Langkah Makyung Bedah
yang longlai akhirnya berakhir di pusara Ismail, kekasih hati junjungan jiwa.
“Abang, Bedah rasa tak
kuat lagi berdepan dengan sikap anak-anak kita. Makin hari mereka makin meracun
hati Bedah. Anak-anak kita...” Makyung Bedah memeluk batu nesan yang sudah
berlumut. Dia rasa sangat sebak. Dia sembamkan mukanya di atas pusara itu.
Akhirnya dia terkulai
lemah.
Deruan enjin motor
semakin mendekat. Makyung Bedah mendengar dengan baik. Enjin itu dimatikan.
Suara Imran yang panik menerjah telinga.
“Mak! Mak! Kenapa ni
mak?”
Makyung Bedah cuba
membuka mata, namun dia tidak upaya. Sangat berat.
“Mak, kuatkan semangat
mak. Jangan macam ni mak. Mak dah janji akan kuat dan tabah menghadapi apa jua
dugaan. Mari kita kongsi semua ini, mak.” Imran menepuk-nepuk belakang Makyung
Bedah. Namun, tetap tidak ada reaksi.
Imran mati akal. Dalam
panik dia berlari ke arah motornya. Kebetulan ada sebotol air masak yang dibawa
sebagai bekalnya ke kebun. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai botol itu dan
berlari semula ke arah Makyung Bedah.
“Mak, bangunlah mak.
Jangan menyerah kalah, mak,” kata Imran sambil merenjiskan air ke muka Makyung
Bedah.
Dengan perlahan, mata
Makyung Bedah terbuka. Hati Imran rasa lega.
“Im, mak ada di mana?”
tanya Makyung Bedah, terpinga-pinga bingung.
Imran mula faham apa
yang berlaku. Makyung Bedah berjalan dengan dada dan fikiran yang kosong. Dia
berjalan dengan membawa penderitaannya.
“Mak terlalu ikutkan
hati. Mak ada di kuburan arwah suami mak. Mari kita balik mak,” kata Imran cuba
menyedarkan Makyung Bedah.
Makyung Bedah merenung
ke arah baru nisan. Dia mengumpul ingatan. Benar. Dia berjalan ke situ selepas
berjumpa dengan Pak Mud.
“Im, Maryam paksa mak
kahwin dengan Pak Mud.”
“Dia tak boleh paksa
mak. Keputusan hidup mak adalah di tangan mak. Mak jangan fikirkan sangat hal
itu. Dia tak akan berani,” pujuk Imran.
“Sampai hati dia, Im.”
“Mak, sudahlah. Mari
kita balik. Mak Im sedang tunggu mak di rumah. Sejak pagi dia risaukan mak. Dia
belum makan dan minum kerana bimbangkan mak. Marilah, jangan biarkan sahabat
baik mak terus resah gelisah,” ajak Imran sambil bangun.
Makyung Bedah bangun
dengan lemah dan agak terhoyong-hayang. Imran segera memimpinnya ke arah motor.
Kemudian dia menghidupkan enjin dan meninggalkan tanah perkuburan yang sepi
itu.
Sampai di rumah, Makyung
Bedah segera pula dipimpin naik ke rumah.
“Bedah? Apa terjadi
Im?” Mak Semah menyambut Makyung Bedah panik seketika apabila melihat wajah Makyung Bedah yang pucat keletihan.
“Mak, nanti kita
cerita. Biar Im buatkan Mak Bedah air. Dia sangat lemah. Mungkin sejak semalam
dia tak makan,” kata Imran, bergegas ke dapur.
“Kenapa kau jadi macam
ni, Bedah? Kau tahu aku sangat risaukan kau. Sejak awal pagi aku menelefon kau,
tapi tiada jawapan.” Mak Semah memeluk tubuh lemah Makyung Bedah.
“Maafkan aku kerana
buat kau risau, Semah. Aku tak tahu kenapa aku jadi macam ni. Aku tak kuat nak
harungi semua ujian ini, Semah. Baru aku rasa sembuh, mereka toreh lagi hati
aku.”
