9-3

SURAT KHABAR di atas meja dicapai lalu dilemparkan pada Encik Ahmad. Dek tidak mengenai tubuh Encik Ahmad, Puan Amira tarik bekas pen lalu campak ke arah suaminya itu. 

Encik Ahmad cepat-cepat ambil kusyen. Lalu dijadikan perisai.

“Awak ni dah kenapa, Mira? Dah gila ke apa haa? Nak mengamuk tak tentu hala! Nak jadi macam si Zira tu ke? Suka ke jadi pesakit mental?” herdik Encik Ahmad dengan nada lantang. Sudahlah sakit dicekik Zira masih belum hilang. Isterinya itu menambah lagi.

Puan Amira mendengus.

“Tak payah nak tukar cerita! Awak jujur dengan saya! Apa yang awak dah buat pada Zira dan Milin haa?” bidas Puan Amira. Kali ini diambil remote Astro. Dibaling ke bahagian kepala Encik Ahmad.

Encik Ahmad mengadu sakit bila remote itu melekat di dahinya. Lalu jatuh ke lantai. Diusap dahinya itu. Ada sedikit luka dek penangan Puan Amira.

 “Saya tak pernah usik anak-anak awak tu, Mira! Jentik pun tak! Si Zira tu sengaja nak buat kita berdua ni bergaduh! Takkanlah awak tak tahu perangai si Zira tu? Dia memang suka cari pasal dengan saya sejak dulu lagi!” Encik Ahmad membela diri.

Puan Amira ketawa mengilai.

“Awak jangan nak tipu saya, Ahmad! Kalau tak, kenapa si Zira tu cakap bukan-bukan pasal awak? Kenapa awak tak bersuara masa tu? Lidah tu dah kena potong ke haa?” maki Puan Amira.

Encik Ahmad tepuk dahi.

“Awak macam tak kenal anak awak tu kan? Lagi kita cakap, lagi panjang syarahan dia! Lebih baik saya diam! Silap saya juga sebab terbuka mulut tadi!” balas Encik Ahmad.

Telefon bimbit Encik Ahmad yang ada di atas meja ditarik. Lalu baling ke arah suaminya itu.

Lekas Encik Ahmad letak kusyen ke lantai. Lalu sambut telefon bimbitnya itu. Mujurlah telefon bimbit tidak terhempas. Boleh menangis tak berlagu dia!

Puan Amira mempamer senyuman sinis.

“Tahu pula takut phone tu jahanam kan?” perli Puan Amira.

Encik Ahmad mengalihkan pandangan ke arah Puan Amira.

“Awak ni sejenis orang yang suka rosakkan barang kan? Mahal phone ni tau tak? Patulah si Zira berangin semacam aje. Haa… ikut perangai awaklah! Sama macam si Milin tu! Tak hormat langsung dengan saya ni! Padahal saya ni suami awak, bapa diorang!” Encik Ahmad meletakkan seratus-peratus kesalahan itu pada Puan Amira.

Buntang mata Puan Amira bila mendengar tuduhan itu.

“Awak nak kata saya yang jahat?” Puan Amira tuding jari ke mukanya. “Hei Ahmad, awak tu yang tak pandai jaga anak! Tak reti nak didik si Zira dan Milin tu! Sebab tulah diorang jadi anak derhaka kat awak! Kalau awak jadi ayah yang baik, diorang takkan bersikap macam tu tau tak? Tilik silap sendiri dululah!” herdik Puan Amira.

Encik Ahmad mencebik.

“Apa kurangnya awak? Bandingkan kasih sayang antara Zira dan Milin? Tu bagus sangat ke?” Encik Ahmad memulangkan paku buah keras.

Sementara itu, Asri yang baru pulang dari tempat kerja, terpempan bila mendengar suara hiruk-pikuk dari dalam rumah. Sepantas kilat dia masuk ke dalam. Terkedu sejenak melihat pertengkaran ibu bapanya itu. Di lantai pula bercamuk dengan bermacam-macam jenis barang.

“Sudahlah tu! Jangan bergaduh lagi!” Asri berdiri di tengah-tengah. Antara ibu dan ayahnya.

“Kau tanya bapa kau tu!” jerit Puan Amira.

“Saya pula? Awak jadi tak betul macam ni sebab Zira!” tengking Encik Ahmad.

Asri melepaskan keluhan. Sebab Zira lagi! Apalah yang telah dilakukan oleh kakaknya itu? 

“Tak kisahlah apapun. Berhenti saling tuduh-menuduh! Tak malu ke kat jiran? Dahlah orang cop kita ni keluarga malapetaka. Sampai kena pulau. Tak cukup lagi ke haa?” Kali ini Asri bertegas dengan ibu dan ayahnya itu.

Barulah Encik Ahmad dan Puan Amira mengunci mulut. 

Dek malas hendak memanjangkan isu itu lagi, Encik Ahmad bangun lalu beredar ke biliknya. Tinggal Asri dan Puan Amira di ruang tamu. Puan Amira pula duduk di sofa. Menonton televisyen. Umpama tiada apa-apa yang berlaku.

Asri melepaskan keluhan. Sampai bilalah keluarga mereka akan terus cacamarba macam ni? Hurm…


Previous: 9-2
Next: 9-4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.