“AYAH, Iqbal nak tidur rumah tok! Nak tengok cerita kartun!” rengek Iqbal sambil menarik hujung lengan baju Amin.
“Qisha pun!” celah Qisha.
Amin mengukir senyuman. Dikalihkan pandangannya ke arah Zira.
“Zira okey kan kalau kita bermalam kat rumah mak?” Amin menyoal Zira. Meminta persetujuan isterinya itu. Sedari dahulu lagi, Zira memang tidak mahu tidur di rumah keluarganya itu. Bermacam-macam jenis alasan yang dia berikan.
Zira mengunci bibirnya.
“Zira?” tegur Amin.
Zira bangun.
“Aku nak balik!” bentak Zira.
Amin ikut sama bangun.
“Zira tak kesian kat anak-anak kita ke? Apa salahnya kalau kita bagi mereka peluang untuk bermanja dengan mak?” pujuk Amin. Dengan harapan agar Zira dapat bertimbang rasa.
Zira mendengus.
“Aku kata tak nak tu tak naklah! Kau tak faham bahasa ke hah? Kenapa nak paksa aku?” herdik Zira.
Kebetulan pada masa itu, Encik Ahmad baru muncul dari dapur. Dilabuhkan duduk di sisi Qisha yang sedang leka menyusun huruf ABC di atas keyboard. Mata Zira terpaku pada susuk tubuh ayahnya itu. Diperhatikan tangan ayahnya yang sesekali memaut bahu Qisha.
“Zira, kita tidur sini ya?” Amin mencuba nasib sekali lagi.
Tiada kata balas dari Zira. Sebaliknya wanita itu masih merenung tajam Encik Ahmad.
Amin meninggalkan Zira. Dia kembali dudd duduk di sebelah Iqbal.
“Ayah? Boleh ke tak?” panggil Iqbal.
“Boleh!” Amin mengusap ubun-ubun kepala Iqbal.
“Yeay!” Iqbal bersorak gembira.
Begitu juga dengan Qisha.
Tiba waktu malam, ketika semua orang di rumah itu sedang tidur, tinggal Zira sahaja yang masih terkebil-kebil. Dia memeluk tubuh sambil memandang kiri dan kanan. Wajahnya kelihatan pucat. Dia seperti takutkan sesuatu. Mata pula tidak lari dari menatap susuk tubuh Qisha yang sudah lena dibuai mimpi. Diketap bawah bibirnya. Air mata tiba-tiba laju mengalir lalu membasahi wajahnya.
Zass!
Dalam sekelip mata, susana bertukar kelam. Kabur. Lama-kelamaan menjadi gelap. Zira hilang arah. Suara tangisannya semakin kuat. Hatinya menjerit meminta tolong. Tapi tiada sesiapa pun yang dengar pekikannya.
Zira bagaikan ditarik ke sebuah bilik. Di dalam bilik itu, ada seorang lelaki yang sedang tersenyum penuh makna. Wajah itu kelihatan samar-samar. Tap… tap… semakin lelaki itu menyusun langkah menghampirinya, semakin jiwanya meraung.
“Pergi! Pergi! Jangan datang dekat! Pergi! Pergi!”
“Zira? Zira?”
Zira tersedar. Terkebil-kebil matanya memandang Amin. Qisha dan Iqhal memandangnya dengan memek muka mengantuk. Manakala, Puan Amira pula tercegat di tepi dinding. Encik Ahmad yang terkejut dengan riuh rendah itu, terus tergesa-gesa ke ruang tamu.
“Zira okey ke ni?”
Zira bingkas bangun.
“Aku nak balik! Aku nak balik! Kau faham tak? Aku nak balik! Nak balik!” Zira meroyan. Dicapai apa-apa jenis barang yang berada dekat dengannya. Lalu lempar ke tubuh Amin dan anak-anaknya.
Amin sepantas kilat melindungi Qisha dan Iqbal. Tidak mahu anak-anaknya cedera disebabkan perbuatan gila Zira. Qisha dan Iqbal pula sudah saling berpelukan kerana takut.
