Walaupun kenyataan itu pahit,
namun harus kutelan juga.
Namamu harus kupadam dari kamus hidupku.
Juga lembaran hari-hariku.
Agar kubisa menoleh ke hadapan.
Demi meraih kebahagiaan yang dicari.
Tidak kunafikan bahawa…
Sifat egoismu itu memakan diriku.
Biarlah...
aku masih ada dia.
SELEPAS seminggu berlalu, barulah Rifqie memberanikan diri untuk menjenguk Puan Noor di Melaka. Niat di hati ingin membawa ibunya itu pulang ke Johor. Sudah tiga bulan ibunya itu tinggal dengan adiknya. Tiba masa untuk dia berbakti pada ibunya pula. Cukuplah selama tiga bulan itu dia melukakan hati ibunya. Kebetulan hari ini dia off day. Dapatlah dia menghabiskan masa dengan ibunya itu. Esok dia sudah mula bekerja pada waktu pagi.
Puan Noor dan Cik Ani, ibu saudara Rifqie sudah menghilangkan diri ke dapur. Menyediakan juadah untuk sarapan pagi. Rifqie pula berbual dengan Cik Rahim, suami pada Cik Ani di ruang tamu.
“Macam mana Rifqie dan isteri sekarang ni? Semakin bahagia ke?” soal Cik Rahim. Sebetulnya dia memerli Rifqie kerana tergamak mengguris hati tua ibunya itu.
Rifqie ketap bibir. Sedikit terasa hati dengan sindiran itu. Lantas dikunci bibirnya supaya tidak berlaku salah faham dengan bapa saudaranya itu. Kesilapan itu membawa kehancuran rumah tangganya. Dia menyesal kini.
Cik Rahim menegakkan tubuh. Direnung tajam segenap wajah kacak Rifqie.
“Satu nasihat Cik Rahim pada kamu, Rifqie. Isteri ni boleh dicari. Bila seorang pergi, ada orang lain yang menanti. Ibu tak ada galang gantinya. Selagi ibu masih hidup, selagi tulah Rifqie kena jalankan tanggungjawab Rifqie pada dia. Berdosa jatuhkan air mata ibu ni.” Cik Rahim sekadar memberikan peringatan pada Rifqie.
Rifqie tergamam. Lantas tertunduk dengan rasa bersalah pada ibunya.
Sementara itu, Puan Noor dan Cik Ani muncul dari arah dapur. Di tangan Cik Ani ada dulang berisi lempeng kelapa dan teh o panas. Diletakkan pinggan itu di atas meja. Manakala dulang pula diletakkan di bawah meja. Kemudian dia melabuhkan duduk di sebelah suaminya. Puan Noor pula sudah mengambil tempat di sebelah Rifqie.
“Jemput makan, Rifqie. Masakan biasa aje. Makanan orang kampung,” ajak Cik Ani sambil mengambil piring. Diletakkan lempeng kelapa ke dalam piring. Lalu disuakan kepada suaminya itu.
Piring bertukar tangan. Cik Rahim mula menikmati sarapan paginya itu.
“Ni pun dah cukup, Cik Ani,” balas Rifqie. Dia tidak melepaskan peluang untuk mengambil hati Puan Noor. Dicapai piring. Sekeping lempeng diletakkan di atas piring. Disuakan piring itu kepada Puan Noor. Segaris senyuman manis dihadiahkan buat ibunya itu.
“Terima kasih,” ucap Puan Noor lalu menyambut huluran Rifqie.
Rifqie ambil lempeng untuk dirinya pula.
Suasana sepi seketika.
Habis makan, Cik Ani angkat pinggan yang kotor itu lalu bawa ke sinki.
Rifqie memusingkan tubuh menghadap Puan Noor. Diraih tangan ibunya lalu diciumi dan dikucup penuh syahdu. Ada rasa sebak yang berkumandang di dalam hati. Terasa dirinya begitu berdosa kerana telah mengetepikan ibunya.
“Rifqie minta maaf, ibu. Rifqie tak pedulikan perasaan ibu. Rifqie pentingkan diri sendiri. Rifqie hanya utamakan Maya aje. Patutnya sebagai seorang anak, Rifqie kena bertegas dengan Maya. Rifqie tak boleh ikut kehendak dia. Ibu, jom kita balik Johor? Rifqie rindu ibu sangat.” Rifqie menahan hiba ketika mengucap maaf pada Puan Noor. Kerana Maya, dia terpaksa pilih jalan perpisahan dengan ibunya. Kerana Maya juga, hidupnya hancur! Ah, dia benci Maya!
Cik Rahim mengunci bibir. Memberi ruang pada Rifqie dan kakak sulungnya itu.
Puan Noor menarik tangannya dari pegangan Rifqie.
“Ibu nak duduk sini! Adik-adik ibu ada. Mereka boleh jaga ibu,” balas Puan Noor. Satu demi satu ayat yang pernah terluah dari bibir Maya masih segar di ingatan. Orang tidak suka. Jadi, untuk apa dia tinggal di rumah Rifqie? Dia lebih rela bawa diri.
Rifqie melepaskan keluhan.
“Rifqie anak ibu!” balas Rifqie.
Puan Noor tersenyum lemah.
“Rifqie memang anak ibu. Tapi Maya tak suka ibu duduk rumah tu,” balas Puan Noor dengan nada sedih.
Rifqie memejam mata. Ditarik nafas dalam-dalam sebelum berterus terang tentang perkara sebenar. Dibuka matanya semula bila ada sedikit rasa tenang.
“Rifqie dah bercerai dengan Maya,” akui Rifqie jujur.
Puan Noor terkedu. Begitu juga dengan Cik Rahim. Cik Ani yang baru selesai basuh pinggan kembali ke ruang tamu. Lalu duduk di sebelah suaminya. Mereka bertiga terkejut dengan berita yang baru disampaikan oleh Rifqie.
“Subhanallah… kenapa jadi macam ni, Rifqie?” celah Cik Ani ingin tahu.
“Jodoh kami tak panjang.” Rifqie enggan memberitahu perkara sebenar pada mereka. Biarlah rahsia itu disimpan rapi. Aib orang harus ditutup. Bukan dijaja sana sini. Walaupun jiwanya merana dengan perbuatan Maya, namun dia bukan seorang pendendam.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku?” soal Puan Noor.
Rifqie menoleh memandang Puan Noor.
“Rifqie dah tak nak ingat perkara tu lagi. Apa yang dah lepas tu biarlah lepas,” balas Rifqie dengan nada tegas.
Puan Noor tidak terkata apa.
Rifqie meletakkan telapak tangannya di atas tangan Puan Noor. Ditenung wajah ibunya itu. Sarat dengan rasa kasih seorang anak terhadap ibunya.
“Kita balik Johor ya, ibu? Maya takkan ada dalam hidup kita lagi. Rifqie dan Maya hanya tinggal sejarah. Takkan pernah berulang lagi!” Bersungguh-sungguh Rifqie meyakinkan Puan Noor. Tidak mahu ibunya itu terus berkecil hati.
Puan Noor membisu sejenak. Dikalihkan pandangan ke arah Cik Rahim dan Cik Ani.
Cik Rahim mengukir senyuman lalu mengangguk. Begitu juga dengan Cik Ani.
“Ibu?” panggil Rifqie.
Puan Noor menoleh ke arah Rifqie.
“Baiklah, jom kita balik rumah kita.” Puan Noor akhirnya berasa terpujuk. Terharu dengan usaha Rifqie yang berusaha untuk membetulkan salah faham mereka pada dirinya.
Barulah Rifqie boleh menarik nafas lega. Syukurlah…