“RILEKS,Am.
Jangan gelabah tak tentu hala. Kita doakan yang terbaik untuk Maira,” tegur
Erika dengan nada suara lembut. Pening kepalanya melihat tingkah laku Iqram.
Dari tadi, lelaki itu asyik mundar-mandir. Nak tawaf satu hospital agaknya. Dia
tahu, adiknya itu risaukan situasi Maira di waktu sekarang, dia pun berasa
risau juga.
Langkah Iqram serta-merta mati tatkala
mendengar teguran Erika. Serentak itu, dia melabuhkan duduk di sebelah kakaknya
itu. Dia menoleh memandang wajah kakaknya itu. Raut wajahnya kelihatan resah.
“Macam mana Am nak bertenang, kak? Isteri Am kat dalam tu!” balasnya, sambil
menuding jari ke arah bilik kecemasan. Spontan, sebuah keluhan berat terhembus
keluar dari bibirnya. Selagi dia belum menerima berita mengenai diri Maira,
selagi itulah hatinya terus dihambat kerisauan.
“Akak tahu, Am risaukan Maira. Kalau
akak kat tempat Am, akak pun akan rasa perkara yang sama jugak,” balas Erika.
“Tapi…” Dia menyentuh tangan Iqram, lalu menggenggam erat tangan adiknya itu.
“Am kena kuatkan mental dan emosi diri Am. Maira perlukan kekuatan dan sokongan
moral daripada Am. Dia sedang bertarung melawan kesakitan sekarang ni. Jadi, Am
tak boleh lemah di hadapan Maira!” sambungnya bersungguh-sungguh.
Iqram membuang keluhan untuk kesekian
kalinya. Tangannya yang sedang digenggam erat oleh Erika, perlahan-lahan
ditarik. Serentak itu, dia meraupkan wajahnya yang kelihatan resah itu. “Am
bukannya apa, kak. Am takut kalau-kalau sesuatu yang buruk menimpa diri Maira.
Am tak sanggup kehilangan dia.” Dia menyuarakan kebimbangan yang sedang
bersarang di benaknya kala ini.
Erika tersenyum. “Insya-ALLAH, Maira
akan selamat. Jangan fikir yang bukan-bukan, okey? Nanti lain pula jadinya,”
balasnya dengan suara tegas. Tidak mahu adiknya itu terus beranggapan negatif.
Iqram hanya mampu tersenyum hambar.
Sementara dari arah pintu Jabatan Kecemasan Hospital Kuala
Lumpur, kelihatan lima individu tergesa-gesa menyusun langkah menuju ke arah
kaunter jururawat. Seusai tiba di hadapan kaunter jururawat, langkah mereka
serta-merta mati.
Bola mata Iqram teralih ke arah kaunter jururawat. Tatkala
melihat wajah keluarga dan keluarga mentuanya itu, serta-merta lelaki itu
bangun lalu menerpa ke arah mereka.
“Papa, mama, abah, mak, mak uda?” tegurnya dengan nada suara
lemah.
Spontan, lima pasang mata itu menoleh memandang Iqram.
“Am?” tegur Puan Fadilah. “Macam mana
keadaan Maira, Am?” soalnya dengan nada risau. Terpamer riak kerisauan di wajah
wanita itu.
Iqram melepas keluhan berat. Entah
untuk kali keberapa dia mengeluh, tidak terkira rasanya. “Am mintak maaf, abah,
mak, mak uda. Am dah janji untuk jaga Maira sebaik yang mungkin, tapi…” Ayatnya
terhenti sejenak. Wajahnya berubah riak serba salah. “Am lalai dalam
tanggungjawab untuk menjaga Maira,” luahnya dengan nada serba salah.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku, Am?”
soal Mak Uda Harlina ingin tahu.
Iqram menggeleng lemah. “Am tak tahu,
mak uda. Am tengah bermesyuarat dengan ahli lembaga pengarah tadi. Tahu-tahu
aje, Dayah bagitahu yang Maira jatuh. Am betul-betul rasa terkejut masa tu.
