Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 4

Akhirnya, dia paksa dirinya untuk tabah. Demi masa depan anak-anak. Demi sebuah kehidupan yang masih panjang.

Anak-anaknya membesar dengan baik. Dia tidak mengabaikan ilmu dunia dan ilmu akhirat. Semuanya diberikan sama rata.Tatkala dia menari mencari rezeki di pentas, anak-anak terus mengaji dan belajar di sekolah. Dia cuba mencukupi apa yang kurang. Selain rezeki dari pentas makyung, dia juga membuat kuih muih sebagai jualan setiap pagi.

“Im, dahlah. Mak dah kenyang.”Makyung Bedah menahan Imran daripada menyuap nasi ke mulutnya. Dia sebenarnya bukan kenyang tetapi dia kurang berselera. Sejak akhir-akhir ini, dia sering memaksa diri untuk makan. Semuanya demi untuk kekuatan diri.

“Makanlah lagi mak. Biar mak lebih bertenaga dan kuat,” pujuk Imran.

“Im, mak dah tak perlu nak kuat lagi. Cukuplah kalau mak boleh bergerak untuk mengerjakan solat dengan baik.”

“Mak, itu cakap orang yang putus asa.”

“Bukan putus asa, Im. Tapi hidup mak dah hampir ke hujung. Tak perlu nak berjuang untuk apa-apa lagi selain berjuang untuk persediaan mati,” balas Makyung Bedah.

“Itupun berjuang juga. Kalau badan mak tak kuat, macam mana mak nak buat amal ibadat. Kan mak?” Imran berpaling kepada emaknya Mak Semah untuk mencari jawapan.

“Benar Bedah. Kalau dah jadi macam aku ni, lagi susah. Nak buat ibadat pun dah kena tunggu orang tolong. Makanlah banyak-banyak, Bedah. Biar kau sihat dan bertenaga. Biar kau gemuk sikit,” kata Mak Semah pula.

“Kalau aku gemuk, banyak pula kain yang kena beli nak buat baju. Orang sibuk jaga makan untuk kuruskan badan. Kau pula suruh aku gemuk.” Makyung Bedah ketawa perlahan.

Ketika itu Imran menyuakan sesuap nasi dan Makyung Bedah menerima suapan itu dengan senang hati.

Sambil mengunyah nasi dalam mulutnya, Makyung Bedah terus mengunyah kenangan silam hidupnya.

“Kahwin saja Bedah. Nanti anak-anak kau dapat juga kasih sayang seorang ayah,” kata Semah, sahabat baiknya.

“Kalau dapat laki yang penyayang tak apa. Kalau dapat laki yang tak senonoh dan kaki pukul, habislah anak-anak aku.Lagipun, hati aku ni belum boleh nak lupakan Abang Mail.”

“Aku tahu. Kau sayang Abang Mail sepenuh hati kau. Tapi, kau harus fikirkan masa depan kau dan anak-anak kau. ”

“Kau suruh aku kahwin, tapi kau tu?”Makyung Bedah cuba bergurau.

“Aku ni lain Bedah.Aku digantung tidak bertali, disalai tidak berapi. Aku tidak ada talak. Aku masih isteri orang walaupun aku tak tahu di mana suamiku. Kalau hidup dia di mana? Kalau mati di mana kuburnya.”

“Tapi kau boleh minta fasakh.”

“Aku belum bersedia menjadi janda.”

“Tapi sekarang hidup kau macam janda.Kau berhempas pulas untuk besarkan Imran.”

“Aku rela, Bedah. Janji Imran dapat hidup dan berjaya macam orang lain.”

“Masa depan kau?”

“Masa depanku hanya bersama Imran.”Suara Mak Semah terasa masih baru. Namun kata-kata itu kini menjadi kenyataan. Imran, anak yang sangat berbudi.

“Bedah, kau ni selalu sangat mengelamun. Apa yang mengganggu fikiran kau, Bedah?” tanya Mak Semah sambil menepuk bahu Makyung Bedah.

“Aku rindukan masa lalu aku. Hidup yang susah, tapi hati gembira dengan keletah anak-anak,” jawab Makyung Bedah dengan jujur.

Mak Semah dan Imran saling berpandangan.

“Aku bangga dengan kejayaan anak-anak aku. Kau pun tahu kan? Mereka bertiga dapat masuk universiti kerana usaha keras aku mencari rezeki. Aku tak nak mereka hidup susah macam aku. Tapi, selepas berjaya apa yang mereka buat pada aku?”

Mak Semah angguk faham. Dia tahuMakyung Bedah begitu bangga dengan kejayaan anak-anaknya. Senyumnya sentiasa terukir di bibir setiap kali orang memuji kejayaan anak-anaknya. Impiannya untuk melihat anak-anaknya berjaya sudah tercapai. Tugasnya dirasakan selesai dengan baik. Tetapi itu dulu. Sekarang, rasa bangga itu mula hancur bersama sikap kurang ajar dan biadap anak-anaknya itu!

“Harapan aku nak hidup bahagia dan gembira di hari tua bersama mereka nampaknya tak sampai, Semah. Mereka semakin jauh dari aku. Mereka benci sangat dengan penari makyung macam aku ni,” kata Makyung Bedah lagi.

“Bedah, mungkin mereka tak berniat begitu.”

“Mereka memang malu nak mengaku aku ni mak mereka. Mereka tak suka kalau aku sebut pasal makyung di hadapan mereka. Maryam pernah kata begitu. Azman pun sama. Surya lagilah. Dia ketawakan aku dan makyung.”

Mak Semah semakin bersimpati dengan sahabatnya itu.

“Di mana anak-anakku, Semah?” keluh Makyung Bedah dengan perlahan. Dia mencapai segelas air putih yang ada di hadapannya kemudian meneguknya perlahan. Semua makanan yang tersekat di kerongkong hilang. Dia rasa lega. Namun, fikirannya masih bercelaru dengan berbagai soalan yang tidak ada jawapannya.

Di mana anak yang kukendong masa kecilnya?

Di mana anak yang kubedung kakinya dulu?

Di mana anak yang kucium pipi gebunya dulu?

Di mana anak yang kusuap ketika laparnya dulu?


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.