Encik Amir mengangguk mendengarkan penjelasan Faizal dan
Amira. Bersungguh benar pasangan muda itu meyakinkannya. Puan Fatimah
mengerutkan wajah. Ada benarnya alasan mereka, namun, dia masih mahu Amira dan
Faizal tinggal bersama. Dia mahu Amira bahagia dan kalau boleh secepat mungkin
menimang cahaya mata. Dia tahu betapa Amira sukakan kanak-kanak. Dia juga
bimbang jika mereka bertangguh lagi dan usia Amira yang bertambah, dia bimbang
jika Amira menghadapi komplikasi pula bila mengandung agak lewat. Entah mengapa
dia berfikir begitu. Barangkali mengenangkan yang dia juga agak lewat
mengandung walaupun berkahwin pada usia yang muda. Setelah lima tahun berumah
tangga, barulah Puan Fatimah hamil anak pertama. Dia bimbang jika Amira juga
begitu. Malah, adik perempuan Amira yang telah pun berkahwin ketika berusia 20
tahun, turut hamil setelah 5 tahun berkahwin. Cucunya yang kedua yang baru
berusia setahun lebih. Abang sulung Amira yang berkahwin setelah adik perempuan
Amira 3 tahun lalu pula, tak sampai setahun, menantunya sudah mengandung. Puan
Fatimah bimbang jika benar perlu menunggu 5 tahun selepas berkahwin barulah
anaknya itu mendapat anak, Amira sudah berusia lebih 30 tahun. Jika
dilewat-lewatkan lagi, entah bila pula Amira akan mengandung.
"Mak bukan apa, kamu berdua bukannya muda lagi, Faizal
pun dah 30 lebih usia, bila lagi kamu nak dapat anak kalau asyik mengelak macam
ni. Memangla kamu berdua masih baru nak kenal, tapi soal nak anak ni bukan
boleh tunggu, usia dah makin lanjut. Amira pun bukan muda lagi," Puan
Fatimah meluahkan juga. Wajah Amira memerah mendengar soal anak dibangkitkan.
Faizal turut tergamam. Anak? Memang ibu bapanya turut inginkan perkara yang
sama, namun, sehingga ke saat ini dia masih tidak terfikir kke arah itu. Dia
masih tidak yakin menggalas tugas sebagai bapa. Malah, sebagai suami pun dia
ragu, apatahlagi sebagai bapa. Encik Amir berdehem tiba-tiba. Sedar luahan hati
isterinya menimbulkan rasa kurang senang di hati Amira dan Faizal. Dia sedar
pasangan itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri antara satu sama
lain. Dia juga tidak mahu terlalu memaksa, Amira walaupun nampak lembut,
hatinya keras. Bimbang jika keterlaluan memaksa, Amira akan buat keputusan
sendiri tanpa mahu berbincang lagi dengan mereka.
"Erm, mungkin buat sementara ni Faizal boleh bermalam
di sini sekali-sekala," Encik Amir tiba-tiba mencadangkan. Amira
membeliakkan mata. Dia menggeleng tidak setuju. Faizal hanya terdiam. Tidak
pasti reaksi yang bagaimana perlu diberikan.
"Hujung minggu depan Faizal bermalam la di sini, boleh
bincang sekali tentang persediaan kenduri nanti," Encik Amir memutuskan
bila melihat Faizal dan Amira seperti hilang kata-kata. Encik Amir bangkit menuju
ke bilik bacaannya. Tidak mahu berbincang lebih panjang. Rasanya keputusan itu
memuaskan hati Puan Fatimah dan sesuai dengan keadaan Amira dan Faizal.
"Mak setuju, kalau Faizal tinggal terus dekat sini pun
tak apa. Boleh Amira jaga makan pakai semua. Dah kahwin ni, ada tanggungjawab
masing-masing. Bukan boleh hidup macam orang bujang," Puan Fatimah sudah
tersenyum senang. Faizal membalas dengan senyuman terpaksa. Amira masih
memasamkan muka.