Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 68

Fazrin tidak mahu berlengah lagi. Surya sudah melakukan kesalahan yang sangat besar. Dia tidak pernah menduga kalau keperibadian Surya tidak secantik wajahnya dan selunak suaranya. Kesal sungguh hatinya.

“I harap you sudi terima I seadanya. I tak ada ibu bapa. I anak yatim. Kalau you tinggalkan I, entahlah ke mana I nak pergi nanti. Kalau I ada emak, alangkah baiknya. Nasib I mungkin lebih baik.” Kata-kata Surya di awal perkenalan, seperti baru semalam didengarnya. Dia mengenali Surya dalam satu majlis hari lahir rakannya. Surya diundang menyanyi dalam majlis itu.

Dari perkenalan itu dia jatuh cinta kepada Surya. Selain cantik Surya mempunyai suara yang gemersik dan menyentuh kalbu. Itu pandangannya. Mereka bercinta. Tidak lama. Hanya enam bulan sahaja, dia sudah melamar Surya. Kemudian urusan pernikahan dibuat. Semuanya melalui Maryam dan Azman.

“Mereka berdualah ayah dan ibu I. Jadi you berurusanlah dengan mereka. Baik kata mereka, I akan terima.”

Begitu singkat perkenalan, dia sudah jatuh cinta. Fazrin rasa tertipu. Surya telah menipunya. Apakah tujuan Surya berbohong dengannya?

Fazrin mengetap bibir. Rasa marah dan geramnya mula dirasa. Dia segera menekan interkom ke bilik pengawal dan memanggil pegawai yang bertugas datang berjumpa dengannya.

“Apa tuan nak buat?” tanya Bik Sumi dengan bimbang. Manalah tahu hal dia bertemu dengan Marinah tempoh hari sampai kepada Fazrin dan berlaku pula salah sangka.

“Saya nak tanya pasal teksi itu. Mesti pengawal menyimpan nombor teksi dalam buku keluar masuk pelawat. Atau mungkin dari alat CCTV dapat dilihat semuanya,” jawab Fazrin sambil menyandarkan dirinya.. Hanya pemandu teksi itu yang tahu ke mana dia menghantar emak mertua saya itu,” jawab Fazrin sambil tangannya ligat menekan butang nombor.

Bik Sumi diam. Perkataan ‘emak mertua saya’ sangat menyentuh hatinya. Dia terharu dan kagum kerana Fazrin sudi mengaku begitu walaupun belum pernah melihat dan berdepan dengan wanita itu. Dia dapat rasa, rumah banglo yang tegap mewah itu akan bergegar dengan pertengkaran antara Fazrin dan Surya.

“Bibik ke dapur dulu,” kata Bik Sumi menarik tangan Leha. Dia tidak mahu ikut mencampuri urusan Fazrin dan pengawal keselamatan itu.

Leha terkedek-kedek mengekori langkah Bik Sumi di hadapanya.

“Habislah Puan Surya kali!” bisik Leha. Suara itu gemersik bimbang.

“Biarlah. Dah dia derhaka sangat dengan mak dia.”

“Harap anak-anak aku nanti tak macam tu,” balas Leha sambil memuncungkan mulut.

“Bila pula kamu kahwin?” Bik Sumi segera menoleh. Wajah Leha berubah. Bik Sumi perasan dengan kata-katanya dan dia mula rasa bersalah. Leha anak dara yang masih dara walaupun usianya sudah menjangkau empat puluh. Jodohnya belum sampai!

“Aku minta maaf. Ya mari kita doakan kamu ketemu jodoh dan dapat anak ya,” kata Bik Sumi sambil menarik tangan Leha dengan senyuman yang dipaksa-paksa.

“Aku kesian dengan mak cik tu. Ke mana agaknya dia dihantar.”

“Biarlah Tuan Fazrin yang cari. Dah, mari kita sambung kerja kita.” Bik Sumi melangkah ke dapur. Dia ingin mengosongkan fikirannya yang memang sangat sendat dengan berbagai rasa sejak Surya melayan emaknya begitu.