Rasa macam nyawa Am terbang bila dapat tahu berita tragis tu,” balasnya dengan
nada sebak.
Tiba-tiba, kedengaran suara Datuk
Hakim melepaskan keluhan berat. “Kalaulah papa tahu perkara macam ni akan
berlaku, papa takkan adakan mesyuarat ahli lembaga tu hari ni, Am. Patutlah
papa rasa macam tak sedap hati aje. Rupa-rupanya… ya ALLAH!” celah Datuk Hakim
mula berasa sebak dengan peristiwa yang menimpa menantunya itu.
Encik Azmil mengukir senyuman. “Sudahlah tu, Am, Abang
Hakim. Tak perlulah kita saling menyalahi diri sendiri. Nasi dah jadi bubur.
Perkara dah pun berlaku. Nak menyesal pun, dah tak ada guna lagi,” celahnya
dengan nada tenang. Wajahnya kelihatan begitu tenang sekali. Langsung tidak
melatah dengan apa yang sudah berlaku itu. “Yang penting sekarang ni, kita kena
panjatkan doa pada Yang Maha Esa agar Maira selamat.”
Puan Fadillah mengangguk. “Betul tu.”
Datin Marina menyentuh tangan
besannya. Terpancar riak serba salah di segenap wajah jelita itu. Dia tersenyum
payah “Kak Ina mintak maaf, Illa. Kamu sekeluarga serahkan Maira sebagai
menantu dalam keadaan baik. Tapi, kami alpa dalam menjaga dia. Kami gagal,”
ucapnya dengan nada sebak.
Puan Fadillah tersenyum. “Kun Faya
Kun! ALLAH kata jadi, maka jadilah ia. Apa yang berlaku pada Maira adalah
kehendak-NYA. Semuanya sudah tertulis dalam qada dan qadar. Kami redha dengan
apa yang dah berlaku,” balasnya lembut.
“Tapi…” Datuk Hakim ingin mencelah.
Namun Encik Azmil segera menghalang.
“Kita doakan yang terbaik untuk Maira, ya?” celahnya.
Mereka hanya mampu mengangguk dan
berserah pada takdir. Dalam doa dan harapan supaya Maira berada dalam keadaan
selamat.
Baru sahaja Iqram hendak mencelah,
tiba-tiba muncul seorang wanita lengkap berpakaian pakaian seragam doktor
keluar dari bilik kecemasan. Serta-merta Iqram menerpa ke arah doktor itu.
“Macam mana keadaan isteri dan anak
saya, doktor?” soal Iqram tidak sabar.
Doktor wanita itu tersenyum. Di sudut
bahu kanan wanita itu tersemat tag nama yang tertulis Dr. Rohaya.
“Alhamdulillah, Puan Maira selamat. Bayi dalam kandungannya juga berada dalam
keadaan selamat,” beritahunya.
Iqram menarik nafas lega mendengar
jawapan itu. “Syukurlah.” Dia menyapu wajahnya sebagai tanda syukur.
Seisi keluarganya juga berasa lega
apabila menerima berita baik itu. Syukurlah, nyawa Maira masih panjang lagi.
Bayi dalam kandungannya juga turut diberikan kesempatan untuk melihat dunia.
Alhamdulillah!
DAUN
pintu bilik terkuak ke luar, memanggil Maira untuk melihat si empunya tangan
yang membuka daun pintu itu. Tersembul wajah Iqram di muka pintu. Mengundang
segaris senyuman manis di bibir Maira.
“Sayang?” tegur Iqram lembut. Dia
menyusun langkah menuju ke arah katil, lalu melabuhkan duduk di sebelah Maira.
“Sayang okey ke?” Hiba hatinya tatkala melihat wajah isteri tercinta yang
sedang terbaring lemah di atas katil.
Maira tersenyum lemah. “Alhamdulillah,
bang. Maira dah okey.” Dia menjawab dengan suara lembut.
Iqram meramas tangan Maira. “Abang
rasa lega bila doktor kata Maira selamat. Jantung abang ni macam nak tercabut
aje bila Dayah bagitahu Maira jatuh. Abang takut kalau abang kehilangan Maira.
