“KAU tak tahu apa yang dah berlaku! Kau baru kenal aku! Kau tak berhak tentukan sama ada lelaki tua tu baik atau tak! Dia tu depan orang aje baik. Pijak semut pun tak mati! Tapi hakikatnya, dialah…”
“Astaghfiurlah al-azim! Apa Zira cakap ni? Jangan pandai nak buat cerita! Abah tu lelaki baik! Macam tu juga dengan mak. Zira patut tenung kesilapan diri. Sebagai anak, Zira tak boleh kurang ajar dengan mereka!” potong Amin sebelum sempat Zira menghabiskan ayatnya itu. Sebelah tangannya memegang stereng kereta. Manakala sebelah lagi pula mengurut dada.
Qisha dan Iqbal yang berada di belakang sudah saling berpelukan. Takut bila melihat pergaduhan ayah dan mummy. Ditekup mulut agar si ibu tidak mendengar suara tangisan mereka. Buruk padahnya kelak!
Zira mendengus.
“Kau dah terpedaya dengan lakonan baik dia, Amin! Aku, anak dia yang lebih kenal siapa dia sebenarnya! Mak aku sendiri pun, isteri dia, tak tahu siapa dia! Dia lelaki jahat! Jahat!” jerit Zira sambil berkali-kali mengetuk dashboard.
“Okey, cakap! Siapa dia?” Amin tidak mampu menahan sabar lagi.
“Sudahlah!!!” pekik Qisha sambil tersedu-sedan.
Zira berang. Bingkas dipusingkan tubuhnya ke belakang. Beberapa kali dicubit peha dua beradik itu untuk melepaskan geram.
“Kenapa kau dan adik kau ni tak mampus haa? Patutnya mati aje dari dulu lagi! Korang hidup pun menyusahkan aku aje!” Zira bak hilang pertimbangan diri. Seolah-olah lupa bahawa Qisha dan Iqbal adalah anaknya. Tiada sekelumit pun kasih sayang yang membaluti hatinya. Hanya ada kebencian!
“Sakit, mummy! Sakit!” Iqbal merengek sambil tangannya menangkis setiap tindakan ibunya itu.
Begitu juga dengan Qisha yang berusaha menghalang perbuatan ibunya. Susuk tubuh si adik ditarik ke arahnya. Berusaha melindungi adiknya itu dari terus disakiti.
“Zira, cukup! Kesian budak-budak tu! Kalau Zira marahkan abang sekalipun, jangan cederakan budak-budak tu! Mereka tak bersalah!” herdik Amin.
Tangan kiri Amin menggapai tangan Zira. Tidak mahu Zira terus menjadikan Qisha dan Iqbal sebagai habuan untuk melepaskan dendam. Tumpuan terhadap pemanduan mulai terganggu. Gara-gara itu, kereta yang dipandu Amin itu hilang arah. Sekejap bergerak ke kiri. Sekejap pula ke kanan.
Tanpa disedari, sebuah lori sedang melalui jalan dari arah bertentangan. Bila melihat situasi itu, drebar lori cepat-cepat membunyikan hon.
Bagaikan tersedar, Amin pantas memusingkan stereng kereta ke arah kiri. Lalu brek kaki ditekan sehingga habis. Kereta itu serta-merta berhenti secara mengejut sehingga menghasilkan bunyi geselan tayar.
Tubuh Qisha dan Iqbal terpelanting ke hadapan. Mujurlah Amin lekas menyambar dua tubuh kecil itu. Jika tidak, entah apa yang akan terjadi pada mereka. Dua kanak-kanak itu dipeluk kejap, diiringi dengan usapan di bahagian belakang tubuh mereka.
“Shh… kita selamat,” pujuk Amin dengan nada lembut. Menenangkan hati dua beradik itu. Luluh hatinya bila mengenangkan nasib dua kanak-kanak itu. Menjadi mangsa amukan Zira.
Zira pula terdiam kaku di tempat duduknya. Mungkin terkejut dengan kejadian itu.