8-2

HARI ini, Rifqie pulang ke rumah lebih awal. Bahagian belakang tubuhnya terasa sakit dan berdenyut-denyut. Masakan tidak, pekerjaannya sebagai Operator Terminal memaksa untuk dia berada di atas kren. Tugasnya adalah mengangkat kontena menggunakan jentera kren. Oleh itu, dia perlu membongkokkan tubuhnya untuk tunduk ke bawah bagi menyiapkan kerjanya itu.

Mujurlah ada rakan yang sudi menggantikannya bagi slot seterusnya. Jika tidak, dia perlu bekerja dari pukul 3 hingga 7 pagi. Jadi, supervisor membenarkan dia balik pada pukul 1. Dapatlah dia melepaskan lelah dan berehat. 

Sepanjang perjalanan ke rumah, beberapa kali Rifqie mengadu kesakitan. Disapu minyak angin ke bahagian pinggang dan belakang. Mahu meredakan ketegangan yang dirasai. Usai sampai nanti, dia mahu makan ubat tahan sakit. Kemudian tidur.

Tiba di rumah, Rifqie terkedu bila menyedari ada dua pasang selipar di hadapan muka pintu. Satu selipar milik Maya. Satu lagi milik siapa? Dia mula rasa tidak sedap hati. Setelah enjin dimatikan, dia membolos keluar dari perut kereta. Langkah diatur menuju ke muka pintu. 

Baru hendak memulas tombol pintu, telinga Rifqie terdengar sayup-sayup suara dari dalam. Sepantas kilat Rifqie buka pintu itu lalu menyerbu bilik Maya. Lemah longlai lututnya tatkala melihat Maya bersama orang lain di dalam bilik. Pelbagai rasa terbit di hati. Rasa marah, kecewa, sedih dan benci!

Maya cepat-cepat bangun lalu menghampiri Rifqie.

“Rifqie, saya boleh explain. Ni bukan macam yang awak sangkakan. Kami…”

Rifqie merenung tajam Maya.

“Nak terang apa lagi, Maya? Mata saya ni belum buta lagi! Saya nampak apa yang awak buat dengan dia! Ni pilihan awak? Habis tu, saya ni apa? Tunggul kayu ke? Tak ada hati dan perasaan?” bidas Rifqie dengan nada lantang.

Maya cuba meraih tangan Rifqie.

“Jangan sentuh saya! Saya jijik!” tengking Rifqie, menepis kasar tangan Maya.

“Percayalah cakap saya, Rifqie. Kami berdua tak ada apa-apa! Kami…”

Rifqie ketawa sinis.

“Kononnya awak belum bersedia untuk terima saya? Saya bagi ruang dan peluang pada awak. Sampaikan ibu saya sendiri pun merajuk dan berjauh hati dengan saya, Maya! Awak juga pandang rendah taraf saya sebagai suami awak!” sindir Rifqie.

Maya menitiskan air mata.

“Saya minta maaf, Rifqie. Saya…”

“Bukan pada saya, tapi pada ALLAH! Awak dah menyekutukan ALLAH! Sebegitu buruk sikap sebenar awak? Subhanallah! Bertaubatlah sebelum terlambat, Maya! Kembalilah ke pangkal jalan. Jangan ikutkan nafsu awak ni! Buruk padahnya kelak!” Sempat Rifqie menasihati Maya. Padahal, hatinya sudah cukup lumat dikerjakan Maya. 

“Saya perlukan awak, Rifqie. I’m sorry. Give me a second chance, please,” rayu Maya. Masih tidak mahu mengalah.

Rifqie mendengus.

“Untuk apa? Untuk sembunyikan sikap awak dari khalayak ramai? Rupa-rupanya awak pergunakan saya selama ni, Maya! Saya kecewa dengan awak! Tiga bulan awak perbodohkan saya. Tiga bulan saya tahan sabar dengan kerenah awak! Tiga bulan ibu saya jauhkan diri daripada saya. Ni yang saya dapat?” herdik Rifqie. Cinta yang dipertahankan hanyalah sia-sia. Ah, dia tersalah dalam memilih wanita di dalam hidupnya.

Maya mengangkat tangan kanannya umpama sedang  membaca ikrar.

“Saya janji saya akan berubah, Rifqie!” balas Maya bersungguh-sungguh.

“Cukuplah, Maya! Cukuplah selama tiga bulan tu! Macam-macam perkara saya dah lalui sepanjang kita hidup berdua. Saya bukan lelaki dayus yang boleh tutup mata dan biarkan awak buat sesuka hati! Saya ada maruah diri!” balas Rifqie dengan nada tegas.

Maya terkesima.

“Apa maksud awak?” Maya keresahan.

“Ni jalan yang awak pilih kan? Terimalah! Maya Inarah binti Ramzan, saya ceraikan awak dengan talak satu!”

Maya termati kata. 

“Saya tak nak tengok muka awak lagi, Maya! Saya bagi tempoh masa sejam pada awak! Awak kemas barang-barang awak dan keluar dari rumah saya! Anggaplah kita tak pernah kenal satu sama lain! Terima kasih dengan luka yang awak tinggalkan dalam hati saya ni! Selamat tinggal!” Serentak itu, Rifqie melangkah keluar meninggalkan rumah teres itu.

“Rifqie! Rifqie!” Maya jatuh terduduk. Teresak-esak menangis mengenangkan apa yang baru sahaja berlaku.


Previous: 8-1
Next: 8-3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.