“Zira, ingat ALLAH! Istighfar!” Amin cuba menenangkan emosi Zira.
“Aku dah cakap tadi kan? Aku nak berambus dari sini! Kau yang paksa aku duduk neraka jahanam ni! Aku benci tengok muka orang dalam rumah ni! Benci!” bentak Zira dengan nada lantang. Turun naik nafasnya menandakan diri sudah dikuasai amarah.
“Astaghfiurlah al-azim! Zira sedar tak apa yang Zira cakap ni? Ni rumah famili Zira!” Amin masih bersabar melayani tingkah laku isterinya itu.
“Diorang bukan keluarga akulah!” herdik Zira.
“Kalau kau nak buat bising kat rumah aku ni, lebih baik kau balik ajelah, Zira! Memekak aje pagi-pagi buta ni!” Puan Amira memberanikan diri menegur perlakuan Zira. Marah dengan tindakan Zira yang mengganggu lenanya.
Zira terkesima. Dikalihkan pandangannya ke arah Puan Amira. Wajah wanita tua itu dicerlung tajam.
“Jaga mulut mak tu ek! Selama ni mak dah dapat macam-macam benda! Duit, barang kemas, barang dapur, apa lagi yang aku tak bagi haa? Sekarang ni aku nak mak bayar balik kos yang aku dah keluarkan tu! Bak balik semua tu!” Seperti biasa, Zira mula mengungkit setiap satu pemberiannya pada Puan Amira. Pantang ada salah dan silap sikit, mulalah Zira naik angin.
Puan Amira mencemik.
“Aku tak pernah minta pun,” balas Puan Amira membela diri.
Zira melemparkan tawa sinis.
“Habis tu, mak nak mati kering ke kat dalam rumah ni haa? Tegakkan benang yang basah konon? Mak minta macam-macam benda kat aku! Nak nafi apa lagi?” Ada sahaja jawapan Zira.
Amin mengeluh.
“Tak baik buat macam tu kat mak, Zira! Ikhlaskan hati tu! Dah memang jadi tanggungjawab kita berbakti pada orang tua,” celah Amin.
“Kau diamlah, lelaki tak guna! Tak payah masuk campur hal aku!” bidas Zira dengan nada keras.
Encik Ahmad berdecit.
“Baliklah! Tak payah nak buat drama kat sini!” Selamba Encik Ahmad menyindir Zira.
Zira terkesima. Lantas bingkas diterkam tubuh Encik Ahmad. Dicekik batang leher tua itu. Sehingga ayahnya itu sesak nafas. Wajah itu ditenung dengan penuh kemarahan yang membara-bara.
“Kau siapa nak halang tindakan aku haa? Kau cermin diri kau tu dulu! Cari salah kau! Cari silap kau! Fikir kenapa aku bencikan kau! Kenapa Amilin keluar dari rumah ni! Semua sebab kau! Sebab kau! Kau yang dah…” Setitis demi setitis air mata Zira tumpah.
“Abah tak faham apa yang Zira cuba sampaikan ni!” Terbatuk-batuk Encik Ahmad ketika membalas tuduhan Zira.
Zira merengus kasar.
“Kau tahu apa yang aku maksudkan! Aku tahu semua rahsia kau! Kau nak aku bongkarkan sekarang ke haa? Biar semua orang tahu?” tekan Zira dengan nada lantang.
Berubah air muka Encik Ahmad. Pucat lesi wajahnya. Dia termati kata.
Zira jungkit kening.
“Kenapa diam? Kau…”
“Jom balik!” Amin bertindak menarik tangan Zira.
“Aku belum habis dengan orang tua ni lagilah!” Zira tepis tangan Amin.
“Jom!” Amin semakin hilang sabar. Diheret tangan Zira ke muka pintu.
“Baliklah!” Puan Amira menghalau Zira.
“Bayar balik semua duit aku! Bayar balik!” Terpekik terlolong suara Zira. Namun kakinya tetap melangkah membuntuti langkah Amin.
Terkocoh-kocoh Qisha dan Iqbal mengikut jejak mereka.