"Assalammualaikum, boleh saya jumpa dengan Encik
Zaman?" kebetulan Amira lalu di Damansara dan terfikir untuk menghantar
sendiri majalah yang sudah siap diterbitkan untuk diberikan kepada Zaman dan
Faizal. Sudah menjadi rutinnya untuk menghantar sendiri majalah yang tersiar
artikel berkaitan individu yang ditemuramahnya.
"Cik Amira?" Amira menoleh dan meihat Faizal
berdiri di belakangnya. Amira tersenyum. Memang dia mahu berikan majalah
tersebut kepada Faizal dan Zaman tetapi dia sebenarnya lebih senang bertemu
Zaman daripada Faizal. Bagi Amira, Faizal kelihatan kurang mesra berbanding
Zaman. Ketika sesi temuramah dahulu, Faizal hanya memberikan jawapan yang
ringkas dan padat apabila ditanyakan soalan. Manakala Zaman akan memberikan
penerangan dan kadang-kala bertanya soalan dan berjenaka juga.
"Encik Faizal, kebetulan saya lalu di sini, saya nak
serahkan majalah yang kami terbitkan yang terdapat artikel tentang Encik Faizal
dan Encik Zaman," Amira tersenyum sambil menyerahkan dua naskhah majalah
tersebut kepada Faizal.
"Kebetulan, saya baru beli majalah ini," Faizal
mengangkat naskhah majalah di tangannya. Amira terlopong memandang kerana
majalah tersebut belum pun sampai seminggu dikeluarkan. Malah sebelum ini, dia
sudah berpesan bahawa mereka akan diberi naskhah percuma bagi keluaran yang
terdapat artikel tentang mereka. Amira tidak menyangka Faizal akan membeli
majalah tersebut, apatah lagi secepat itu.
"Saya tak sangka Encik Faizal sudah beli majalah ini
sebab saya ada bagitahu bukan tentang naskhah percuma yang akan diberikan?"
Faizal tersenyum sambil menyambut juga dua naskhah majalah yang dihulur Amira.
"Tidak mengapa, saya akan beri pada Zaman. Cuma, boleh
kita berbual sebentar?" Amira terpinga-pinga dengan pertanyaan yang tidak
disangka itu dan tanpa sedar menganggukkan kepala.
"Maria, bawakan 2 kopi ke bilik saya. Silakan Cik
Amira," Faizal melangkah ke arah biliknya dan membuka pintu menjemput
Amira masuk.
Setelah mengambil tempat di set sofa di dalam bilik
tersebut, Amira memerhatikan susun atur ruang bilik itu. Unik dengan beberapa
model bangunan berbentuk seakan arca terletak seperti perhiasan. Rak buku di
belakang set sofa yang mereka duduki kelihatan sarat dengan buku-berkaitan
rekaan dan pembinaan.
"Saya nak serahkan ini kepada Cik Amira, rasanya Cik
tercicir semasa sesi temuramah dahulu," Amira merenung kad di atas meja.
Kad perkahwinan adiknya yang bakal berlangsung minggu hadapan. Perlahan dia
menarik kad tersebut dan terseyum kepada Faizal.
"Saya tidak fikir ia penting dan seringkali terlupa
untuk meminta nombor Cik Amira daripada Zaman untuk memulangkan semula kad
ini,"
"Oh, tidak mengapa. Ini kad kenduri adik saya. Kalau
Encik Faizal ada kelapangan, bolehlah hadir bulan hadapan," Amira
menghulur kembali kad tersebut kepada Faizal. Teragak-agak Faizal menyambut kad
tersebut.
"Ada apa-apa lagi yang Encik Faizal nak beritahu
saya?" Amira memulakan pertanyaan bila dilihat Faizal masih menyepi dan
pandangannya jatuh kepada kad yang diserahkan Amira.
"Tak, cuma saya nak tanya. Masa sesi temuramah tempoh
hari, Cik Amira ada sebut berkaitan..." Amira memandang tidak sabar dan
Faizal seakan tidak boleh meneruskan perbicaraannya.
"Berkaitan apa Encik Faizal?" Amira bertanya lagi.
Faizal menarik nafas dalam dan pandangannya dilarikan dari bertentangan dengan
Amira yang merenungnya penuh tanda-tanya.
