Malam itu, Makyung Bedah tidak mampu untuk berjemaah di masjid. Dia mengerjakan
suruhan yang wajib itu di rumah sahaja. Dari maghrib hingga isyak, dia hanya
duduk bermenung di atas sejadah.
Usai solat isyak, Makyung Bedah cuba menghubungi Maryam. Dia ingin
mendengar apa pula kata Maryam dalam hal itu. Dia berharap dapat meluahkan rasa
kecewanya kepada Maryam.
“Ada apa mak telefon ni? Duit mak dah habis ke?” tanya Maryam sebaik
saja dia memberi salam.
Jantungnya hampir terputus dari tangkai.
“Yam, kau jangan ingat mak ni mata duitan sangat. Untuk pengetahuan
kau, duit yang kau adik beradik beri setiap bulan itu belum mak sentuh lagi.
Kalau kau nak, kau baliklah dan ambil balik semuanya!” balas Makyung Bedah,
dengan suara meninggi. Geramnya terlepas.
Diam. Suasana senyap. Makyung Bedah cuba menguatkan hati. Sungguhpun
dia rasa sangat merana dengan kata-kata Maryam itu, dia kena kuat untuk mencari
kebenaran mengenai kisah perkahwinan Surya itu.
“Kalau tak nak duit, mak nak apa ni?” tanya Maryam lagi namun kali ini
suaranya lebih lembut.
“Mak nak tanya kau pasal adik kau Surya. Betulkah dia dah berkahwin
malam tadi?”
“Ya mak. Nikah semalam siang dan majlis persandingannya malam tadi di
sebuah hotel. Kenapa mak?” tanya Maryam tanpa rasa bersalah.
Sekali lagi dada Makyung Bedah bagai dirobek-robek. Kebenaran yang
dicari sangat menyakitkan. Ditambah pula dengan soalan Maryam yang tidak
disangka. Dia tidak segera menjawab.
Air matanya dibiarkan berjuntaian tetapi dia cuba menahan esak.Terasa dirinya amat kecil dan tidak diperlukan langsung oleh
anak-anak.
“Mak, Surya dah kahwin anak Datuk Seri. Suaminya pewaris
kekayaan keluarga itu.Mak jangan kacau
hidup dia ya!”
“Apa maksud kau, Yam?” Makyung Bedah masih ingin mendengar apa
yang tidak sanggup didengarnya.
“Itupun mak tak faham?Maksudnya, Surya mesti tak nak mak campur
urusan dia lagi. Dia dah ada keluarga baru. Jadi, mak tak usah nak telefon dia
lagi,” kata Maryam lagi.
“Yam, siapakah orang tua ini? Apa hubungannya dengan Surya? Orang tua ini
tetap mak dia. Dia tak boleh nak suka-suka hati memutuskan hubungan yang ALLAH
beri ini. Dia siapa nak buat macam tu. Hanya maut yang boleh pisahkan hubungan
ini. Itupun pertalian tetap ada selepas mati,” balas Makyung Bedah dengan
tegas, kasar.
“Mak, tolonglah faham keadaan kami. Kami dah ada keluarga dan hidup
kami sendiri.”
“Jadi, bila anak-anak dah kahwin mereka kena buang ibu bapa mereka? Dan
kamu semua nak buang mak kamu ni? Hukum mana yang kamu ikut, Yam?” Suara
Makyung Bedah separuh menjerit.
“Bukan macam tu. Kami hanya minta sedikit belas kasihan dari mak. Kami
anak perempuan. Tanggungjawab kami lebih kepada suami dan keluarga.”
Darah merecik dari luka hati Makyung Bedah. Dia rasa dinding
kehidupannya penuh dengan percikan darah. Lukanya sangat menyakitkan dan dia
rasa lemah longlai.
Aduhai anak…
“Inikah yang kau belajar di universiti itu? Kau bercakap
seperti orang yang tak ada ilmu. Kau tu seorang guru, Yam. Tak malukah kau
bercakap dengan mak seperti itu?”
“Mak, kami minta mak faham. Tolonglah mak. Tolong faham
keadaan kami…” Suara Maryam separuh merayu.
Ketika itu, Makyung Bedah rasa dia tidak perlu menegakkan
haknya lagi. Maryam tidak akan faham perasaan seorang ibu tua yang malang.
Maryam sudah berubah.
“Mak faham… mak tahu… mak janji. Tapi, mak tak boleh paksa
hati seorang ibu dari merindui anak-anak….” Esakannya terhambur.
Gagang telefon segera diletakkan. Tidak sanggup lagi dia
mendengar suara Maryam. Dia juga tidak mahu Maryam mendengar tangisannya.
“Ya ALLAH! Ya Rahman! Ya Rahim…kuatkan hatiku ini ya Tuhan. Sangat
berat dugaan-MU ini ya Rabbi…”
Dia terbaring. Semalaman hingga keesokan hari, dia tetap lemah dan
tidak mampu bergerak seperti biasa.Sesuap nasi
pun tidak menyentuh bibirnya. Seteguk air pun tidak membasahi tekaknya. Dia
hanya gagahkan diri untuk bangun mengerjakan solat.Dia tidak mahu lalai tentang itu.
Selesai solat, dia terus merebahkan diri ke atas sejadah. Memang sangat
tidak upaya.
Masuk hari kedua, selepas usai subuh dia memaksa tekaknya dibasahi
segelas susu. Dia tidak mahu mengikut kehendak selera yang hilang.
Kemudian dia gagahi diri menelefon Azman. Dia ingin mengadu resah hati
kepada anak lelaki tunggalnya itu.
Dia tahu dan yakin bahawa Azman yang mewalikan pernikahan Surya. Hanya
dia waris yang layak.
