"Amira, terima kasih," Amira yang sedang mendongak
ke langit memandang ke sisi. Faizal yang berdiri di sisi pangkin di hadapan
rumah orang tua Faizal tersenyum merenung wajah tenang Amira. Amira kembali
mendongak ke langit. Langit di desa memang berbeza dengan di kota. Bintang yang
kelihatan, luar biasa bilangannya. Amira sukakan bintang. Sejak kecil lagi. Ya,
perkahwinan ini sebenarnya banyak menghasilkan bahagia sebenarnya. Ibu bapa
Faizal, keluarganya semua gembira dengan perkahwinan. Semuanya tidak
putus-putus mendoakan kebahagiaan mereka.
Sekarang ini juga dia bahagia menatap langit yang indah
dihiasi kelipan bintang yang tidak mungkin dia peroleh jika di Kuala Lumpur.
Setakat ini, semuanya membahagiakan walau perkahwinan tiba-tiba menimbulkan isu
yang kelam-kabut dan menyesakkan fikirannya buat seketika. Bila diselesaikan
satu persatu kekusutan, segalanya boleh diselesaikan. Terkenang wajah gembira
ibu dan ayah Faizal yang menyambut mesra mereka bila tiba. Ayah Faizal juga
beransur sihat. Jika perkahwinan ini benar-benar membahagiakan ramai pihak,
mengapa dia memilih untuk berduka dan merunsingkan fikiran dengan pelbagai
andaian. Amira mengukir senyuman.
Senyuman Amira ketika mendongakkan kepala menatap langit
sangat indah. Senyuman yang Faizal rindukan bebarapa ketika. Adakah Amira sudah
boleh menerima perkahwinan ini?
"Cantikkan langit?" Amira masih merenung langit.
Faizal mengangguk sambil matanya menatap wajah Amira yang tersenyum berseri.
"Ya, sangat cantik," Faizal membalas perlahan.
Amira menoleh ke arah Faizal di sisi. Pandangan Faizal masih melekap di
wajahnya. Amira mengerutkan dahi.
"Kenapa?" soal Amira bila Faizal masih tetap
merenunngnya. Faizal tersedar dan mengalihkan pandangan.
"Terima kasih sebab terima pinangan ibu, sanggup pulang
ke sini dan layan ibu dan ayah saya dengan baik," Faizal meluahkan bicara.
Amira tersenyum.
"Lagi?" Amira menjeling Faizal meminta ucapan
penghargaan tidak berakhir lagi.
"Terima kasih sebab bersusah payah dalam seminggu
uruskan urusan pendaftaran kita," Faizal menyambung perlahan.
"Lagi?" Amira masih tidak mahu mengalah.
"Erm, minta maaf sebab paksa awak kahwin dengan
saya," suara Faizal makin perlahan.
"Itu je? Lagi?" Amira memandang Faizal di sisi
dengan ekor mata. Faizal mula resah, apa lagi yang perlu diucapkannya.
"Erm, sebagai balasan, saya akan tunaikan semua
permintaan awak," Faizal menambah, kali ini bicaranya yakin.
"Hmm, kalau macam tu, saya nak.... " Amira
memandang ke hadapan sambil menutur bicara sebelum terputus tiba-tiba
membuatkan Faizal berasa tidak sabar untuk mengetahui. Bimbang pula Amira
meminta yang bukan-bukan. Walaupun dia sendiri tidak pasti apa yang dimaksudkan
dengan yang bukan-bukan. Amira menjeling Faizal sekilas. Barangkali dia akan
mempermainkan Faizal sedikit.
"Saya nak anak," Amira bersuara tenang. Faizal
terpempan seketika. Adakah dia silap dengar? Amira menoleh menatap wajah
terkejut Faizal. Mata Faizal terkebil-kebil memandang Amira seakan tidak
percaya. Sejenak itu, meletus tawa Amira.
Ketawa Amira yang paling dirinduinya. Apakah maksudnya?
Amira mempermainkannya! Faizal merenung wajah Amira yang tertawa gembira.
Perlahan dia menyentuh jemari Amira sebelum menggenggam telapak tangan Amira.
Tawa Amira terhenti. Cuba menarik tangannya dari genggaman Faizal.
"Jom!" Faizal mula berdiri sambil menarik tangan
Amira.
"Ha? Nak pergi mana?" Amira masih duduk sambil
mencuba tangannya.
"Pergi buat anakla," Faizal bersuara serius. Raut
wajahnya juga serius. Genggaman tangan Amira dikuatkan. Amira mengerutkan dahi.
"Saya main-main jelah, lepaslah," Amira mula
memukul lengan Faizal meminta tangannya dilepaskan. Raut wajah Amira yang
ketakutan itu mencuit hati Faizal. Akhirnya tawa Faizal meletus juga. Jemari
Amira dilepaskan dan Faizal duduk kembali di atas pangkin di sisi Amira. Sambil
meneruskan ketawa yang tersisa. Amira mencebikkan bibir sambil mengurut
tanggannya yang mulai kemerahan akibat digenggam kuat oleh Faizal.