"Saya nak tanya soalan yang agak peribadi, saya harap
Cik Amira tidak salah faham. Saya cuma tertanya-tanya," Faizal mula
menerangkan.
"Ok, tanyalah, saya akan cuba jawab kalau saya rasa
boleh jawab," Amira tersenyum cuba meyakinkan. Dia merasakan lelaki di
hadapannya ini seorang yang sangat berhati-hati dalam memulakan sesuatu.
"Cik Amira sebut yang Cik Amira tidak percaya pada
perkahwinan, apa maksudnya?" kali ini Faizal memandang tepat ke arah
Amira. Amira terdiam cuba mengingati butir bicaranya ketika sesi temuramah yang
lalu.
"Oh, ya, saya ada sebut tentang itu. Kenapa Encik
Faizal tanya?" Amira mula teringat tetapi dia tertanya-tanya pula kenapa
lelaki di hadapannya ini bertanyakan soal itu. Faizal diam sejenak sebelum
kembali membuka mulut.
"Sebab saya juga tidak percaya dengan
perkahwinan," Amira melopong sebentar sebelum ketawa besar. Faizal
memandang Amira hairan.
"Maaf, cuma saya terfikirkan awak turut hadapi masalah
yang sama seperti saya bila Encik Zaman sebut yang awak masih tidak berkahwin
walaupun sudah berusia 35 tahun," Amira cuba menahan ketawa dan tersenyum
lebar. Faizal menatap wajah riang Amira, hatinya berdetik seketika sebelum
mengerutkan dahi. Dia masih tidak mengerti maksud Amira.
"Ya, saya memang tak percayakan perkahwinan,
tapi..." pandangan Amira jatuh pada kad kenduri kahwin adiknya di tangan
Faizal. Faizal turut memandang kad yang sama.
"Bila adik bongsu saya nak kahwin dan semua adik
beradik saya sudah miliki keluarga masing-masing, saya terfikir juga nak
kahwin," Amira tersenyum pahit dan menghela nafas.
"Saya sukakan kanak-kanak jadi saya terfikir juga nak
kahwin dan memiliki anak sendiri dan kemudian bercerai," Amira memandang
Faizal dan tersenyum. Cuma dia mula tersedar, dia telah meluahkan sesuatu yang
sangat peribadi dihadapan seorang lelaki yang tidak begitu dikenali.
"Maaf, cuma, kenapa Encik Faizal tanya?" Amira
memandang Faizal penuh tanda tanya.
"Erm.. saya cuma terfikir kalau matlamat kita sama,
kita boleh bekerjasama," Faizal seakan berbicara penuh hati-hati. Amira
cuba memahami dan dia masih tidak jelas dengan maksud Faizal.
"Maksud saya, kalau kita punya pandangan yang serupa berkaitan
perkahwinan mungkin kita boleh saling bekerjasama untuk menyelesaikan masalah
yang kita masing-masing hadapi," Faizal cuba menerangkan. Amira masih
mengerutkan keningya.
"Sebenarnya ibu bapa saya sudah tua dan mereka sangat
teringinkan menantu. Saya anak tunggal. Jadi cuma sayalah satu-satunya harapan
mereka. Cuma saya tidak percaya pada perkahwinan dan saya tak fikir saya boleh
hidup dengan perempuan. Saya pernah bercinta sebelum ini, tapi semua tak
bertahan lama dan bagi saya perempuan sangat melemaskan dan merimaskan.."
Faizal terhenti dan seakan tersedar dia menatap Amira.
"Maaf, kalau saya sakitkan hati Cik Amira dengan
kenyataan saya. Saya bukan benci perempuan cuma saya tak fikir saya boleh
berkahwin dan hidup bersama dengan perempuan," Faizal cuma menambah
penjelasan. Tetapi Amira seakan cuma memahami maksud Faizal.
"Encik Faizal, tak suka perempuan, maksudnya Encik
Faizal suka lelaki?" Amira mengeluarkan kenyataan yang difahami dari
bicara Faizal. Wajah Faizal pucat dengan telahan Amira.
"Bukan, bukan itu maksud saya," Faizal segera
menjelaskan. Amira tersenyum dan seakan mengerti dengan makud Faizal kini.
"Saya rasa saya faham, Encik Faizal tak suka perempuan,
tak suka juga pada lelaki. Encik Faizal suka hidup sendiri?" Amira membuat
telahan sambil tersenyum. Dia kira telahannya kini tepat. Faizal diam sejenak.
