BARU selesai masak kudapan untuk murid-murid Prasekolah, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering tanda ada panggilan masuk. Api dapur gas bingkas dipadamkan. Lalu dia ke mejanya. Telefon bimbit dicapai. Tanpa melihat skrin, dia menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum?” sapa Amilin dengan nada sopan.
“Waalaikumusalam. Kau busy ke, Milin?” jawab si pemanggil.
Amilin berkerut dahi. Barulah dia terfikir untuk melihat ke skrin. Oo… Idayu rupanya. Diletakkan semula telefon bimbitnya itu ke telinga.
“Tak sibuk pun. Kenapa akak call ni?” soal Amilin ingin tahu. Dibawa telefon bimbitnya itu keluar dari dapur. Lalu duduk di tempat menunggu murid. Hendak menghirup udara segar sebentar.
Idayu berdehem.
“Aku nak tanya ni. Tapi kau jangan marah pula,” balas Idayu.
“Apa dia?” balas Amilin.
“Macam mana hubungan kau dengan Halim? Masih on lagi ke?” Sengaja Idayu membuka perihal Halim. Ingin memastikan sama ada mereka masih bercinta atau pun tidak. Namun jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan hubungan Amilin dan Halim sudah putus.
Amilin mendengus. Dipejam matanya lalu ditarik nafas dalam-dalam. Kesakitan yang cuba dipadam itu kembali menjerut jiwanya. Dia benci dengar nama itu!
“Milin, kau okey ke ni?” tegur Idayu bila Amilin membisu.
“Jangan sebut nama tu, kak! Dia dah tak wujud dalam hidup Milin! Bagi Milin, Halim dah lama mati! Dia hanya tinggal sejarah aje!” balas Amilin. Sedaya upaya dia cuba menahan sebak bila mengenangkan perbuatan Halim.
“Bukan kau sayang sangat ke kat dia?” sindir Idayu.
Amilin tergelak lemah.
“Tak ada guna ada perasaan tu! Sia-sia aje! Dia dah jadi suami orang,” balas Amilin dengan nada sayu.
Idayu mengukir senyuman penuh makna. Rifqie baru sahaja dikecewakan. Begitu juga dengan Amilin. Bila dua hati yang sedang terluka dicantumkan menjadi satu, mereka pasti saling mencintai dan lebih menghargai. Inilah masanya!
“Kau kan dah buang lelaki tak guna tu jauh-jauh? Apa kata kalau kau pilih orang lain yang lebih sesuai jadi calon suami kau? Mungkin dia boleh bahagiakan kau. Siapa tahu kan?” Idayu memberikan cadangan.
Amilin berdecit.
“Milin tak perlukan siapa-siapa pun! Milin happy dengan hidup Milin!” balas Amilin.
“Kau ni cepat putus asalah! Meh sini aku nak kenalkan kau dengan kawan aku. Kau pernah jumpa dia sebelum ni.” Berhati-hati Idayu menyusun ayat untuk menarik perhatian Amilin.
Amilin jungkit kening.
“Siapa, kak? I’m not interesting!” Amilin mencipta alasan. Cukuplah sekali dia merana. Rasa itu sangat pedih! Dia tidak mahu kesedihan itu dirasai lagi.
“Belum tahu siapa lagi, kau dah terus reject,” marah Idayu.
“Who is he?”
“Rifqie. Kau ingat lagi kan?” balas Idayu.
Amilin terkedu bila mendengar nama itu. Nama yang pernah menggetarkan jiwa wanitanya. Kini ia berlaku lagi. Namun kali ini lebih hebat. Dadanya beralun kencang. Jantungnya bagai di pam-pam. Seperti ada nama Rifqie di setiap denyutan nadinya.
“Orangnya kacak kan? Penampilan terjaga rapi. Walau berkulit gelap, tapi ada daya tarikannya tersendiri. Tambah-tambah lagi dengan status duda dia tu. Bertambah hot! Rugi kalau kau tak nak berkenalan dengan dia tau.”
Gaya Idayu seperti seorang jurujual yang sedang mempromosi barang-barang jualannya sahaja. Cuma bezanya, itu bukan barang dagangan. Sebaliknya percaturan untuk menyatukan dua raga. Dengan niat untuk menjodohkan Amilin dan Rifqie.
Amilin melepaskan keluhan.
“Duda hensem macam Rifqie tu nak ke kat perempuan gemuk gedempol macam Milin ni?” Amilin merendah diri.
“Tak baik cakap macam tu tau! Rifqie yang aku kenal bukan jenis orang yang pandang paras rupa. Masa zaman sekolah dulu, dia tak pernah pilih orang untuk jadi kawan dia. Dalam hal ni, aku yakin yang dia bukan seorang lelaki cerewet. Kau ada hati yang ikhlas, baik, sopan santun dan hormat orang tua. Ciri-ciri tu dah cukup bagi dia, Milin.” Bersungguh-sungguh Idayu meyakinkan Amilin.
“Entahlah…”
Seorang murid prasekolah menghampiri Amilin.
“Cik Milin, Cikgu Hanis minta tolong fotostat ni.” Disuakan sehelai lembaran kerja pada Amilin.
“Ok.” Amilin menyambut huluran kertas itu.
Murid prasekolah itu beredar ke kelas.
“Milin nak pergi ofis kejap. Bye!” Tutt! Amilin mematikan talian. Lalu menyusun langkah melepasi pagar prasekolah.
Beep! Mesej dari Idayu masuk. Wanita itu share nombor telefon Rifqie. Ada beberapa potong ayat dikirim juga.
Idayu: Aku send no phone dia ni. Klau rsa nk berkenalan, mesej dia k.
Langkah Amilin mati. Diperhatikan nombor telefon Rifqie. Kedua-dua belah tangannya menggigil. Hatinya kembali berbunga semula. Lantas disimpan nombor telefon Rifqie di dalam phonebook telefon bimbitnya. Setelah itu, dia mula melangkah menuju ke pejabat.