9-2

CIKGU HANIS berpeluk tubuh sambil memandang Amilin dengan penuh rasa simpati. Luluh hatinya tatkala melihat Amilin yang sedang duduk sambil memeluk lutut di tepi dinding. Perbuatan Halim memberikan tamparan hebat pada Amilin. Dikhinati sang kekasih yang sangat dicintai, begitu pedih rasanya!

Cikgu Wan mendekati Amilin. Dilabuhkan duduk di hadapan Amilin. Kak Zulaikha pula duduk di sisi kiri Amilin. Dipusingkan tubuhnya ke arah gadis itu.

Cikgu Wan mengusap peha kanan Amilin.

“Janganlah terus bersedih macam ni, Milin. Tak ada guna Milin nak meratap menangis sebab Halim. Situasi sekarang ni takkan berubah. Hakikatnya Halim dah jadi suami orang,” pujuk Cikgu Wan.

Kak Zulaikha angguk. Setuju dengan kata-kata Guru Prasekolah itu.

“Betul kata Kak Wan tu! Lelaki bukan seorang aje kat muka bumi ni. Masih ramai lagi. Cuma bezanya hati. Ada yang baik. Ada yang jahat. Ada yang ikhlas dan jujur. Ada juga yang sebaliknya,” balas Kak Zulaikha.

“Dan kita sebagai manusia kena pandai bezakan yang mana betul dan yang mana salah. Satu kesilapan Milin. Milin ikutkan perasaan cinta Milin,” celah Cikgu Hanis.

Cikgu Hanis mendekati Amilin. Lalu duduk di sisi kanan Amilin. 

“Akak faham. Akak pun pernah lalui rasa kecewa dengan cinta pertama. Semua orang juga pernah rasa kecewa. Tu lumrah dunia. Tapi kecewa sekali bukan beerti kecewa banyak kali, Milin,” sambungnya dengan nada tegas.

“Ni dugaan Milin. ALLAH nak uji Milin supaya Milin belajar jadi wanita tabah dan cekal dengan permainan duniawi. DIA tak nak leka dengan godaan dunia. Percayalah… apa yang berlaku ni mungkin ada hikmahnya, Milin,” balas Kak Zulaikha bersungguh-sungguh. 

Ada air mata yang bertakung di kolam matanya. Ditahan agar tidak mengalir. Tidak mahu Amilin terus berduka lagi.

Amilin tersenyum lemah.

“Semua dah hancur. Dah tak tinggal apa-apa untuk Milin lagi. Dah… dah…” Amilin menangis teresak-esak. Milin perempuan kotor! Milin dah tak suci lagi! Milin dah hilang maruah diri! Dia memarahi kebodohan dirinya! Begitu mudah menyerahkan mahkota diri kepada lelaki yang telah buta dengan syurga dunia.

Cikgu Wan tarik Amilin ke dalam pelukan. Diusap lembut belakang tubuh gadis yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri.

“Menangislah kalau tu yang boleh kurangkan sikit luka dan beban dalam hati Milin,” ucap Cikgu Wan. Akhirnya, setitis air mata gugur di pipinya. Hiba dengan kesakitan yang dirasai Amilin.

Cikgu Hanis menggosok tangan Amilin.

“Lepaskan semuanya, Milin! Supaya tak ada satu rasa pun yang tinggal lagi. Supaya Milin kuat untuk hari esok dan akan datang.” Tumpah air mata Cikgu Hanis. Turut sama merasai penderitaan Amilin.

Kak Zulaikha tidak mampu membendung kesedihan lagi. Dia ikut sama melepaskan tangisan.

“Ingat pesan akak ni. Hari ni Milin jumpa lelaki yang salah. ALLAH tu Maha Berkuasa. Insya-ALLAH, DIA akan hadirkan insan yang ikhlas sayangkan Milin nanti,” balas Kak Zulaikha.

Cikgu Wan meleraikan pelukan. Dipandang wajah Amilin. Sarat dengan rasa kasih seorang kakak terhadap adiknya.

“Lupakan Halim! Anggap Halim tak pernah wujud dalam hidup Milin! Mulakan hidup baru! Jangan pernah toleh ke belakang lagi! Terus langkah ke depan! Boleh?” pinta Cikgu Wan penuh harap.

Amilin geleng lemah.

Cikgu Hanis tolak dagu Amilin ke kanan. Ke arahnya.

“Jangan kata tak boleh! Milin boleh! Milin yang akak kenal bukan mudah menyerah kalah! Milin kuat! Milin juga seorang yang ceria! Akak nak tengok Milin yang sebelum ni! Akak tak nak yang sekarang!” rayu Cikgu Hanis.

Amilin teresak-esak.

“Milin tak mampu. Milin frust! Hati Milin retak seribu!” balas Amilin perlahan. Macam mana Milin nak teruskan hidup? Macam orang biasa? Milin dihantui rasa berdosa tu, kak. Dosa kerana berpaling daripada tuntutan agama. Gagal jaga kesucian seorang gadis. Gagal… ALLAH… Rintih Amilin penuh penyesalan.

Kak Zulaikha genggam tangan Amilin.

“Kami kan ada! Kami akan sokong Milin dari belakang! Sampai Milin dapat buang nama dan muka Halim dari ingatan!” balas Kak Zulaikha.

Cikgu Hanis terangguk-angguk. Begitu juga dengan Cikgu Wan.

“Kita kan satu team! So we need to support each other! Kalau salah seorang dari kita rebah, yang lain kena bantu untuk dia bangkit balik!” ucap Cikgu Wan.

“Dan kita pun pernah janji. Kita bukan setakat rakan kerja aje. Tapi kita adalah satu famili!” celah Cikgu Wan.

“Ya! You are our youngest sister! Adik manja dan nakal kami!” tekan Kak Zulaikha. Sempat dia menyelitkan gurauan. Sekadar ingin menghiburkan hati Amilin.

Kali ini barulah Amilin mampu tersenyum. Tersentuh dengan usaha mereka. 

“Terima kasih sebab selalu ada dengan Milin.” Lalu Amilin memeluk tubuh Cikgu Wan.

“Nak hug juga!” Cikgu Hanis memeluk mereka berdua.

“Nak!” Kak Zulaikha turut sama berpelukan.

Amilin tarik nafas dalam-dalam. Kau kena tabah, Milin! Demi mereka bertiga! Walaupun… dipejam matanya rapat. Mengusir pergi kisah hitam itu jauh-jauh.


Previous: 9-1
Next: 9-3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.