SAMBIL menunggu bas untuk ke terminal pelabuhan, sambil Rifqie mendengar lagu di aplikasi YouTube. Sedang ralit melayan perasaan, tiba-tiba satu whatApps masuk. Dia bingkas buka mesej itu lalu baca. Mesej dari Idayu rupanya.
Idayu: Apa khabar beb? Kau bz ke?
Jemari Rifqie bermain di papan kekunci telefon bimbitnya. Lalu dibalas mesej itu setelah selesai menaip.
Rifqie: Aku tgh kerja. Tunggu bas nak ke terminal. X delah bz sgt. Ada apa kau mesej aku ni?
Beberapa minit kemudian, mesejnya berbalas.
Idayu: Aku nk tnya. Apa status kau ya, Rifqie? Bujang lagi ataupun dah kahwin?
Rifqie tergelak. Lurus soalan Idayu. Tanpa ada ayat pembuka terlebih dahulu. Pasti wanita itu ada tujuan lain. Dibalas mesej itu beserta emoji ketawa di hujung ayat.
Rifqie: Aku dah jd bujang balik la, Idayu. Bujang trang tang tang!
Laju Idayu balas mesej.
Idayu: Haa… apa maksud kau? Aku x fahamlah!
Rifqie balas mesej itu.
Rifqie: Aku duda tak ada anak. Baru lepas bercerai dgn ex-wife aku minggu lps.
Sepantas kilat Idayu menelefonnya. Rifqie bingkas menjawab panggilan itu. Diletakkan telefon bimbit ke telinga kanannya.
“Serius ke kau dah pernah kahwin ni, beb? Aku fikir kau solo lagi. Tak nampak macam suami orang. Kenapa kau berpisah dengan bekas isteri kau tu?” gumam Idayu. Nada suaranya sedikit tinggi.
Rifqie menjarakkan sedikit telefon bimbitnya itu. Bingit telinga dia!
“Ada apa kau call aku ni?” Rifqie mengubah topik perbualan. Tidak bersedia untuk berkongsi kisah hitam itu dengan sesiapa. Bas yang ditunggu itu sudah pun tiba. Serentak itu, dia bangun lalu menaiki bas itu.
“Kau kan dah tak ada apa-apa hubungan dengan bekas isteri kau tu lagi?” balas Idayu beria-ia.
Berkerut dahi Rifqie.
“Yalah. Kenapa?” Rifqie melabuhkan duduk di atas seat. Bas itu mula bergerak seusai mengambil penumpang.
Idayu tersenyum meleret.
“Kau tak nak cari pengganti ke?” balas Idayu.
“Aku nak hidup sendiri dulu, Idayu. Belum tiba masa untuk kahwin lagi.” Itulah yang Rifqie inginkan selepas melafazkan talak pada Maya. Perbuatan Maya memberikan tamparan hebat buat dirinya. Jiwanya sengsara. Kini, hatinya seolah-olah sudah mati untuk bercinta. Dia lebih rela hidup menduda sehingga hari tua.
“Ala kau ni. Rugi tau! Kau mungkin gagal dengan perkahwinan pertama. Tapi, mungkin kau akan bahagia dengan perkahwinan kedua? Give a chance for yourself, Rifqie! Now, kau dengar plan aku ni. Aku sebenarnya nak kenalkan kau dengan kawan aku,” balas Idayu.
Rifqie jungkit kening.
“Kau nak jadi ejen cari jodoh ke?” perli Rifqie.
“Tak kisahlah kau nak cakap apapun, Rifqie. Niat aku ni baik. Aku cuma nak tolong kawan-kawan aku dirikan masjid aje,” balas Idayu.
Rifqie menggeleng.
“Aku tak berminat. Lupakan aje, Idayu,” tolak Rifqie.
“Kalau dengan Amilin?” Idayu mencuba nasib.
Rifqie terkedu. Ada getaran hebat di dada tatkala nama itu meniti di bibir Idayu. Seluruh tubuhnya mengalami kekejungan. Hatinya pula bak baru sahaja disirami baja cinta. Diketap bibirnya dek tidak mahu perasaan itu terus menguasai diri. Dia takut terluka buat kali kedua.
“Tutup buku lama. Buka buku baru. Siapa tahu kalau-kalau Amilin gadis yang ditakdirkan sebagai jodoh kau?” pujuk Idayu.
Rifqie melepaskan keluhan.
“Nak ke Amilin berkawan dengan orang tua macam aku ni, Idayu? Nak ke dia terima aku yang ada title duda ni? Amilin tu muda lagi. Masih ramai lelaki yang lebih layak berdampingan dengan dia.” Rifqie kurang keyakinan diri.
“Belum cuba belum tahu, Rifqie! Memang jarak umur kau dan Amilin 12 tahun. Tapi cinta kan tak kenal usia?” Ada sahaja jawapan Idayu untuk mengurangkan keraguan Rifqie.
“Tengok dululah.” Tutt! Rifqie mematikan talian.
Beep! Mesej dari Idayu. Rifqie geleng. Idayu masih belum putus asa lagi. Lantas, dia buka lalu baca.
Idayu: Nah, aku share no phone Amilin dgn kau. Bila kau dah ready, kau text dia ok? Oh ya, kau boleh add Amilin kat FB. Cari nama Amilin Saffiya. Kau boleh stalk dia kat situ. Pertimbangkan tau! Utk kebaikan kau!
Mesej itu dibiarkan blue tick. Rifqie termenung seketika. Amilin Saffiya? Separuh hatinya ingin mengenali gadis itu, manakala separuh lagi hatinya itu menidakkan. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menyimpan nombor telefon Amilin.