Itukah yang cuba dia sampaikan?
"Erm, ya, betul. Selama ini saya selesa hidup
sendirian. Saya anak tunggal. Saya memang tidak selesa bila ada orang lain yang
masuk campur dalam urusan hidup saya," Faizal akhirnya mengiyakan. Amira
tersenyum.
"Jadi?" Amira mula tertanya-tanya apa isu awal
yang membawa perbualan mereka itu.
"Erm, jadi saya terfikir kalau kita boleh saling
membantu," Faizal masih ragu-ragu untuk berterus-terang. Amira cuba
mangangak cuma dia sendiri ragu-ragu jika benar itu masuk Faizal.
"Apa maksud Encik Faizal saling membantu?" Amira
tidak mahu meneka, bimbang tersilap teka lagi. Faizal merenung Amira dan
mengnarik nafas dalam. Cuba membaca reaksi Amira jika dia ucapkan terus-terang
maksud hatinya. Adakah Amira akan menamparnya?
"Maksud saya, disebabkan kita mempunyai pemahaman yang
sama tentang perkahwinan. Kita tidak mahu kahwin, suka hidup sendiri, tidak
suka ada orang masuk campur tentang soal hidup kita, mungkin kita boleh...."
Faizal terhenti lagi.
"Saya tak pasti apa maksud Encik Faizal tapi, saya rasa
seperti Encik Faizal cuba mencadangkan untuk kita.... berkahwin?" Amira
merenung Faizal seakan meminta kepastian pada telahan yang dibuat. Faizal
menghela nafas lega. Ya, Amira faham maksudnya!
"Ya, itu maksud saya. Saya cuma cadangkan, Cik Amira
boleh fikirkan dulu," Faizal segera menjelaskan agar Amira tidak salah
faham.
Amira merenung dalam wajah lelaki di hadapannya. Sebenarnya
dia seakan tidak percaya sedang menjalankan sesi perbualan berkaitan isu itu
dengan seseorang yang asing. Bagaimana dia boleh mempercayai untuk mengahwini
lelaki itu. Mungkin dari sudut kerjaya lelaki itu nampak berkemampuan. Rupa
paras, jujurnya Amira akui Faizal agak tampan orangnya cuma bila di usia yang
makin meningkat, ketampanan tidak lagi kriteria utama dalam menilai seseorang.
Cuma, dia tidak kenal lelaki itu. Bagaimana sikapya? Bagaimana dalamannya?
Bagaimana lelaki itu boleh mencadangkan sesuatu seperti itu kepada dia,
perempuan yang hanya dikenali lewat sesi temuramah selama kurang dua jam?
"Erm, jujur, saya agak terkejut dengan apa yang Encik
Faizal katakan. Memang, saya fikir Encik Faizal agak tertekan dengan ibu bapa
Encik Faizal sehingga boleh terfikir untuk cadangkan perkara seperti itu kepada
saya. Cuma, saya harap Encik Faizal boleh fikir balik sebab walaupun saya tidak
percaya pada perkahwinan, saya tidak percaya lelaki dan saya suka hidup
sendiri, saya masih perempuan. Saya masih perempuan seperti mana
perempuan-perempuan yang pernah Encik Faizal kenali dulu. Dan Encik Faizal
tetap lelaki. Lelaki yang pasti tidak mudah untuk saya percayai," Amira
cuba membalas secara rasional. Ya, dia wanita yang rasional yang sentiasa
berfikir panjang dan dalam sebelum membuat keputusan.
"Saya faham. Saya juga terfikirkan perkara yang sama.
Cuma, beza kita, bila orang lain mengimpi bahagia yang kekal ke akhir hayat.
Kita percaya kebahagiaan akan terhenti satu masa dan perceraian dan perpisahan
adalah kemungkinan yang paling realistik dalam setiap perhubungan," Faizal
cuba memberi rasional.
Amira diam. Dia berfikir sejenak. Tidak pernah dia berbicara
soal seperti ini dengan seorang lagi. Agak janggal rasanya. Amira memerhati
sekitar bilik. Pendingin hawa yang dipasang terasa sejuk luar biasa. Sejak dia
mula bekerja sebagai editor dan menemuramah, dia sudah boleh berbicara bersama
lelaki di dalam bilik tertutup seperti ini. Kalau ketika belajar dulu, jangan
harap dia akan buat sebegitu. Pandang dan bercakap dengan lelaki cuma bila ada
tugasan akademik. Dia akan sedaya-upaya mengelakkan diri untuk berurusan dengan
lelaki dalam perkara lain. Akibatnya, dia tidak pernah punya teman lelaki.
