Aku kecewa! Aku derita!
Disebabkan cinta yang salah!
Perit? Ia, sangat pedih!
Tapi sahabat itu ada dikala…
kuperlu sebagai nadi kekuatan diri.
Ketika aku hampir kalah dengan kesakitan!
Namun, berbeza pula dengan keluargaku.
Benci! Dendam kesumat!
Umpama mainan harian mereka!
Tanda tanya itu?
Apakah? Mengapakah?
USAI keluar dari rumah, Rifqie memandu kereta Perodua Bezzanya itu tanpa ada arah tuju. Setelah agak lama memandu, akhirnya Rifqie tersadai di Stulang Laut.
Rifqie memarkir keretanya di hadapan sebatang sungai yang memisahkan Malaysia dan Singapura. Enjin kereta dimatikan. Dia bertelaku di dalam keretanya. Termenung memikirkan peristiwa yang telah meninggalkan kesan luka di dalam hatinya.
Rifqie memejam mata. Bayangan adegan mesra Maya bersama pasangannya itu umpama masih terpampar di hadapannya. Masakan dia boleh melupakan perbuatan Maya dengan begitu mudah? Hidupnya huru-hara disebabkan Maya!
Dek teringatkan Tasha, Rifqie bingkas menelefon kawan baiknya itu menerusi video call. Dia perlukan seseorang untuk meluahkan kekecewaan yang sedang dia hadapi ketika ini. Beberapa minit kemudian, panggilannya itu berjawab. Wajah Tasha menghiasi skrin telefon bimbitnya.
“Rindu Tasha ke?” gurau Tasha sambil menyuap kerepek pisang ke dalam mulut.
“Tasha cuti ke hari ni?” soal Rifqie dengan wajah muram.
Tasha menutup balang kerepek pisang itu. Lalu ditolak ke tepi. Dia kembali menumpukan perhatian pada Rifqie.
“Haah, Tasha off day hari ni. Esok baru kerja. Kenapa Rifqie call ni?” Soalan berbalas soalan.
Rifqie melepaskan keluhan berat.
“It's all over! It's gone!” balas Rifqie dengan nada sebak.
Tasha tercengang.
“Apa yang dah habis? Apa yang dah musnah?” tanya Tasha ingin tahu.
Rifqie tersenyum lemah.
“Rifqie dan Maya… Kami dah bercerai, Tasha! Rifqie baru jatuhkan talak satu pada Maya,” beritahu Rifqie.
Tasha terkedu.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku ni, Rifqie? Kenapa sampai jadi macam ni?” balas Tasha. Dalam sekelip mata, status Rifqie boleh berubah. Kini Rifqie seorang duda, bukan suami orang lagi.
Rifqie menceritakan perlakuan Maya dan pasangannya itu pada Tasha. Tiada satu pun yang disembunyikan daripada pengetahuan kawan baiknya itu.
Tasha terkesima. Ditekup mulutnya gara-gara terkejut. Sungguh dia tidak sangka sikap Maya seburuk itu. Sudah ada lelaki yang tulus mencintainya. Namun cinta itu dibalas dengan satu tindakan keji yang amat dilaknat oleh ALLAH. Ah, kejamnya Maya!
“Dahlah, Rifqie. Tak ada guna Rifqie nak habiskan air mata Rifqie tu untuk perempuan macam Maya. Tiga bulan Rifqie bersabar dengan dunia. Tiga bulan tu dah cukup, Rifqie! ALLAH dah buka pekung di dada Maya lebih awal lagi. Bersyukurlah sebab Maya dah tak boleh nak perdayakan Rifqie lagi.” Berhati-hati Tasha menyusun ayat. Bimbang jika Rifqie terasa hati dengan kata-katanya itu.
Rifqie tertunduk.
“Rifqie tak tahu macam mana nak teruskan kehidupan, Tasha. Semua ni terlalu menduga Rifqie,” balas Rifqie perlahan.