Abang tak boleh hidup tanpa Maira. Maira separuh daripada nyawa abang. Abang
terlalu sayangkan Maira. Dan abang juga rasa bersyukur sangat.” Iqram mengusap
lembut perut Maira. “Anak kita selamat,” tambahnya.
Terharu hatinya tatkala mendengar kata-kata Iqram. Terasa
dirinya begitu disayangi dan dihargai oleh insan yang bergelar suami itu.
“Selagi ALLAH beri kesempatan untuk Maira terus bernafas, selagi itulah Maira
akan ada di sisi abang. Abang juga dah jadi separuh daripada nyawa Maira. Maira
sayangkan abang.” Maira membalas. “Dan Maira juga berjanji agar menjaga anak
kita, bang.”
Iqram tersenyum. “Abang tahu, Maira
takkan tinggalkan abang.”
“Tiada apapun yang boleh pisahkan kita
kecuali mati, bang,” jawab Maira bersungguh-sungguh.
Iqram mengangguk. “Betul tu, sayang,”
balasnya.
Tiba-tiba daun pintu terkuak dari luar.
Muncul Datuk Hakim, Datin Marina, Encik Azmil, Puan Fadilah dan Mak Uda Harlina
di muka pintu. Mereka mengatur langkah seiringan menuju ke katil Maira.
“Papa rasa lega sangat, Maira. Syukur
alhamdulillah, Maira dan cucu kami berada dalam keadaan selamat. Risau kami
jadinya bila Dayah bagitahu Maira jatuh,” celah Datuk Hakim.
Maira tersenyum. “Ni semua kuasa
ALLAH, papa. Maira dan bayi dalam kandungan Maira selamat atas izin-NYA. ALLAH
masih berikan kami peluang untuk terus bernafas di muka bumi ni,” balasnya.
Datin Marina menyentuh tangan Maira.
“Betul cakap Maira. Semua ni atas izin-NYA,” celahnya.
Maira hanya mengangguk.
“Iqram?” Tiba-tiba kedengaran suara
Puan Fadilah menegur.
Iqram spontan menoleh memandang ibu
mentuanya. “Ya, ibu?”
“Janji dengan ibu, Am akan jaga anak
dan cucu ibu dengan baik. Ibu tak nak perkara buruk menimpa anak dan cucu ibu,”
pinta Puan Fadillah penuh mengharap.
Iqram tersenyum lalu mengangguk.
“Insya-ALLAH, ibu. Selagi ALLAH beri kesempatan untuk Am terus bernafas, selagi
tulah Am akan jaga isteri dan anak kami dengan sebaiknya. Ibu jangan risau ya,”
janjinya bersungguh-sungguh.
“Awak ni, Illa.” Tiba-tiba Encik Azmil
bersuara. “Kita doakan yang terbaik untuk anak dan cucu kita. Insya-ALLAH, takkan
ada perkara buruk menimpa mereka,” tambahnya beria-ia.
“Amin, abah,” celah Iqram.
“Mak uda rasa tak sedap hatilah, Am,
Maira.” Tiba-tiba Mak Uda Harlina menyuarakan rasa tidak enak yang mula
bermukim di hatinya.
Seisi mata menyorot memandang Mak Uda
Harlina.
“Kenapa, mak uda?” soal Maira ingin
tahu.
Mak Uda Harlina merenung tajam Iqram.
“Macam mana Mai boleh terjatuh kat pantri?
Ada benda licin ke kat situ? Takkan cleaner
kat ofis kamu tu biarkan lantai kat pantri tu terdedah dengan bahan basah?” Dia
mula membuat andaian sendiri. Terdetik sesuatu di benak fikirannya. Ada orang
cuba menganiayai Mairakah?
Iqram terdiam. Dia mula menyedari
sesuatu. Serta-merta rasa tidak enak menyelinap masuk ke hati. Betul cakap mak
uda. Takkanlah cleaner boleh biarkan
lantai katpantri tu terdedah dengan
bahan basah? Mesti ada sesuatu yang sedang berlaku. Aku kena siasat! Tekadnya di
dalam hati.