Amira menjeling jam
di dinding. Sudah menunjukkan angka 5. Dia memandang pula telefon bimbit. Masih
tidak berbunyi. Faizal sudah berjanji untuk mengambilnya di pejabat petang ini.
Adakah lelaki itu sudah terlupa?
Amira merenung
telefon bimbitnya, hatinya ragu-ragu untuk menghubungi Faizal. Ikutkan hati,
mahu saja dia pulang sendiri, namun mengenangkan janji Faizal, Amira kira dia
wajar menanti. Lambat-lambat Amira mencari nombor telefon Faizal di dalam
telefon bimbitnya. Hubungi sajalah, bukannya dia buat salah pun.
Wajah Amira mula
berkerut masam. Bukan sekali. Berkali-kali Faizal dihubungi. Namun,
panggilannya tidak bersambut. Jarum pendek jam sudah melepasi angka 6. Amira
mula berbuat andaian. Adakah Faizal sudah melarikan diri? Tapi mahu lari ke
mana lelaki itu? Atau sesuatu yang buruk berlaku? Amira resah. Siapakah yang
wajar dihubungi?
Akhirnya, Amira
ambil keputusan untuk pulang seperti biasa. Mungkin Faizal sudah menanti di
rumah. Mungkin lelaki itu memang sudah terlupa akan janjinya. Amira tidak pasti
apakah yang sedang melanda hatinya. Marah kerana Faizal mungkir janji? Bimbang
kerana Faizal tidak dapat dihubungi? Resah memikirkan jika ada sesuatu buruk
yang berlaku? Amira mula berfikir lebih jauh. Jika berlaku apa-apa kepada
Faizal, bagaimana dengannya? Adakah dia akan bergelar balu?
Sepanjang di dalam
tren, Amira tidak lepas memikirkan tentang Faizal. Memang dia jarang berhubung
dengan Faizal, malah sepanjang seminggu berlalu, Faizal pun tidak
menghubunginya. Sangkanya, apa yang telah dirancang akan berjalan sepertinya.
Benarlah, manusia hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan. Memang ada
terdetik marah di hatinya namun, sebahagian besar hatinya bimbangkan Faizal.
Tanpa Amira sedari, hatinya menitip doa buat suaminya. Dia lebih rela Faizal
terlupa kerana terlalu sibuk bekerja dari sesuatu buruk yang berlaku yang
menyebabkan lelaki itu gagal menepati janjinya.
Tiba-tiba Amira
teringat sesuatu, Zaman! Rakan kongsi Faizal. Dia tidak pasti lelaki itu tahu
atau tidak tentang hubungannya dengan Faizal. Namun, mungkin Zaman boleh
memberi jawapan kepada persoalan yang melanda fikirannya saat ini berkenaan
Faizal.
Amira terus mencari
nombor telefon Zaman. Dia masih ingat menyimpan nombor itu ketika membuat janji
temu untuk sesi temuramah dahulu.
"Hello,"
suara Zaman kedengaran menyambut.
"Hello,
Assalammualaikum Encik Zaman. Saya Amira, ingat lagi? Yang menemuramah dahulu.
Dari Majalah Pro-Muslim" Amira pantas membalas dan memperkenalkan diri.
"Ye, Cik
Amira. Ada apa ye?" Zaman menjawab. Hati lelaki itu tertanya-tanya kenapa
gadis itu tiba-tiba menghubunginya.
"Maaf
mengganggu, boleh saya tanya tentang Encik Faizal?" Amira bertanya-tanya
hati-hati. Hatinya ragu-ragu untuk meneka adakah Zaman sudah tahu tentang dia
dan Faizal.
"Faizal?
Kenapa ya?" Zaman bertanya lagi. Ingatannya terbang kepada gadis kecil
molek yang ditemuinya beberapa bulan yang lalu.
"Boleh saya
tahu dia ada dekat mana sekarang?" Amira tidak pasti adakah soalan itu
sesuai. Namun, itu saja yang terlintas dalam fikirannya.
"Saya cuba
hubungi dia, tapi tak dapat," Amira menambah lagi bila Zaman hanya diam
tidak bersuara.
"Encik
Zaman...." Amira cuba memastikan Zaman masih di talian bila suasan masih
sunyi di sebelah sana.
"Oh, Maaf Cik
Amira, sebenarnya isteri saya baru lahirkan anak. Anak ke tiga. Saya ada
bagitahu dulukan, saya ada 2 anak kembar," Zaman kembali bersuara dengan
kedengan ketawa halus di hujung bicara. Amira tersenyum, anak. Pasti lelaki itu
dan pasangannya sangat bahagia. Dan dia? Amira diam. Faizal, suami terpaksanya
itu hilang tak dapat dihubungi. Hendak bicara soal anak?
"Hello, Cik
Amira?" Zaman pula bersuara memastikannya masih kekal di talian.
"Ya, saya.
Boleh saya tahu kalau Encik Zaman tahu dekat mana Encik Faizal sekarang?"
Amira mengulang pertanyaannya.
"Erm, Faizal
di Pulau Perhentian, dia ke sana dari rabu lepas. Patut saya yang kena pergi,
tapi, sebab isteri saya dah nak melahirkan masa tu, jadi dia ganti saya ke
sana. Kenapa ya Cik Amira tanya?" Zaman menerangkan. Amira terdiam. Pulau
Perhentian? Dan Faizal langsung tidak memberitahunya apa-apa. Amira mengetap
bibir. Geram. Pada dirinya yang tidak menghubungi lelaki itu untuk ambil tahu
dan pada lelaki itu yang langsung tidak kisah untuk memaklumkan kepaddanya.
"Tak.. saya
cuba hubungi dia, tapi tak dapat," Amira bersuara perlahan. Zaman
mengerutkan kening. Kenapa Amira berhubung dengan Faizal? Adakah sesuatu
berlaku kepada mereka? Ingi ditanya pada Amira, namun hati kecilnya berkata,
lebih baik dapatkan penjelasan daripada Faizal.
"Oh, tempat tu
agak pedalaman, memang tak ada line. Minggu lepas saya pergi pun saya hadapi
masalah yang sama. Isteri saya risau, dah la tengah sarat waktu. Pasal tu kali
ni saya minta tolong Faizal yang pergi," Zaman menerangkan lagi. Amira
menarik nafas lega. Tak ada line. Bukanlah ada perkara buruk yang berlaku.
"Oh, macam tu.
Terima kasih ye Encik Zaman, kalau dapat hubungi Faizal, boleh bagitahu saya
telefon. Minta dia hubungi saya balik. Ada hal yang perlu saya sampaikan,"
Amira menamatkan panggilan bila Zaman mengucapkan salam. Amira lega Zaman tidak
bertanya panjang tentang hubungannya dengan Faizal. Lebih lega lagi bila
mendapat tahu Faizal tidak apa-apa. Cuma berada di kawasan pedalaman yang tidak
dapat dihubungi. Apa yang pasti, Faizal lupa lagi. Ya, lelaki itu, suaminya itu
sudah lupa yang dia, isterinya, seorang perempuan sedang menunggu dan menanti
janji.