Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 46

Makyung Bedah diam membatu. Dia terkedu dan terharu. Sampai hati Surya. Kenapa Surya tak bersalam dan mencium tangannya. Kenapa Surya tidak memeluk dan mencium pipinya. Kotor sangatkah aku ini? Soalan demi soalan yang terlintas dalam kepala Makyung Bedah.

“Mak? Cepatlah. Nanti sekejap lagi orang dalam rumah ni akan balik. Saya nak keluar ni,” sergah Surya.

Makyung Bedah terpinga-pinga. Rasa rindunya yang tidak berbalas membuat dia bingung seketika. Namun sergahan Surya membuatkan dia sedar kenyataan di depan mata.

Dengan perlahan dia bangun. Nada suara Surya lebih kurang sama dengan Azman dan Maryam. Suara derhaka!

Dia mengekori Surya keluar melalui pintu belakang ke sebuah bangunan di belakang dapur itu. Mereka masuk ke sebuah bilik. Bilik itu asalnya bilik stor tetapi sudah diubah suai menjadi bilik tidur.

“Ini bilik mak. Semuanya ada dalam bilik ini termasuk bilik air. Saya dah suruh orang gaji saya jaga makan minum mak. Tapi ingat, mak jangan sekali-kali melintas keluar ke halaman rumah atau masuk ke dalam rumah. Kalau saya nampak mak buat macam tu, jaga mak!” tegas Surya memberi amaran.

Hati Makyung Bedah yang sudah lama koyak menjadi semakin robek. Matanya menatap wajah anak bongsunya itu tanpa berkelip. Dia mencari kepastian. Benarkah Surya yang berkata begitu?

“Tapi, kenapa kau buat mak macam ni Surya?” Dia bertanya dengan bibir terketar.

“Sebab saya tak nak orang tahu mak ada bersama saya. Saya tak nak orang tahu mak tu mak saya!”

“Maknanya kau tak mengaku aku ni mak kau?” jerkah Makyung Bedah pula.

“Ada ke saya kata macam tu? Saya kata saya tak nak orang tahu mak ada sini. Titik!” Surya terus meninggalkan bilik itu.

Makyung Bedah tunduk. Dadanya berombak duka. Sungai air mata mengalir deras. Dia mula terbayangkan sebuah kehidupan yang sangat menyeksakan di bilik kecil itu. Namun, dia segera sedar akan dirinya. Tidak guna terus berduka pada ujian yang memang diberikan ALLAH.

Serta merta Makyung Bedah membetulkan dirinya.

‘Ya ALLAH, aku berserah kepadaMU. Kuatkan semangatku. Kuatkan imanku. Jika benar inilah bahagian yang KAU berikan buatku, aku akan tabah menerimanya. Tolong berikan aku kesihatan yang baik, ya Tuhan.’

Makyung Bedah cuba sesuaikan dirinya dengan keadaan. Dia menyusun rutinnya. Seawal pagi selepas solat subuh dan usai membaca ayat-ayat suci Al-Quran, dia akan tidur sekejap. Sebelum ini, dia jarang tidur ketika matahari sedang naik. Kini dia dia memaksa dirinya untuk berbuat begitu sementara menunggu semua orang dalam rumah gedung itu keluar ke tempat kerja masing-masing. Juga sementara menunggu makanan sampai.

Benar-benar dia dilayan seperti seorang banduan. Tetapi apa salahnya? Adakah hanya dia seorang ibu yang miskin dan tidak berpelajaran maka begini layanan Surya kepadanya?

Seminggu sudah berganti sebulan, kehidupan Makyung Bedah tetap sama. Surya tidak pernah menjenguk dia di bilik stor itu. Hidupnya diuruskan oleh Leha dan Bik Sumi, pembantu rumah.

“Mak cik nak apa-apa, mak cik tekan butang ni. Mak cik jangan keluar dari sini. Sebab kalau Puan Surya tahu, teruk saya kena marah!” Itu kata pembantu yang Leha kepadanya.

Sangat setia pembantu rumah itu kepada tuannya, Surya. Namun setiakah Surya sebagai anak kepadanya? Itu yang muncul di fikiran Makyung Bedah.

Nasib baik dia masih boleh berhubung dengan Imran dan Mak Semah. Kepada mereka berdua, diluahkan resah dan kecewa.

“Kau sabar ya Bedah.”

“Aku dah terlebih sabar, Semah. Aku dah tak nak ingat hal lain lagi. Biarlah aku hilang anak-anak aku. Aku tak nak sedih lagi. Aku cuma nak balik kampung. Aku nak hidup macam dulu. Dah beberapa bulan hidup aku dah tak tentu arah. Aku rindukan kau dan Im,” kata Makyung Bedah, jujur.

“Kami juga rindukan kau. Imran setiap kali makan, menyebut nama kau. Dia yang paling banyak risau tentang kau. Kalau boleh dia memang nak ke sana dan bawa kau balik. Tapi... aku yang tak bagi, Bedah.”

“Kenapa? Kau tak sayang aku?”

“Aku dan Imran sayangkan kau macam kami sayang diri kami sendiri. Tapi, kami tak ada hak atas kau. Anak-anak kau lebih berhak atas kau. Kami tak nak bergaduh dengan mereka, Bedah.”

“Kenapa nak bergaduh? Mereka tu bukan sayangkan aku. Mereka bawa aku ke sini kerana nak seksa aku. Aku dah hidup di ketiga-tiga rumah. Semuanya sama. Mereka kurung aku. Mereka sisihkan aku dari hidup mereka. Apa erti semua ini, Semah?”

“Sabarlah Bedah...”

Sampai di situ, esakan Mak Semah mula kedengaran. Hati Makyung Bedah semakin tidak keruan apabila mendengar esakan itu.

“Janganlah menangis Semah. Tak apalah. Biarlah aku terus di sini. Mari kita berserah kepada ALLAH. Kalau seandainya kita tidak berjumpa lagi, aku serahkan semua harta bernda aku kepada Imran.”

“Jangan cakap macam tu, Bedah. Kau pasti akan balik ke sini. Kita pasti akan berkumpul semula. Aku yakin dengan janji ALLAH. Tanah kubur kau tetap di kampung ini. Sabarlah.”

Itulah pujukan Mak Semah.

Mak Semah sahabat yang baik. Sahabat dunia dan akhirat. Sahabat susah dan senang. Dia ciri-ciri sahabat yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W.


Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.