Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 52

Suasana pagi itu sangat sepi. Mungkin orang-orang di rumah banglo itu belum bangun. Atau sudah ke tempat kerja. Makyung Bedah malas untuk berfikir hal mereka. Biarlah Surya dengan agenda hidupnya.

Makyung Bedah duduk di bangku panjang sambil mukanya menengadah ke langit. Dia mengharapkan langit yang cerah itu memberi kecerahan juga kepada nasibnya. Hanya langit itu yang menjadi tempat tatapan matanya. Dalam dunianya yang sempit itu, tidak ada lain yang dapat dilihat sebagai pemandangan matanya.

Langit yang tenang dengan awan memutih. Angin yang lembut segar sedikit sebanyak menyegarkan jiwanya yang tandus dan hatinya yang kesakitan.

Tiba-tiba pagi itu, rindunya kepada kampung halaman muncul lagi menikam jiwa. Dia sangat rindukan Mak Semah dan Imran. Dia rindukan pusara Ismail. Semuanya membuatkan dia duduk merenung langit seolah-olah apa yang dihajatinya itu ada di langit yang bersih.

‘Semah, kau tunggu aku balik ya Semah. Kita makan sama-sama. Kita ke masjid sama-sama. Kau tunggu aku ya!’ bisik hatinya ketika melihat awan putih berarak tenang.

‘Tapi bila Bedah?’ Dia terdengar seperti suara Mak Semah gemersik di celah awan.

‘Aku pun tak tahu berapa lama, Semah. Kalaulah aku bersayap sudah lama aku terbang balik. Kau tunggu ya Semah.’ Dia berdialog sendiri.

Bik Sumi berdehem dari belakang. Makyung Bedah berpaling. Mata mereka bertemu. Ada duka di mata Makyung Bedah. Ada belas di mata Bik Sumi.

“Mak cik, apa yang mak cik menungkan?” tanya Bik Sumi sengaja menduga. Walhal dia rasa dia tahu perasaan Makyung Bedah. Sudah hampir tiga bulan dia berdepan dan menjaga wanita itu. Jadi dia sudah mampu mengira dan mencongak setiap menungan dan keluhannya. Dia sudah melihat begitu banyak titisan air mata yang membasahi pipi ibu malang itu. Acap kali juga dia mendengar esakan Makyung Bedah.

“Aku teringatkan kampung. Aku nak balik kampung. Tapi Surya tu...”

Bik Sumi mendengar jawapan itu dengan dada yang sebak. Dulu semasa baru sampai di Malaysia, dia juga seperti itu. Siang dan malam dia merindui kampung halaman. Namun, lama kelamaan semuanya hilang kerana iltizamnya ialah mencari rezeki untuk menyambung hidup.

“Mak cik, sabarlah ya. Doakan agar satu hari Puan Surya berubah hati dan akan hantar mak cik balik ke kampung.”

Makyung Bedah tersenyum. Senyuman itu sangat sinis. Dia tidak mahu meluahkan keraguannya kepada Bik Sumi. Biarlah. Dia melepaskan sebuah keluhan yang kasar dan berat mendesah dari bibirnya.

“Mak cik, mari masuk. Bahaya mak cik duduk di sini lama-lama. Hari ini mereka lambat ke pejabat. Nanti kalau mereka nampak mak cik di sini, susah kita!” ajak Bik Sumi dengan nada bimbang.

“Kamu tinggalkan saya di sini sekejap. Nanti saya masuk. Saya nak nikmati suasana pagi yang segar ni. Jangan bimbang, saya tak akan tunjukkan diri saya kepada anak menantu dan besan saya. Saya sedar diri saya siapa...” jawab Makyung Bedah dengan nada bergetar.

Bik Sumi akur. Dia tidak sampai hati untuk berkeras dengan Makyung Bedah. Lalu dia meninggalkan Makyung Bedah di situ. Biarlah Makyung Bedah merenung awan gemawan yang memutih cantik itu. Biarlah Makyung Bedah mengira burung-burung yang berterbangan keluar untuk mencari rezeki. Biarlah. Biarlah. Asalkan tidak ada air mata yang dilihat mengalir di pipi wanita malang itu!

Lama juga Makyung Bedah duduk di situ. Lama dia merenung ke dalam dirinya. Apa salahnya hingga dia menerima nasib seperti itu. Puas di situ, dia bangun. Sebelum melangkah, dia merenung ke arah banglo itu.

‘Belum sudikah kau memeluk mak, Surya?’ Hatinya berbisik. Tiba-tiba dia rasa dadanya terbelah dua. Dia sangat merindui pelukan dan kasih sayang anak-anaknya!.

Dia segera beristighfar dan berlalu masuk. Lebih baik mengingati ALLAH dari yang lain-lainnya. Lalu dia mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat. Hatinya kembali tenang. Jiwanya mula aman.

Dia mengambil Al-Quran dan terus membaca. Itulah raja segala penawar untuk merawat luka dan kecewa yang sedang parah di hatinya.

Selesai beberapa helai, tiba-tiba bacaannya terhenti. Fikirannya tidak mampu menumpukan kepada ayat-ayat yang ada. Sebaliknya, pada lembaran ayat-ayat suci itu dia ternampak Mak Semah dengan wajah sedih dan muram.

“Kalau aku pergi dulu, kau jangan sedih ya Bedah.” Sebuah bisikan suara Mak Semah menyentuh telinganya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari. Tidak ada.

‘Apa yang berlaku kepada kau, Semah? Kenapa aneh sangat perasaan aku hari ni?’ soalnya kepada diri sendiri.

Fikirannya sudah bercelaru. Dia tidak mampu menghabiskan bacaan lagi. Lalu kitab suci ditutup dan dipeluk erat sebelum disimpan di atas meja kecil di sebelah katilnya.

Dia bangun berdiri di tingkap. Resahnya semakin memuncak di dada.

‘Macam mana aku nak keluar dari sini? Aku tak boleh terus tunggu dan menyerah pada keadaan. Aku mesti cari jalan untuk keluar dari penjara ini.’

Makyung Bedah berfikir dan terus bertekad.


Previous: Bab 51
Next: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.