Hari-hari yang dilalui
selepas itu, sama sahaja. Azman tetap tidak mesra, tidak kasih dan tidak sayang
kepada Makyung Bedah.
Makyung Bedah semakin
rasa tersisih. Hanya kepada Imran dia mencurah rasa. Walaupun hanya bercakap
melalui telefon, dia rasa lega setiap kali bercakap dengan Imran.
“Mak rasa nak balik,
Im. Tapi tak ada peluang nak cakap dengan Azman. Kalaulah mak tahu balik
sendiri, dah lama mak balik saja.”
“Sibuk sangatkah dia?”
“Dia dah jadi orang
kaya, Im. Mak ni dah bukan taraf dia dah. Kadang-kadang dia tak balik. Kalau
balik pun dia tak beri mak peluang. Dia lebih melayan kawan-kawannya. Mak rasa
sangat tersisih di sini. Kalau mak tahu dia nak layan mak macam ni, mak tak
ikut dia. Biarlah mak hidup di kampung saja,” kata Makyung Bedah meluahkan
kesal.
“Sabarlah mak.
Tunggulah sekejap lagi. Mana tahu dia akan berubah hati.” Itu yang dipesan oleh
Imran. Hati Makyung Bedah lega seketika. Dan dia mengharungi hidupnya dengan hari-hari
yang sepi dan suram.
Sudah hampir sebulan,
namun dia belum bersua muka dengan orang yang bernama Nafisa yang dikatakan
isteri Azman itu.
“Nyonya masih di luar
negeri. Dia belum pulang. Urusannya di sana belum selesai,” kata Ningsih ketika
ditanya mengenai hal itu.
‘Humaira pun aku belum
begitu kenal. Sekarang, ada pula Nafisa. Betulkah bini dia?’ Hati Makyung Bedah
masih keliru. Dia masih ingin tahu di mana Humaira dan anak-anaknya. Dia tahu
Azman mempunyai dua orang anak. Cuma dia tidak pernah melihat cucu-cucunya itu.
Malam itu, dia tidak
melihat kawan-kawan Azman datang berkunjung. Tidak ada gelak ketawa di ruang
tamu sehingga lewat malam.
Seperti seekor kucing
yang takutkan tikus, Makyung Bedah berjingkit keluar dari bilik. Dia nampak
Azman sedang menonton TV.
“Man, boleh mak cakap
sikit?”
Azman berpaling.
Kemudian dia angguk tetapi langsung tidak tersenyum.
“Dah lama mak di sini
tetapi mak masih belum jumpa cucu-cucu mak. Mana Humaira dan anak-anak kau,
Man?”
“Mak nak jumpa dia
orang nak buat apa?”
“Man, mak nak peluk
cucu-cucu mak. Mereka dah besar tapi sekalipun mak belum pernah peluk cium mereka.
Mak rindukan mereka, Man,” jawab Makyung Bedah dengan jujur. Memang itu yang dirasakan. Dia ingin menjadi
nenek seperti orang lain yang dapat memanjakan cucu.
“Mak, mak jangan
bermimpi boleh tak?” Azman ketawa sinis.
“Bermimpi apanya?”
“Mereka tu tak pernah
tahu pasal mak. Tak mungkin mereka nak dipeluk cium oleh mak. Humaira pun
takkan biarkan anak-anak kami mendekati mak.”
Darah Makyung Bedah
berderau. Jantungnya seperti tertusuk sembilu. Ngilu.
“Apa maksud kau, Man?”
“Maksud saya, mak tu
tak setaraf dengan mereka.”
“Habis kau?” Makyung
Bedah tiba-tiba rasa sangat terhina. Dia tidak sedar kalau suaranya meninggi
menengking Azman.
“Kau tu lahir dari
perut mak, Man. Sampai hati kau pertikaikan taraf mak. Kau sedar tak, taraf
kita sama saja. Kalau mak tak setaraf dengan Humaira, kaupun sama. Tak
setaraf!”
“Mak, dahlah. Kita
jangan bincangkan lagi hal ini. Biarlah Humaira dan budak-budak tu dengan hidup
mereka. Jangan diganggu mereka,” kata Azman sambil bangun.
