"Maaf saya terlewat," Amira tergesa-gesa duduk.
Dia lewat lagi untuk sesi temuramah bagi ruangan personaliti muda untuk majalah
Muslim. Majalah yang memuatkan isu-isu berkaitan profesional Islam di Malaysia.
Setelah 3 tahun bertugas sebagai pembantu editor, akhirnya Amira diberi
kepercayaan untuk mengendalikan sendiri salah satu ruangan penting di dalam
majalah tersebut. Bagi mendapatkan bahan untuk dimuatkan dalam ruangan
tersebut, dia perlu menemuramah individu-individu yang berjaya dalam profesyen
masing-masing walaupun masih di usia muda. Namun, setelah enam bulan
mengendalikan ruangan tersebut, dia berdepan masalah yag sama. Terlewat tiba
untuk sesi temuramah.
Zaman tersenyum apabila melihat Amira tergopoh-gapah
memasang tripod untuk video kamera bagi merakamkan sesi temuramah tersebut.
Walaupun mereka menerbitkan majalah, setiap temuramah yang dijalankan akan
dirakamkam kerana hasil rakaman yang telah diedit akan dimuat naik ke laman
sesawang syarikat. Penerbitan majalah itu juga sedang mula mengorak langkah
untuk meneroka penerbitan berbentuk digital pula tidak lama lagi.
"Cik boleh ambil masa, teman saya sedang jawab
panggilan," Zaman bersuara sambil memuncungkan bibir ke arah lelaki yang
sedang memegang telefon pintar di telinganya sambil mengadap ke tingkap. Amira
tersenyum melihat lelaki itu dan menoleh semula ke arah Zaman sambil tersenyum
lega.
"Terima kasih. Saya Amira. Encik Faizal?" Amira
mula memperkenalkan diri sambil tangannya ligat membetulkan kedudukan kamera
video yang dipasang.
"Saya Zaman. Itu Faizal," sekali lagi pandangan
mereka terhala kepada lelaki yang masih dengan perbualan di telefonnya itu.
Amira menganngguk dan tersenyum. Terus membetulkan kedudukan kamera agar
rakaman yang bakal dihasilkan memuaskan.
"Nampak sangat sibuk, maaf jika sesi temuramah ini
mengganggu jadual kerja kalian," Amira menoleh seketika ke lelaki di
tingkap itu sebelum memandang semula ke arah Zaman. Zaman tertawa kecil.
"Oh, tidak mengapa, itu bukan soal kerja," Zaman
mula berbicara santai sambil bersandar di sofa. Amira cuma tersenyum, kameranya
sudah sedia, perakam suara juga sudah terletak di atas meja. Buku dan pena
dipangku atas riba.
"Jadi, Cik atau Puan?" Zaman pula berlagak sebagai
wartawan dengan memulakan pertanyaan. Amira terdiam sejenak sebelum tersenyum
dan menjawab tenang.
"Cik. Encik Zaman pula?" Amira kira mungkin dia
boleh mula mengurangkan ketegangan sesi temuramah dengan mula bertukar soal
jawab.
"Saya masih Encik. Ada 3 kosong lagi," Zaman
ketawa lagi. Amira tersenyum dan mengangguk. Zaman nampak mesra dan senang
berbicara.
"Tapi rakan kongsi saya tu, ada 4 kosong," Zaman
senyum memandang Faizal yang masih di telefon.
"Oh, Encik Zaman dah ada anak?" Amira mula mahu
menghidupkan sesi temuramah.
"Ada sepasang kembar. 5 tahun. Saya kahwin ketika usia
30 tahun, dan fikir sudah sangat lewat. Tapi, Faizal sudah 35 tahun masih tidak
mahu berkahwin. Itu, pasti ibunya sedang bertanya perkara yang serupa tentang
bila lagi mahu ditunjukkan menantu dan menimang cucu," Zaman memandang
terus ke arah Faizal. Masih ralit di telefon. Amira menoleh ke arah Faizal.
'35 tahun. Memang sudah sepatutnya berkahwin. Apakah sebab
lelaki ini terus membujang? terlalu sibuk dengan kerjaya mungkin. Tetapi rakan
kongsinya ini ada saja masa untuk mendirikan rumah tangga dan mendapatkan anak.
Barangkali dia juga seperti aku, tidak percaya pada perkahwinan,' Amira
berbicara sendiri.
"Cik Amira, kenapa masih belum berkahwin?"
pertanyaan Zaman menghentikan lamunan Amira.
"Saya tidak percaya dengan perkahwinan," Faizal
yang sudah berdiri di sisi mereka terpegun dengan kata-kata Amira.
"Oh, nampaknya Encik Faizal sudah selesai menjawab
panggilan, kita boleh mulakan sesi temuramah kita," Amira terus menukar
bicara bila sedar dia sudah terlepas kata-kata.