Di ruang tamu, seorang pengawal keselamatan berdiri tegak dengan penuh hormat.

“Awak kena jawab dengan jujur dan telus. Saya tak nak awak sembunyikan apa-apa dari saya sebab saya yang bayar gaji kamu. Boleh?”

“Boleh tuan.”

Lalu apa yang ingin diketahui segera ditanya. Dari awal hingga akhir. Semuanya terluah. Kemudian Fazrin diam menanti jawapan.

“Apa yang tuan nak tahu sebenarnya?” tanya pengawal keselamatan itu pula.

“Semuanya yang awak tahu mengenai isteri saya.”

“Saya tak banyak tahu hal Puan Surya. Tapi pasal teksi tu, saya yang panggil. Jadi saya memang ada catit dalam buk laporan ini,” kata pengawal keselamatan sambil menghulurkan sebuah buku.

Fazrin mengambil buku itu dan mula membelek. Dia mencari tarikh dan hari seperti yang diceritakan oleh Bik Sumi.

“Nah, ini dia.” Fazrin segera mencatit apa yang dilihatnya. Kemudian matanya terpandang pula kepada satu nombor kereta lain yang tercatit di situ.

“Ini nombor kereta siapa?” tanya Fazrin sambil berpaling kepada lelaki pengawal keselamatan itu.

“Selepas teksi itu pergi, kereta ini yang sampai. Dia nak jumpa mak cik itu.”

“Mak cik mana?”

“Mak cik yang dikurung di bilik stor itu.”

“Jadi, awak pun tahu ada seorang wanita tua dikurung di situ?” Suara Fazrin mula meninggi. Dia rasa dikhianati.

Dengan perlahan dan ketakutan lelaki beruniform pengawal keselamatan itu mengangguk.

“Dan awak tak laporkan kepada saya?”

“Sebab Puan Surya mengugut kami. Kalau kami buka mulut, dia akan pecat kami dan ambil pengawal yang lain. Tuan tahu betapa susah nak dapat kerja sekarang. Kami ada anak-anak yang masih kecil dan perlu hidup.”

“Awak telah mengkhianati saya...” Fazrin rasa tubuhnya menggigil. Darah panas mula naik ke kepala.

“M... maafkan saya tuan. Saya diugut.”

“Siapa yang bayar gaji awak? Dia atau saya?” Fazrin menjengilkan mata. Kemudian dia tunduk menahan marah.

Lama dia berdiam diri. Lama juga suasana menjadi sepi kerana pengawal keselamatan itu pun tidak berani membuka mulut.

“Baiklah. Saya maafkan awak kali ini. Lain kali jangan buat lagi. Saya dan mama saya tuan rumah ini. Kami yang bayar gaji awak. Kalau ada apa-apa yang pelik, awak kena laporkan kepada saya.”

“Baik tuan. Saya janji tak akan buat lagi.”

Fazrin menarik nafas, memberi kelegaan kepada dirinya yang memang dalam keadaan marah dan stres. Perbuatan Surya sangat melampau!

“Siapa wanita yang cari mak cik tu?”

“Dia tak beritahu apa-apa. Dia cuma nak jumpa dan saya kata tak boleh. Dia minta nak jumpa Datin. Saya cuak dengan dia. Lalu saya panggil Bik Sumi yang bercakap dengan dia.”

“Bik Sumi!” panggil Fazrin dengan kuat. Dia rasa semakin lama semakin ada yang tidak kena dalam rumah itu.

Bik Sumi keluar tergopoh gapah.

“Siapa wanita yang datang cari emak mertua saya tempoh hari?”

Pucat muka Bik Sumi. Matanya menoleh ke arah pengawal keselamatan. Namun lelaki itu tunduk merenung lantai.

“Tak payah takut lagi bik. Saya nak tahu yang sebenar. Saya nak cari emak mertua saya. Dia emak saya. Saya mesti cari dia,” kata Fazrin bersungguh-sungguh.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.