"Kami pergi dulu ye mak, abah," Faizal menyalami
kedua mentuanya. Petang jumaat itu sepatutnya temu janji kali keempat mereka
berlangsung. Tapi, rancangan sudah berubah, pertemuan bukan sekadar untuk satu
malam, tapi hujung minggu di rumah mentua Amira di Kedah.
Selesai urusan menikah malam sabtu itu, rombongan Faizal
kembali semula ke Kedah esoknya. Faizal turut menghantar dan melawat bapanya
yang masih ditahan di wad hospital besar alor setar. Setelah itu pulang semula
ke Kuala Lumpur hari selasanya. Hari rabu, dia sibuk menguruskan urusan
pernikahan, pemeriksaan kesihatan dan kursus kahwin. Mujur ada kursus kahwin
yang diadakan pada hari khamis itu. Kursus kahwin ekspress bagi kes-kes
istimewa seperti dirinya. Amira turut mengikuti, pemeriksaan kesihatan dan
kursus kahwin serta pendaftaran pernikahan. Masih ada yang perlu dibereskan
yang memerlukan untuk mereka hadir lagi ke pejabat agama minggu hadapan.
Amira yang menurut Faizal tanpa banyak bicara. Amira yang
terus-terusan mendiamkan diri menggusarkan hati Faizal. Marahkah Amira? Petang
itu, mereka keluar bersama lagi untuk perjalanan hampir tujuh jam ke Alor
Setar. Setelah berpamitan dengan kedua orang tua Amira, Faizal memandu kereta
memasuki lebuh raya utara-selatan. Setelah tiba di rawang, Amira masih berdiam.
Pandangannya di talakan ke luar tingkap. Ya, sejak mereka di nikahkan, Amira
tidak berbicara sepatah pun. Hanya menurut segala permintaannya. Benar, sejak
mereka berkenalan, sejak Faizal mencadangkan untuk berkahwin, sejak mereka mula
keluar bertemu janji setiap jumaat malam, Amira memang lebih banyak menurut dan
mengikutnya. Malah bila diminta nikah paksa juga, Amira masih diam menurut.
Sehingga kini, Amira menurutinya, tapi tanpa suara dan tanpa reaksi di wajahnya.
Tiba-tiba terdetik di hati Faizal untuk mendengar suara
ceria Amira, senyumannya yang mengusik, bibirnya yang mencebik bila Faizal
mempermainkannya dan tawanya yang riang. Mungkinkah Amira tidak akan jadi
seperti Amira yang dulu setelah apa yang berlaku. Amira yang menganggapnya
kawan lelaki pertama. Adakah dia bukan lagi kawan lelaki Amira bila statusnya
kini berubah kepada suami? Faizal menjeling Amira di sisi yang diam membatu.
Sudah seminggu berlalu, Amira memohon cuti kecemasan selama
lima hari menguruskan urusan perkahwinan tiba-tibanya itu. Dia buka seperti
Faizal yang merupakan bos dan pemilik firma tempat Faizal bekerja sendiri. Dia
makan gaji dan dia sudah membuat temujanji untuk sesi temuramah pada minggu
tersebut yang terpaksa dibatalkan. Selain tidak sibuk dengan urusan
perkahwinan, dia juga tidak dapat fokus dengan kerjanya bila semua ini berlaku.
Keputusan yang berlaku tiba-tiba benar-benar menyerabuti fikirannya.
Walaupun, mereka masih belum tinggal serumah, Amira bertemu
Faizal hampir setiap hari sejak mereka bernikah. Faizal langsung tidak cuba
menjelaskan apa-apa selain apa yang dijelaskan pada petang sabtu sebelum
pernikahan mereka. Faizal hanya meminta Amira membuat pemeriksaan kesihatan,
hadir ke kursus kahwin dan hadir ke pejabat agama untuk pendaftaran pernikahan.
Amira merasakan Faizal sudah tidak kisah lagi perasaannya bila kehendaknya
tercapai. Ya, pernikahan yang memuaskan hati kedua orang tua Faizal. Barangkali
benar kata Faizal, kehadiran wanita dalam hidupnya adalah sesuatu yang melemaskan
dan wanita itu pasti akan terluka kerananya. Amira sedar wanita itu adalah dia.
Dialah wanita yang akan bersama Faizal dalam perkahwinan ini dan terluka
kerananya.