Minggu ini Faizal tidak dapat pulang ke Kuala
Lumpur. Kali pertama sejak bernikah, atau kali pertama sejak mereka bersetuju
untuk berjanji temu setiap Jumaat malam, dia tidak akan dapat menatap wajah
Amira di hujung minggu. Faizal tidak sedar, walaupun perkahwinan ini satu
keterpaksaan, dia sebenarnya telah mengisi hujung minggunya dengan agenda
berlabel Amira. Walau kadang-kala kesibukan membuatnya terlupa, namun, nama
Amira seakan berusaha menerobos hati dan perasaannya pada setiap peluang yang
ada.
Hari ini setelah selesai melawat tapak projek
di sebelah pagi. Faizal ada masa lapang sehingga majlis pelancaran projek
pembinaan hotel itu yang akan diadakan pada sebelah malam. Faizal merenung jam,
ada 10 jam lagi sebelum majlis malam ini berlangsung. Kalau dia bergegas
mengambil feri, kemudian teksi ke lapangan terbang. Barangkali dia boleh
bertemu Amira dalam masa kurang 5 jam dan dengan baki 5 jam kemudiannya, dia
bolleh bergegas kembali ke pulau ini.
Faizal tersenyum sendiri. Sejauh itu dia
berangan untuk menatap wajah gadis itu. Teringat kali pertama memandang Amira
dan mendengar ucapan 'saya tidak percaya dengan perkahwinan' yang terucap dari
bibir gadis itu. Sejak itu, rasanya Amira tidak pernah meninggalkan fikirannya.
Adakah sebenarnya dia sudahpun jatuh cinta saat itu?
Pertemuan di pejabat Faizal dengan 'lamaran'
yang diajukan. Amira, gadis yang mengaku pertama kali berkawan rapat dengan
seorang lelaki. Dan lelaki itu adalah dia. Faizal tidak mampu untuk berhenti
tersenyum mengenangkan setiap bicara yang mereka bualkan. Tiga janji temu
sebelum dia 'memaksa' Amira menerima pinangannya pula.
Faizal tahu betapa dia rindukan gadis itu.
Faizal juga tahu sejauh mana dia telah jatuh cinta dengan gadis itu. Namun,
Faizal bukan budak remaja yang baru mengenal istilah cinta. Cinta memang indah
di awalnya namun tidak selamanya akan kekal indah dan bermakna. Faizal mula
mengira tempoh perkenalan mereka. 3 minggu bertemu janji, minggu meminang dan
bernikah, minggu ke Kedah, minggu dia membawa Amira ke rumahnya, minggu pertama
kali bermalam di rumah Amira, minggu dia pulang tergesa-gesa dari Terengganu,
minggu satu malam sahaja di rumah Amira dan minggu ini. Ini sudah masuk minggu
ke sepuluh. Sepatutnya dia mengadakan satu sambutan! Faizal ketawa sendiri. Ah,
dia sendirian di pulau yang begitu indah! Kalaulah Amira ada sekarang ini!
Sudah hampir 3 bulan. Tidak tahu selama mana
dia akan merasakan seperti ini. Merindui Amira. Cinta akan pudar ditelan masa.
Jika sungguh itu terjadi, gadis itu pasti kecewa. Amira yang baru pertama kali
mengenal cinta akan terluka. Tapi, cintakah Amira kepadanya? Faizal merenung
lautan. Soalan yang dia perlukan jawapan. Namun, jika dia menerima jawapan
seperti yang dia mahukan, sanggupkah dia untuk bertanggungjawab?
"Abang, berminat nak cuba
snorkelling?" suara seorang lelaki mengejutkan Faizal. Dia berpaling.
Seorang remaja lelaki berdiri di sisinya sambil menunjukkan poster yang
terlekat gambar-gambar indah alam di bawah laut. Ada tulisan besar yang
tertulis 'Snorkelling Package' dan di bawahnya dengan tulisan yang lebih kecil,
'Single - RM 300' dan 'Double - RM 500'. Mata Faizal terhenti pada perkataan
'Double', kalaulah Amira ada.
"Abang," suara remaja lelaki itu
sekali lagi mengejutkan Faizal. Faizal tersenyum sendiri. Amira muncul di
mana-mana. Dia memandang remaja lelaki itu yang mengerutkan kening dengan riak
aneh di wajah Faizal.
"Maaf, tak berminat," Faizal
mengukir senyuman cuba menolak dengan baik. Berenang di dalam lautan bukanlah
kegemarannya. Mungkin jika dengan Amira dia akan mempertimbangkan. Jika Amira
mahu. Remaja itu berlalu pergi. Faizal membiarkan bayu laut menghembus lembut
dan membiarkan fikirannya terus-menerus memikirkan Amira.
"Hai," sekali lagi Faizal berpaling.
Kali ini Faizal hanya mampu terpaku. Bermimpikah dia?