“Come on, bro! You are a men! You need to be strong! Dunia ni tak selalunya indah macam yang kita impikan. Ada kalanya kita perlu berdepan dengan sesuatu yang akan ajar kita erti kedewasaan. Dari situ kita boleh jadi lebih matang. Dalam hal ni, Rifqie tak boleh turut kata hati. Rifqie kena terima dengan hati yang redha. Mungkin ada hikmah lain di sebaliknya,” nasihat Tasha.
Jujur dia berasa simpati terhadap Rifqie. Tetapi apa boleh buat? Inilah takdir yang sudah tertulis sejak azali lagi. Siapa mereka hendak menidakkan suratan ILLAHI?
Rifqie membisu.
“Dulu masa Tasha berpisah dengan my ex-husband, Tasha salahkan diri Tasha tau. Tapi bila fikir balik, untuk apa nak terus bersedih? Selagi kita masih bernafas, selagi tulah kita tak boleh lari dari apa-apa masalah! Chill, bro! I know you can handle it! It is not easy, but believe that someday you can accept the destiny ALLAH set for us!” sambung Tasha lagi.
Barulah Rifqie angkat muka memandang skrin telefon bimbit. Perlahan-lahan diukirkan senyuman ke bibir.
“Haa… kan hensem bila senyum macam tu! Ni tak… masam mencuka aje.” Selamba Tasha mengutuk Rifqie.
Rifqie tertawa.
“Ada-ada aje Tasha ni,” balas Rifqie. Wajahnya baru berubah ceria sedikit berbanding tadi.
Tasha menghela nafas lega.
“Now, Tasha nak Rifqie mulakan hidup baru. Firstly, jumpa ibu Rifqie. Minta maaf dan jelaskan perkara sebenar pada dia. Supaya dia tak terus salah faham lagi. Ajak ibu Rifqie tinggal dengan Rifqie. Jadi anak yang taat. Second, lupakan Maya dan semua kenangan berkaitan dengan Maya! Jangan ingat apa-apa pun pasal dia lagi. Boleh?” balas Tasha.
Rifqie tarik nafas panjang. Lalu dihembus keluar secara perlahan-lahan.
“Memang tulah yang Rifqie nak buat sekarang ni! I want to start new life! Takkan ada wanita selepas Maya! Biarlah Rifqie hidup berdua dengan ibu. Sampai akhir hayat kami!” tekan Rifqie dengan tekad.
Tasha jungkit kening.
“Rifqie tak boleh yakin sangat dengan kata-kata tu tau. Jodoh, ajal dan maut semua kat tangan ALLAH! Siapa tahu kot-kot Rifqie jumpa pengganti Maya. And she is your second love. Can bring happiness in your life. Jangan cepat putus asa, bro! kita tak tahu apa perjalanan takdir kita di masa depan.” Tasha membetulkan pemikiran Rifqie.
“Rifqie dah serik!” bentak Rifqie.
“Serius? Rifqie, jodoh tak pernah salah alamat tau. Cinta juga tak kenal erti penat. Bila tiba masanya, hati tu akan ada rasa dan perkataan love. Bila sampai seru, you will be someone’s husband for a second time,” balas Tasha.
Buntang mata Rifqie.
“Never!” bebel Rifqie.
“Okey, Tasha pegang kata-kata Rifqie tu! I hope that someday you will find a woman who will leave love in your heart. Amin!” Tasha tetap tidak mahu mengalah.
Rifqie buat-buat tak dengar.
Tasha menjeling geram. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia berharap agar Rifqie menemui wanita yang tepat. Juga yang menjadi penyeri hari-hari Rifqie. Insya-ALLAH! One day!
Tasha berdehem.
“Anyway, welcome to the TJD’s club!”
Rifqie berkerut dahi.
“Kelab apa tu?” balas Rifqie dengan nada hairan.
“Team Janda Duda.” Tasha sudah bantai gelak.
Rifqie mencebikkan bibirnya ke kiri. Terkena dia dengan Tasha. Biul sungguh la! Tetapi sedikit sebanyak, dia terhibur dengan telatah Tasha. Terlupa seketika perihal Maya.