merasa sedikit aneh. Mana mungkin untuk dia menerima sedang
mereka tidak begitu mengenali. Lalu mula diatur temujanji. Temujanji untuk
mereka lebih mengenal. Supaya mereka bisa mengatur rancangan masa depan. Walau
Amira masih ragu dan Faizal sendiri tidak pasti. Mereka memulakan persahabatan
yang dijalin melalui temujanji setiap Jumaat malam.