Selesai makan, Makyung Bedah minta diri untuk pulang.
“Biar Im hantar Mak Bedah,” kata Imran.
“Tak payahlah Im. Mak Bedah boleh jalan saja.”
“Apa salahnya Bedah. Biarlah Imran hantar dengan motor.
Sekurang-kurangnya kaki kau tak lenguh.”
“Semah, kau tak takut kami difitnah?” tanya Makyung Bedah dengan
senyuman.
“Ish! Fitnah apa pula ni?” Mak Semah terpinga-pinga.
“Makyung Bedah ada hubungan dengan anak bujang Mak Semah!” balas
Makyung Bedah.
Ketawa Imran dan Mak Semah pecah memenuhi ruang. Makyung Bedah ikut
ketawa ketika melihat kedua beranak itu sudah terbahak-bahak.
“Ada-ada saja kau ni Bedah.” Mak Semah mengesat air matanya yang keluar
tanpa dipinta. Air mata gembira ketika mendengar ketawa Makyung Bedah.
“Aku balik dulu.”
“Betul Mak Bedah nak jalan kaki?”
Makyung Bedah angguk. Dia berjalan dan tidak menoleh lagi. Jarak antara
rumah mereka tidaklah jauh. Yang menyebabkan ia terasa jauh kerana terpaksa melalui
kebun getah dan kebun buah-buahan yang merimbun.
Sampai di persimpangan jalan, Makyung Bedah tidak terus ke arah jalan
ke rumahnya. Sebaliknya dia mengalihkan arah ke arah lain. Ke tanah perkuburan.
Entah kenapa dia rasa ingin bersimpuh di sisi kubur Ismail, suaminya.
Sebagai hadiah dan buah tangan, dia segera membacakan al-fatihah
sebanyak tujuh kali. Kemudian dia menyapu batu nisan yang sudah berlumut itu
dengan kasih sayang.
“Assalamualaikum bang. Bedah datang bang. Bedah rindu sangat kat abang,”
katanya sambil mengusap-usap batu nisan itu.
“Abang, Bedah sunyi sangat sekarang ni. Anak-anak dah makin lupakan
Bedah. Tapi Bedah selalu ingat pesan abang, bahawa ibu bapa jangan jemu
mendoakan anak-anaknya. Bedah tetap doakan mereka bang. Cuma...” Makyung Bedah tidak
mampu meluahkan lagi isi hatinya. Dadanya sebak. Kerongkongnya perit. Lama dia
diam membisu. Hanya hujung jarinya menguis-nguis pasir yang ada di atas kubur
itu.
“Mak, sabarlah. Man kan ada untuk jaga mak nanti. Man janji akan
belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam peperiksaan. Kemudian mak akan
kerja dan kumpul harta untuk kita. Mak jangan susah hati. Selagi anak jantan
mak ni ada, hidup mak tak akan melarat.” Suara Azman seperti menyentuh
telinganya. Dia menoleh, mencari. Tetapi tidak ada sesiapa. Usahkan Azman,
bayangnya pun kosong.
“Mana anak jantan kita tu bang? Dia langsung lupakan janji-janjinya.
Dia langsung tak ingat nak datang ke sini, menziarahi abang. Sejak kahwin, hari
raya pun tak balik lagi. Sampai hati dia, kan bang?”
Tangan Makyung Bedah masih menguis pasir. Matanya masih merenung batu
nisan yang kaku. Namun, ingatannya tetap tidak mahu melupakan semua perbuatan
anak-anaknya. walau beratus kali dia berjanji dan berikrar pada dirinya untuk
melupakan semuanya, tapi itu hanya di bibir sahaja. Di hati, tetap dia
terguris.
“Tak apalah bang. Bedah akan cuba kawal perasaan Bedah ni. Anak-anak
hanya permainan dunia yang melalaikan kita. Itu yang pernah abang katakan dulu.
Kan bang?” Makyung Bedah membetulkan dirinya. Dia cuba membina kekuatan
dirinya.
Selepas lama bersimpuh di pusara itu, dia bangun.
“Tinggallah bang. Bedah balik dulu. Nanti Bedah datang lagi. Malam ni,
Bedah akan mengirim sedekah untuk abang. Bedah tahu abang menunggu. Biarlah
anak-anak tak ingat abang. Bedah tetap tak lupakan abang. Kalau boleh Bedah nak
ikut bersama abang di dunia barzakh ini sementara menanti hari akhirat.”
Makyung Bedah berjalan meninggalkan tempat yang sepi itu. Beberapa
langkah dia menoleh dan melambai tangan. Sangat mesra dan penuh kasih sayang.
“Gilakah aku?” Dia berbisik sambil tersenyum. Kemudian langkahnya tidak
terhenti lagi. Malah langkah itu semakin laju kerana hari sudah semakin senja.