“Aku tahu Bedah. Kau
kena kuat.” Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Mak Semah. Sesungguhnya Makyung
Bedah lebih kuat dari dia. Kalau dia melalui detik itu, entah macam mana
keadaan dirinya.
Imran keluar dengan
segelas susu panas dan sepinggan nasi goreng.
“Mak, mari makan mak.
Mak mesti tak bersarapan ni. Kalau pun nak puasa, tunggu bulan puasa ya mak.” Imran cuba melawak. Dia menyuakan sesudu
nasi goreng ke mulut Makyung Bedah.
“Mak tak ada selera,
Im.” Makyung Bedah menolak suapan itu.
“Janganlah macam tu,
Bedah. Makanlah sikit,” kata Mak Semah.
“Mak, janganlah buat Im
macam ni. Mak kena makan kalau mak nak sihat. Im tak nak mak jatuh sakit lagi.
Sekarang, mak dah jadi tanggungjawab Im. Kalau mak sakit, Im juga yang susah
nanti,” pujuk Imran sambil menyuakan sekali lagi nasi itu ke mulut Makyung
Bedah.
“M... maafkan mak kerana
menyusahkan Im...” Tiba-tiba Makyung Bedah menangis. Tangisannya menderu macam
angin. Esakannya menenggelamkan suaranya. Sangat sayu dan pilu hatinya
mendengar kata-kata Imran itu.
“Mak, maafkan Im. Im
tak bermaksud nak kata mak ni menyusahkan Im. Im cuma nak kata kalau mak sakit,
Im ikut susah hati. Maafkan Im mak.” Imran ikut sebak. Dia menyembamkan mukanya
di bahu Makyung Bedah.
Timbul rasa bersalah di
hati Makyung Bedah kerana membuat hati Imran sedih begitu. Serta merta dia
mengesat air mata dan membetulkan dirinya. Dia sedar ketulusan hati Imran.
Sudah tidak ada tangan lain yang akan menyuapkan nasi ke mulutnya selain tangan
anak Semah itu.
“Im, dahlah. Mak dah
rasa lapar sangat ni,” kata Makyung Bedah sambil menepuk bahu Imran.
Dengan cepat Imran
menyuapkan sesudu nasi ke mulut Imran.
“Aku dah bercakap
dengan Maryam, Semah.” Makyung Bedah memulakan cerita sambil mengunyah
perlahan.
“Apa dia kata?”
“Dia tetap nak paksa
aku kahwin dengan Mahmud. Dia kata dah uruskan semua dengan Mahmud.”
Imran terus menyuap
sambil mendengar semua cerita dengan hati yang sasar. Tak sudah-sudah Maryam
hendak cari pasal dengan Makyung Bedah.
“Habis, kau macam
mana?” tanya Semah, menduga.
“Aku akan berjuang
untuk diri aku. Aku tak akan biarkan Maryam mengatur hidup aku yang tinggal tak
berapa hari lagi ni. Aku tak akan menyerah, Semah. Aku akan minta dari ALLAH
agar tidak mentakdirkan aku menjadi isteri Mahmud. Aku dah tua, Semah. Mahmud
tu kawan baik arwah Abang Mail. Dia sendiri tak sanggup nak mengkhianati arwah,”
jawab Makyung Bedah dengan nada bersemangat.
“Inilah Mak Bedah yang
Im sanjung. Berjuang untuk diri sendiri. Untuk itu mak kena makan lebih banyak
dan mak tak boleh lemah dan letih,” ujar Imran pula. Memang dia senang hati
melihat Makyung Bedah dalam keadaan begitu dan tidak menyerah kepada nasib
tanpa berjuang.
Makyung Bedah cuba
tersenyum. Dia cuba membuatkan hati Imran gembira.
“Terima kasih Im,” kata
Makyung Bedah sambil menyapu kepala Imran dengan penuh kasih sayang.