"Dah ada
cadangan untuk bulan madu?" Amira terkesima dengan persoalan Faiza yang
ditutur mahu mengenakannya.
"Erm...
kami tak fikir lagi. Sekarang lebih fikirkan soal kenduri dulu. Lepas tu baru
fikir tentang yang lain-lain," Faizal tenang memberi jawapan sambil
menjeling wajah Amira yang nyata kurang senang. Sejak Amira pulang, mereka
masih belum sempat untuk bersendirian. Entah mengapa, Faizal mahu berdua
bersama Amira. Namun, di sudut hatinya, dia sendiri tidak pasti apa yang mau dibicarakan
kepada Amira. Bila berbual bersama ahli keluarga yang lain, rasanya lebih
selesa. Dan Amira masih di depan mata. Faizal cuba menahan senyum. Hatinya
berbunga ria.
"Yalah,
tapi tarikh kenduri yang kita bincang tu dah bagitahu keluarga Faizal? Sibuk-sibuk
juga, tapi urusan ini penting juga. Dah selesai semua kan mudah. Amira pun
boleh pindah rumah Faizal," Puan Fatimah menyampuk dengan ingatan. Amira
mengerutkan wajah lagi. Faizal hanya tersengih mengangguk. Nada Puan Fatimah
seakan tidak sabar menghalau anak perempuannya itu untuk tinggal berdikari
bersama suami.
"Dah,
Faizal dah beritahu beberapa hari lepas. Ibu setuju saja. Kata ibu, Amira sebut
saja nak majlis yang macam mana, dia akan sediakan," Faizal menjawab
sambil menjeling Amira. Teringat perbualan telefon dengan ibunya sebelum dia
bertolak ke Pulau Perhentian.
"Ibu pun
asyik suruh saya bawa Amira lagi ke Kedah," Faizal menyambung terkenang
pesanan ibunya yang tidak henti-henti memintanya pulang lagi ke Kedah bersama
Amira. Amira memandang Faizal. Bibirnya bergerak seakan mahu menutur sesuatu,
namun, tidak terungkap. Pandangannya hanya kaku ke arah lelaki itu.
"Eloklah
tu, sebelum kenduri pulanglah dulu ke Kedah. Bantu persediaan apa yang perlu.
Kamu pun tak ada adik-beradik lain yang menolong," Encik Amir pula
mengucap cadangan. Faizal diam dan mengangguk perlahan. Bukan dia tidak mahu
pulang ke kampung, cuma, keadaan kerjanya saat ini agak sibuk. Tambah pula
Zaman yang baru menimang cahaya mata dan mengambil cuti beberapa hari. Isnin ini
dia perlu kembali ke Pulau Perhentian. Hasratnya untuk tinggal di sana sehingga
ahad terbatal bila hatinya tidak sabar mahu bertemu Amira. Maka segala tugasan
ditunda ke minggu hadapan. Dia menjeling lagi Amira. Jarang-jarang dia menunda
urusan kerja kerana perkara peribadi. Amira kini sudah jadi isu peribadiyang
penting dalam hidupnya.
"Amira
ambillah cuti, balik ke Kedah lama sedikit," Puan Fatimah pula menggesa
cadangan. Amira diam. Pandangannya jatuh kepada Faizal yang turut memandangnya.
"Erm... sebenarnya,
Amira memang nak balik Kedah. Tapi, saya yang sibuk sebenarnya. Sekarang tengah
banyak projek. Kebetulan, rakan kongsi saya baru dapat anak. Jadi, kerja dia
pun saya kena cover sementara ni," Faizal pantas memberi alasan. Amira
pula terpegun mendengar. Tidak pernah isu pulang ke Kedah timbul antara mereka.
Puan Fatimah
dan Encik Amir saling berpandangan. Sejak Faizal muncul subuh tadi, mereka
sudah dapat rasakan yang lelaki itu benar-benar serius untuk memulakan hidup
dengan Amira. Namun, mereka masih tidak pasti dengan Amira. Semalam, bila
ditanya kenapa Faizal tidak pulang, Amira cuma menjawab ke Pulau Perhentian
atas urusan kerja. Langsung tidak ada sebarang reaksi yang berbeza. Amira masih
sama.
Puan Fatimah
merenung Fairuz yang sudah lena di tengah ruang tamu. Pandangannya jatuh kepada
Amira yang hanya diam mendengar perbualan Faiza dan Encik Amir pula. Alangkah
bagusnya jika Amira turut memiliki anak seperti Faiza. Kerisauan yang melanda
hatinya akan reda. Entah mengapa dia resah dengan umur Amira yang semakin
meningkat. Walau dia cuba yakinkan soal rezeki anak ini semua kerja Tuhan,
namun, sebagai manusia, ikhtiar itu juga perlu. Puan Fatimah mengeluh sendiri.
Dalam hati dia tidak putus-putus berdoa agar Amira dapat menerima Faizal dan menjalani
kehidupan sebagai suami isteri seperti orang lain.
Bila Faizal
menyebut soal Zaman dan anak barunya, Amira sayu sendiri. Teringat perbualannya
bersama Puan Fatimah beberapa hari lalu. Ya, dia juga mahukan anak. Adakah dia
patut berbincang soal itu dengan Faizal? Apa pula kata Faizal nanti? Apa yang
lebih penting, adakah dia benar-benar sudah bersedia untuk menerima Faizal?
Lantas dia terkenang tangisannya subuh tadi dan kehadiran Faizal yang
tiba-tiba. Segan pula dengan sikapnya seperti itu. Apakah anggapan Faizal bila
melihatnya seperti itu? Dia sendiri keliru. Apakah yang ada di dalam hatinya?