"Sudah
bangun Faizal?" Encik Amir menegur bila Faizal meninjau-ninjau ruang
bawah.
"A.. abah,
sudah. Maaflah, saya tertidur lepas subuh," Faizal hanya tersengih kepada
Encik Amir. Encik Amir hanya tersenyum dan menarik Faizal duduk di kerusi di
halaman luar rumah.
"Tak apa,
Amira beritahu Faizal ke Pulau Perhentian. Kita sarapan dulu," Encik Amir
menunjukkan juadah yang terhidang. Faizal cuma mengangguk sambil tersenyum. Dia
maih tidak tahu topik perbualan yang sesuai untuk diajukan bila bersama Encik
Amir. Jika bersama Puan Fatimah, wanita itu lebih banyak bicara hingga dia
sendiri hanya mampu mendengar tanpa menyampuk sebarang kata-kata. Namun, bila berdepan
dengan ayah mentuanya yang agak kurang bicara, dia buntu seketika.
"Amira
masih belum beritahu kamu yang abah kontraktor binaan?" pertanyaan Encik
Amir memecah kesunyiaan yang melanda antara mereka beberapa ketika. Faizal
berhenti menyuap. Wajah Encik Amir ditatap sejenak sebelum menggeleng perlahan.
Amira memang tidak bercerita. Puan Fatimah seorang guru juga hanya diketahui
bila ibu mentuanya sendiri bercerita. Bila difikirkan balik, Amira tidak banyak
bercerita soal keluarganya. Sejujurnya, perkenalan antara mereka yang terlalu
singkat tidak memberi mereka ruang untuk mengenali lebih mendalam antara satu
sama lain.
"Kebetulan
kita berada di bidang yang sama, bolehlah kita bercerita tentang perkara yang
sama berkaitan kerja," Encik Amir tersenyum. Faizal turut tersenyum.
Lelaki separuh usia itu seakan-akan mengerti apa yang bermain di fikiran
Faizal.
"Sebenarnya,
abah dulu belajar seni bina juga. Cuma bila beberapa tahun kerja di architect
firm, rasa jiwa tak sesuai pula. Selepas itu ada kawan ajak jadi rakan kongsi
untuk buat kontraktor, tak sangka pula kena dengan jiwa sehingga
sekarang," Encik Amir memulakan cerita yang membuat Faizal teruja. Tidak
sangka ayah mentuanya juga seorang arkitek juga. Sama sepertinya. Cuma jalan
yang dipilih Encik Amir sedikit berbeza, namun, mereka masih di bidang yang
sama.
"Saya tak
sangka pula abah arkitek juga. Amira pernah cerita dia memang sukakan seni reka
bangunan, malah dia berangan nak minta saya rekakan rumah khusus untuknya satu
hari nanti," Faizal teringat perbualan mereka pada janjitemu kali pertama.
Bila dia bercerita tentang minatnya pada rekaan bangunan dan memilih kerjaya
sebagai arkitek, Amira lebih-lebih teruja. Gadis itu lantas bercerita ciri-ciri
rumah idamannya dan bertanya jika Faizal mampu menjadikannya satu kenyataan.
Faizal ketika itu hanya ketawa. Amira. Faizal tersenyum sendiri mengiangatkan
gadis itu yang tersenyum riang.
"Teringatkan
Amira?" Encik Amir bertanya tiba-tiba bila melihat Faizal seakan berkhayal
sendiri sambil tersenyum tiba-tiba setelah menyebut tentang Amira. Faizal
segera tersedar, sebelum tertunduk sendiri. Bagaimana fikirannya boleh terbang
memikirkan Amira di depan ayah mentuanya sendiri.
"Tak apa,
abah faham. Abah pun pernah rasa hidup muda. Masa awal-awal kahwin ni memang
perasaannya lain macam sedikit," Encik Amir ketawa sambil menepuk-nepuk
bahu Faizal. Faizal hanya tersengih.
"Kenapa
abah berhenti jadi arkitek?" Faizal cuba mengalih topik perbincangan
sebelum dia lebih malu ditangkap asyik teringtkan isteri.
"Abah pun
tak pasti, cuma biasalah, kerja arkitek dengan orang, kerjanya teruk, cuti pun
tak banyak. Rekaan nak diterima pihak atasan kadang-kala kena buat pembetuan
berkali-kali sebelum boleh diterima. Masa tu abah baru kahwin, masa dengan
keluarga sangat terhad bila kerja dengan orang, lebih-lebih lagi bidang arkitek
ini, kamu fahamlah kan. Jadi bila ada kawan ajak buka perniagaan sendiri, abah
cubalah. Kerja kontraktor ni lebih mudah, sebab kita cuma sediakan keperluan
ikut apa yang dah disediakan jurutera dan arkitek," Encik Amir menerangkan
panjang lebar. Faizal mengangguk. Teringat ketika mula-mula bekerja, memang
mencabar. Dalam sebulan, boleh dikira hari yang dia dapat pulang berehat di
rumah. Kebanyakan masa habis di studio syarikat dan tapak pembinaan. Tapi,
ketika itu dia masih tidak ada tanggungan dan keluarga untuk difikirkan.
Keseluruhan masa dan tumpuan hanya kepada kerjaya. Namun, bila sudah ada firma
sendiri, dia mulai dapat menyusun masa dengan lebih baik dengan adanya lebih
ramai pekerja di bawahnya. Itupun, dia masih begitu sibuk dengan pelbagai
projek yang diuruskannya sendiri.
"Erm...
Amira ke mana abah?" Faizal bertanya tiba-tiba. Memang dari awal lagi dia
mencari Amira. Namun, bila Encik Amir mengajak sarapan dan berbual, dia
tahankan hasrat hati. Namun, entah bagaimana, terpacul juga pertanyaan itu di
bibirnya.
"Oh,
Amira, dia tak beritahu Faizal? Hari ini dia pergi mengajar. Setiap sabtu pagi
dia ada kelas di Open University. Part-time lecturer," Encik Amir
menjawab. Faizal mengerutkan wajah. Itu memang satu maklumat baru. Dia tidak
tahu selain editor majalah, Amira juga pensyarah separuh masa.
"Kebetulan
masa kamu berkahwin, tengah cuti. Sekarang dia sudah mula balik mengajar,"
Encik Amir menyambung lagi. Faizal hanya
mengangguk. Pukul berapa pula dia akan pulang? Faizal memandang jam di
pergelangan tangan. Berapa lama lagi dia perlu menunggu untuk bertemu Amira?
Adakah dia patut mencari Amira di universiti tersebut. Tetapi di mana pula
universiti tersebut. Kalau universiti awam, mungkin agak mudah untuk di cari.
Tapi, universiti swasta seperti itu. Faizal mengeluh dalam hati.
"Biasa
dalam pukul sebelas Amira balikla. Dia kelas 8 hingga 10. Amira memang selalu
akan balik rumah terus bila habis kerja. Masa dia keluar dengan kamu dulu saja
yang abah rasa pelik sebab tak pernah-pernah dia balik lambat macam tu,"
sekai lagi Encik Amir seperti dapat meneka hati Faizal. Faizal hanya tersengih
bila ayah mentuanya mengungkit lagi kisah lama. Faizal menjeling jam di tangan.
Sudah lebih sepuluh. Kelas Amira sudah habis. Tak lama lagi gadis itu akan
pulang. Ah, entah mengapa hatinya rasa tidak sabar!