Setiap malam Faizal menghubungi dari Pulau
Perhentian. Janjinya mahu memaklumkan pada Amira tentang apa yang
dilakukannya.Tapi bagi Amira, aneh sekali menerima panggilan dari Faizal saban
malam. Namun, hatinya tenang dan terselit bahagia tanpa di duga.
Puan Fatimah pula berkali-kali membangkitkan
soal anak. Amira hanya diam. Bukan dia tidak memikirkannya, dia selalu
memikirkan. Dia tahu, dia perlu berbincang dengan Faizal. Amira mahukan anak.
Memang itu satu kenyataan tanpa keraguan. Tapi, apakah yang difikirkan Faizal?
Adakah sama seperti yang ada dalam hati Amira? Bila memikirkan itu semua, Amira
hanya mampu mengeluh sendiri.
Bila Faizal menelefon, Faizal yang lebih
banyak bicara bercerita tentang apa yang dilakukan sepanjang hari. Kadang-kala
Amira turut berkongsi, cuma apa sebenarnya yang bermain dalam fikiran tidak
mampu diungkapkan. Seringkali setelah tamat berbual Amira menghela nafas
panjang. Sampai bila dia mahu menahan hati dengan Faizal. Teragak-agak untuk
meluahkan apa yang tersimpan dalam dada.
Hujung minggu bila Faizal pulang ke Kuala
Lumpur, mereka sibuk berbincang soal majlis perkahwinan yang bakal berlangsung.
Tempahan katering, khemah, goodie bags, pakaian, pelamin dan lain-lain perkara.
Paling penting kad undangan. Nasib baru melangsungkan majlis kenduri adiknya,
senarai tetamu di sebelah keluarganya sudah tersedia cuma ditambah
teman-temannya sahaja. Manakala majlis di sebelah pihak Faizal lebih rumit. Itu
kenduri pertama yang akan diadakan, untung saja tarikhnya lebih lewat.
Puan Jamilah, ibu Faizal turut menghubungi
Amira, bertanya tentang persiapan majlis perkahwinan dan bila mahu pulang ke
Kedah. Amira sebenarnya tidak ada masalah untuk pulang ke Kedah. Namun, Faizal
nampaknya terlalu sibuk untuk meluangkan masa. Malah hujung minggu itu Faizal
hanya dapat bermalam satu malam sahaja di rumah Amira apabila tiba subuh sabtu
dan perlu bertolak kembali ke Terengganu ahad paginya. Katanya, Ahad hari
bekerja di Terengganu dan petang itu dia terpaksa menghadiri mesyuarat di sana.
Amira diam saja. Faiza menemaninya ke butik
pengantin ahad itu. Memang dia bercadang mahu pergi bersama Faizal, tapi tidak
manyangka Faizal hanya sehari di Kuala Lumpur. Hendak mengajak Faizal ke butik
pada hari sabtu, rasa tidak wajar bila Faizal kelihatan begitu kepenatan.
Lelaki itu terlena sehingga tengah hari.
Lalu Amira putuskan untuk pergi dahulu dengan
Faiza, barangkali minggu depan Faizal akan lebih punya masa. Walau Amira masih
ragu-ragu bila Faizal memaklumkan projek di Pulau Perhentian itu sedang dalam
peringkat yang kritikal dan memerlukan dia untuk berada di sana dalam tempoh
beberapa minggu ini. Kata Faizal, jika sudah stabil, dia boleh memantau dari
Kuala Lumpur dan turun sekali-sekala sahaja ke sana.
Amira sebolehnya tidak mahu merungut dengan
kekangan masa yang dialami Faizal. Tetapi Faiza pula yang mengomel kurang
senang terhadap abang iparnya itu. Jauh di sudut hati Faiza bimbang Faizal
sebenarnya langsung tidak menghargai dan menerima Amira sebagai isteri.
Sudahlah hubungan mereka masih penuh dengan ketidakpastiaan.
Komen-komen Faiza hanya didiamkan Amira. Bukan
dia tidak terasa seperti dia pula yang sendirian beria-ia menyiapkan untuk
majlis itu dan Faizal seperti buat tidak kisah. Sedangkan hakikatnya Faizal
yang sungguh-sungguh memintanya untuk berkahwin dalam keaadaan tergesa-gesa.
Tapi, apa yang boleh dia lakukan. Faizal sibuk bekerja, bukan dia buat perkara
yang salah. Faizal juga meluangkan masa untuk menghubunginya. Bagi Amira itu
sudah petanda baik dalam hubungan mereka.
"Apa kata kita pilih baju yang paling
mahal? Biar Abang Faizal kena bayar," Faiza mengucapkan tidak puas hati
saat mereka berkunjung ke butik.
Amira hanya tersenyum mendengar kata-kata
Faiza. Dia ralit melihat pakaian-pakaian pengantin yang pelbagai warna dan
rekaan yang dipamerkan di butik tersebut. Ini kali pertama ke butik pengantin.
Ketika Faiza kahwin dahulu, dia tidak sempat menemani Faiza kerana sibuk dengan
kuliah dan tugasan akademik. Faiza juga lebih senang bersama dua sahabat
baiknya, Zarita dan Sabrina. Amira teringat dua gadis itu yang turut menamatkan
zaman bujang mereka tidak lama selepas Faiza berkahwin.
"Macam mana Ija boleh begitu mudah jatuh
cinta?" soalan itu terpacul dari bibir Amira. Pandangannya masih jatuh
pada kebaya satin hijau dengan butiran manik dan organza yang menghiasi. Faiza
merenung dalam kakanya. Amira dan dialog jatuh cinta? Ini sesuatu yang luar
biasa! Faiza cuba menahan senyum.
"Maksud Kak Mira?" Faiza sengaja
menduga. Sejauh mana topik ini akan dibicarakan Amira. Amira berpaling sambil
tersenyum. Dia tahu apa yang difikirkan Faiza. Jatuh cinta memang tidak pernah
muncul dalam diari hidup Amira. Dan Faiza adalah insan yang paling memahaminya.
Kadang-kala bila mendengar kisah cinta Faiza
ketika di bangku sekolah, Amira sering dilanda keanehan. Percintaan nampak
begitu mudah di mata Faiza dan adiknya itu mengambil keputusan untuk berkahwin
dengan lelaki yang dicintai ketika masih di bangku sekolah. Untungnya, Faiza
bahagia dengan keputusan itu hingga ke hari ini. Tapi benarkah Faiza
benar-benar bahagia?
"Cinta adalah fitrah wahai kakak
kesayanganku. Tak ada yang aneh dan pelik di sini. Bukankah Tuhan ciptakan
manusia itu berpasangan? Persoalan semudah itu. Apa yang sukar sangat untuk
pensyarah seperti Kak Mira untuk faham," Faiza seakan memberi kuliah
singkat tentang cinta yang menghasilkan senyuman di bibir Amira. Cinta.
Persoalan universal yang meliputi sempadan ruang dan masa. Tapi ia masih aneh
dalam hidup Amira.
"Entahlah, akak rasa pelik. Untuk terima
seseorang yang asing menjadi sebahagian dalam hidup kita," Amira membalas
mudah. Faiza tersenyum.
"Ija boleh tolong," Faiza merenung
Amira dalam. Amira membalas pandangan Faiza tidak mengerti.
"Tolong?" Amira meminta penjelasan.
Faiza tersenyum penuh misteri.
"Tolong akak untuk bercinta," Faiza
mengenyitkan matanya sambil senyuman. Amira mengerutkan wajah untuk memahami
maksud Faiza.