“Ni lagi satu mak nak
tanya, Nafisa ni siapa pulak?” tanya Makyung Bedah sebelum Azman melangkah
meninggalkan ruang tamu itu.
“Dia isteri saya.”
“Humaira?”
“Kami dah bercerai.”
Azman berlalu dan tidak menoleh lagi.
Makyung Bedah terkedu.
Begitu banyak yang dia tidak tahu mengenai hidup anak-anaknya. Humaira? Apakah
yang berlaku sebenarnya?
Sejak hari itu, Makyung
Bedah tidak mahu bertanya lagi. Dia berdoa agar satu hari dia diketemukan
dengan Humaira dan cucu-cucunya. Dia akan merayu kepada Humaira. Walau hanya
sekali, dia minta diberi peluang memeluk cucu-cucunya.
Selang seminggu,
Makyung Bedah mendengar suara Azman berbual-bual dengan seorang wanita di awal
pagi. Dia segera ke dapur, mencari Ningsih.
“Nyonya dah balik. Ibu
kena hati-hati dengan dia,” bisik Ningsih.
“Kenapa?”
“Entahlah. Menantu ibu
tu kadang-kadang zalim!”
Makyung Bedah keliru
seketika dengan kata-kata itu. Namun ketika ingin bertanya lebih lanjut,
Ningsih sudah meninggalkannya. Dia teragak-agak samada ingin keluar ke ruang
tamu atau tidak.
Sedang dia berfikir,
suasana di ruang tamu sudah sepi. Mereka sudah meninggalkan ruang itu. Entah ke
mana. Ke bilik atau ke tempat kerja. Azman langsung tidak endahkan kehadiran
Makyung Bedah di rumah itu. Ada tidak untung, tiada pun tidak rugi.
Makyung Bedah masuk ke
bilik semula.
‘Apa yang aku dapat
tinggal di rumah mewah ini sedangkan aku terus miskin dengan kasih sayang. Aku
juga miskin dengan amal ibadat. Tak dapat nak ke masjid berjemaah. Lebih baik
rumah kecilku di kampung daripada di sini. Aku mesti suruh Azman hantarkan aku balik,
esok.’
Itu yang muncul dalam
kotak fikiran Makyung Bedah.
Keesokan pagi, Makyung
Bedah keluar menunggu Azman di ruang tamu. Dia tahu hanya waktu begitu dia
dapat bertemu Azman.
Azman dan Nafisa turun
dari tangga berpimpin tangan dengan hilai tawa. Sungguh bahagia dan mesra.
“Man!” panggil Makyung
Bedah perlahan.
Azman dan Nafisa
menoleh. Wajah Azman berubah resah.
“Man, boleh mak cakap
sikit.”
“Tak boleh tunggu
nanti?”
“Kau selalu sibuk. Tak
pernah beri mak masa. Jadi mak rasa hanya ini masanya.”
Nafisa menarik
tangannya dari genggaman. Dia berjalan keluar dengan muka masam. Langsung tidak
menoleh dan bersalaman dengan Makyung Bedah. Langsung tidak menyapa!
“Cakaplah apa yang
mustahak sangat tu mak,” kata Azman dengan muka masam.
“Maafkan mak, Man. Mak
rasa tak ada apa yang mak boleh buat di rumah besar kau ni. Boleh tak tolong
hantarkan mak balik kampung.”
“Mak tak boleh balik ke
kampung lagi. Suka atau tidak mak kena duduk di sini!”
“Tapi kenapa Man?”
“Mak tak payah banyak
tanya boleh tak? Ini keputusan kami adik beradik. Mak akan tetap tinggal di
sini!” tengking Azman sambil berlalu ke arah kereta.
Makyung Bedah mengintai
dari belakang pintu.
“Sayang, siapa yang you
bawa masuk dalam rumah kita ni?” tanya Nafisa sebaik sahaja Azman muncul keluar
dari pintu.
“Abang minta maaf tak
cakap dengan you pasal dia.”
“Siapa dia?”
“Dialah yang menjaga I
sejak kecil.”
“Kenapa you bawa dia ke
sini? I tak suka di rumah kita ada orang lain. Kalau dia nak balik kampung,
biarlah. Buat apa you nak tahan dia?”