“Sampai hati Man tak beritahu mak langsung hal ini,” kata Makyung Bedah
selepas selesai bertanya khabar sebagai basa basi.
“Mak, masa dah suntuk dan terdesak.Surya nak sangat majlis itu dipercepatkan. Kita tak sempat nak
berbincang dan bertanya pendapat. Sebagai wali, aku mesti bertanggungjawab.”
“Itu mak tahu. Tapi takkan nak beritahu mak pun susah. Ini mak kamu!
Bukan mak tiri atau mak mertua. Tapi ini mak yang melahirkan kau, Man.”
Tidak ada jawapan dari Azman.
“Man, sampai hati kau walikan Surya tanpa pengetahuan mak.Kau nafikan hak mak sebagai ibu…”
“Mak, kalau saya cakap pun mak mesti tak akan dapat datang.”
“Kenapa kau cakap macam tu? Apa maksudnya?” Suara Makyung
Bedah semakin kasar dan kering.
“Majlis itu majlis orang kaya-kaya mak. Ada ramai VIP.
Mereka datang dengan pakaian yang mahal-mahal. Mereka bercakap dengan gaya
orang pandai-pandai. Mak mesti tak mampu nak bercampur dengan mereka. Saya
bimbang kalau mak akan jadi rusa yang masuk kampung. Mak hanya akan merosakkan
majlis itu.”
Azman menikam dada seorang ibu tanpa belas kasihan. Sangat
tertusuk! Sakitnya ALLAH saja yang tahu.
“Jadi, hanya kerana itu kamu tak beritahu mak?”
“Sebenarnya itu permintaan Surya. Dia yang minta saya
rahsiakan dari mak. Dia yang tak nak mak datang,” kata Azman.
Makyung Bedah terdiam. Benarkah telinga yang mendengar?
“Dia malu kalau orang tahu dia berasal dari kampung dan dari
kalangan orang biasa. Dia tak nak keluarga mertuanya, Datuk Seri Azimi tahu dia
dilahirkan oleh seorang penari makyung. Dia tidak mahu…”
“Sudahlah…” Makyung Bedah memotong cakap Azman. Lehernya
sudah berselirat dengan duri-duri tajam hingga dia tidak mampu menelan liur.
Sangat perit dan menyakitkan. Namun dia harus kuat. Azman harus tahu
perasaannya.
“Cukuplah kamu semua menghina mak. Mak memang orang kampung.
Mak memang miskin. Mak memang tak ada
baju cantik-cantik. Mak memang penari makyung. Mak… mak…” Sampai di situ sahaja
kekuatannya.
Dia tidak mampu meneruskan apa yang ingin diluahkan.Dia menangis teresak-esak. Dia membiarkan tangisnya melimpah
membanjiri. Biar Azman tahu dia menderita. Biar anak lelaki tunggalnya itu
perasan akan hatinya yang terluka.
“Mak, biarlah Surya meneruskan hidupnya. Janganlah diganggu dia. Dia
dah bahagia dengan keluarga barunya. Mak tentu nak Surya gembira dan bahagia,
kan?”
“Ya. Setiap mak tak pernah inginkan anaknya susah dan menderita. Setiap
mak memang inginkan anaknya bahagia dan hidup mewah. Tapi, bukan dengan cara
ini. Hati seorang mak sedang remuk sekarang. Susah payah seorang mak sedang
dilupakan. Apa salah mak? Rasanya mak dah berikan ilmu dunia dan akhirat yang
cukup. Mak sanggup buat apa saja demi kamu bertiga. Akhirnya ini balasan yang
mak terima…” rintih Makyung Bedah di celah esakannya.
“Mak jangan ungkit jasa mak pada kami. Dah memang itu
tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Dah memang itu hak anak-anak dari
ibu bapa,” tingkah Azman dengan cepat.
“Mana pula hak ibu bapa terhadap anak-anak? Kitab mana yang baca. Hukum mana yang kau pakai.
Kau tahu arwah ayah pernah ajar hadis. Dalam satu hadis Nabi Muhamad S.A.W
pernah bersabda: Keredaan ibu bapa adalah keredaan ALLAH.”
Azman terdiam. Makyung Bedah menyapu air matanya. Esakannya
ditahan.
“Tak apalah Man. Buatlah apa yang kamu rasa patut pada orang
tua yang tidak upaya ini. Kalau anak-anak dah tak sudi nak mengaku mak ni ibu
yang melahirkan kalian, apa boleh buat. Mak tak akan paksa. Mak juga tak akan
merayu lagi. Mak serahkan diri dan kehidupan mak ini kepada ALLAH. Kalau ini
yang DIA nak mak lalui, mak reda. Biarlah mak hidup sebatang kara asal kamu
semua bahagia… mak halalkan air susu yang kamu hisap dari tubuh mak…” Makyung
Bedah meletakkan gagang. Dia tidak mahu berlama-lama lagi.
Dia merebahkan dirinya di katil. Tubuhnya rasa gemalai. Hati
pula terasa sangat sayu dan menghiris. Kesakitan oleh tusukan Maryam ditambah
pula dengan tikaman Azman. Sangat sakit. Sangat terluka.
“Abang, sampai hati anak-anak buat Bedah macam ni…”
“Abang, kalau abang ada mesti nasib Bedah tak seburuk ini.
Kepada siapa Bedah nak bergantung lagi bang. Anak-anak dengan terang telah
membuang Bedah…”
Rintihan demi rintihan
terluah hingga dia terlena lesu.
Beberapa hari Makyung Bedah tidak ke mana-mana. Dia tidak ke
masjid. Dia tidak ke kedai dan dia tidak ke rumah Mak Semah.Dia hanya melayan tangisnya di rumah. Dia merintih. Dia
mengeluh. Kemudian dia menangis. Hanya itu yang mampu dilakukannya.