Pagi itu, Fazrin sengaja berdiri lama di tepi tingkap yang mengadap ke
arah bilik stor. Dia sengaja ingin melihat sekali lagi kalau-kalau perempuan tua
tempoh hari muncul lagi.
Memang benar. Seorang perempuan yang kurus dan berkerudung keluar
berdiri dan mendongak-dongak ke langit.
‘Siapa wanita itu? Bibik kata dia tak tahu. Surya kata, aku salah
lihat. Sekarang, adakah aku tersalah? Itu manusia bukan hantu. Itu memang
seorang wanita. Sah. Sangat jelas.’ Fazrin berbisik kepada dirinya.
Dia segera turun ke bawah. Dia mencari Bik Sumi.
“Bik! Bik!” laungnya. Namun tidak ada bayang Bik Sumi yang keluar.
“Kenapa abang cari Bik Sumi?” Tiba-tiba Surya muncul di belakang
Fazrin.
“Mana bibik?”
“Ada di dapur, menyiapkan sarapan. Ada apa bang?”
“Abang nampak lagi perempuan itu. Kali ini memang abang yakin
sangat-sangat. Abang tak bermimpi dan abang tak berkhayal. Memang ada seorang perempuan
tinggal di bilik stor itu. Siapa? Abang nak pergi tengok,” kata Fazrin sambil
melangkah ke arah pintu belakang.
Surya panik dan gugup. Namun dia segera tersedar dan mampu mengawal
diri. Dengan cepat dia menarik lengan Fazrin. Langkah Fazrin segera dihentikan.
“Abang, tunggu dulu. Abang tak payah ke sana. Biar saya yang pergi.
Atau kita panggil bibik yang pergi tengok.”
“Kenapa?”
“Tak ada apa. Cuma saya
tak sedap hati. Mana tahu itu hantu. Mana tahu itu perompak yang menyamar
sebagai orang tua,” jawab Surya membuat alasan.
“Kalau macam tu, sayang
pun jangan pergi. Bahaya! Kita suruh pengawal yang bertugas tu yang pergi.”
“Yalah. Nanti Su suruh
dia pergi tengok. Tapi abang jangan bising-bising akan hal ini. Jangan sampai
mama dan papa tahu.”
“Kenapa pula?”
“Sebab, Su tak nak
mereka risau. Biar kita selesaikan sendiri hal ni.”
Fazrin angguk.
Kata-kata Surya masuk juga dek akal.
“Dahlah. Mari kita
bersarapan dulu. Abang tu dah lambat nak ke pejabat.” Surya menarik tangan
Fazrin untuk duduk di meja makan. Dia segera menuangkan minuman yang sedia ada
dalam teko warna emas di atas meja itu.
Bik Sumi dibantu oleh
Leha keluar membawa mangkuk mi goreng yang masih berasap panas. Mereka segera
menghidangkannya sebelum masuk semula ke dapur.
“Abang makan dulu. Su
nak ambil air di dapur,” kata Surya mencari helah.
Fazrin angguk. Dia
tidak mengesyaki apa-apa.