Malah kawan lelaki juga tidak ada kecuali teman-teman sekuliah yang hanya
dihubungi lewat urusan pelajaran.
Amira kembali Faizal. Tersenyum nipis. Faizal turut
tersenyum. Amira terfikir, berkahwin mungkin tidak. Tapi apa salahnya mereka
berkawan. Ya, seperti pasangan lain, cuba berkawan, mungkin jatuh cinta dan
jika benar serasi, barangkali boleh berakhir dengan perkahwinan.
"Maaf, saya rasa saya bukanlah orang yang Encik Faizal
cari," Amira berbicara tenang. Faizal mengukir senyum terpaksa dan
mengangguk. Dalam fikirannya sedar yang rancangannya tidak mungkin berjaya cuma
dia terfikir tidak salah mencuba. Panggilan telefon dari ibunya di kampung
saban malam membuatnya terfikir untuk mencari penyelesaian. Memang ibu bapanya
ada mencadangkan calon pilihan mereka tetapi Faizal bimbang, gadis itu cuma
menderita hidup dengannya. Faizal memandang Amira, barangkali jika Amira
merasakan seperti dia, mungkin Amira tidak akan menderita.
"Tak apa, saya minta maaf sebab cadang perkara
sebegini," Faizal tahu, masalahnya belum selesai dan dia perlu cari jalan
lain untuk menyelesaikannya.
"Saya ada cadangan, walaupun saya tak terima cadangan
Encik Faizal untuk berkahwin tapi saya fikir kita boleh berkawan," Amira
tersenyum sambil mengangkat kening. Ragu-ragu jika cadangannya kurang
munasabah. Bukankah Faizal bencikan perempuan. Faizal mengerutkan kening.
Cadangan yang dia tidak terfikirkan.
"Saya tak mungkin kahwin dengan orang yang saya tak
kenal, jadi kita boleh kawan dulu, dan kalau saya yakin dengan Encik Faizal,
saya akan terima lamaran Encik Faizal ni. Jika tidak, kita berhenti sebagai
kawan sahaja," Amira cuba menjelaskan. Faizal merenung dalam wajah gadis
bertudung biru itu, apa maksudnya? Adakah Amira mengajaknya untuk bercinta? Dia
sudah penat bercinta dan melukakan hati wanita. Dia tidak mungkin berubah.
Faizal mengeluh sendiri.
"Encik Faizal tak setuju ke? Maaf, walaupun saya sedar
perkahwinan bukan sesuatu yang kekal tapi, sekurang-kurangnya saya kena kenal
dengan siapa saya kahwin. Walau mungkin akan berakhir dengan penceraian tapi
saya harap saya tak kahwin dengan penjenayah atau orang gila," Amira
sekali lagi cuba menerangkan. Entah mengapa seakan dia pula yang beria
mencadangkan. Adakah dia sudah mulai sukakan lelaki ini. Faizal yang berkemeja
ungu dijeling sejenak.
"Oh, tentu, kita perlu kenal dulu. Cuma, saya tak fikir
untuk bercinta lagi. Sebab, dari pengalaman yang lepas saya kira, saya dah
lukakan hati ramai perempuan. Saya tidak mungkin dapat memahami
perempuan," Faizal tersenyum lega. Mungkinkah Amira setuju berkahwin
dengannya?
"Maksudnya, saya bakal terluka la?" Amira
tersenyum sinis. Wajah Faizal berubah.
"Erm, ya, kalau yang Cik Amira harapkan cinta dan
perhatian. Sebab saya bukan lelaki yang boleh memberikan semua itu,"
Faizal berbicara tenang. Penjelasan yang penting untuk Amira faham. Amira diam.
Apa yang sedang dia lakukan ini? Cuma mengenali seorang lelaki buat pertama
kali dengan niat untuk berkahwin. Tetapi lelaki itu sama sekali tidak mungkin
mencintainya. Amira menelan liur. Cuma berkawan. Ya, cuma berkawan. Jika dia
sangat teruk, lupakan saja soal kahwin.