Marinah termenung lama.
Makyung Bedah sudah tidak dapat dihubungi. Itu kata Imran. Dia juga sudah cuba
menghubungi nombor telefon wanita itu berpuluh kali. Jawapannya tetap sama.
Memang telefon milik Makyung Bedah sudah dimatikan. Mereka sudah terputus
hubungan dengan wanita itu.
“Apa usaha kita
sekarang, Imran?” tanya Marinah melalui telefon.
“Saya pun tak tahu.
Saya buntu.”
“Apa kata kalau kita
masuk surat khabar,” usul Marinah.
“Ish! Jangan. Nanti semua
akan lebih sulit. Tentu mereka akan terus sembunyikan mak dari dunia luar.”
“Awak yakin ini kerja
anak-anak mak? Awak yakin mereka memang sengaja nak sembunyikan dia dari
masyarakat?” tanya Marinah lagi. Kali ini dia sangat ragu-ragu dengan apa yang
didengar itu. Akalnya masih belum menerima kalau ada di dunia ini seorang anak
menzalimi ibu yang melahirkannya.
“Ya. Saya yakin
sangat-sangat. Sebab sebelum ni, mak pernah beritahu bahawa Surya malu nak
mengaku dia ibu. Mereka bawa mak keluar dari kampung ini kerana bimbang
wartawan dapat mengesan mak dan menghebahkan kepada umum. Suria tak nak
kehilangan hidupnya yang tersohor dan mewah,” jawab Imran, bersungguh-sungguh.
“Tapi, mereka dah jadi
anak derhaka!”
“Kemewahan dunia
membutakan akal fikiran dan mematikan iman mereka.”
Marinah semakin rasa
sedih mendengar cerita itu. Sampai hati Surya. Lantaran nak jaga popularitinya,
Surya sanggup bertindak derhaka begitu.
“Bolehkah saya minta
tolong awak?” tanya Imran selepas lama suasana senyap.
“Apa dia?”
“Awak tolong cari mak.
Saya susah nak bergerak. Mak saya tak ada orang jaga.”
“Macam mana saya nak
cari. Kita pun tak tahu alamatnya.”
“Awak kan pelajar seni.
Mesti awak kenal artis dan orang-orang seni. Atau wartawan hiburan.”
“Maksud awak?”
“Awak cuba cari alamat
Surya dan keluarga mertuanya. Dari sana baru kita dapat mencari mak.”
Marinah terdiam. Ada
rasa gementar di celah hati. Maklumlah, Surya itu penyanyi tersohor. Mertuanya
pula golongan ternama yang disegani.
“Awak tak setuju?”
tanya Imran.
“Saya setuju tetapi
saya juga takut. Mana tahu saya kena saman nanti dengan Surya kerana cuba
mengganggu hidupnya. Atau saya kena tangkap oleh Datuk Seri tu kerana membuat
onar dalam keluarga dia.”
“Kita bukan nak kacau mereka.
Kita tak ganggu mereka pun. Kita cuma nak cari mak. Kita kena cepat, Inah. Saya
rasa ada yang tak kena di sini. Saya rasa...” Imran tidak meneruskan
kata-katanya. Dia menahan sebak. Bayangan wajah sedih Makyung Bedah terbayang
di ruang mata.
Mendengar kata-kata
Imran, Marinah rasa bersemangat dan yakin. Lalu dia berjanji untuk menunaikan
permintaan Imran sebelum telefon dimatikan.
Beberapa hari, Marinah
mencuba. Dia bertanya kepada beberapa orang kawan. Dia merisik berita dari
sahabat wartawan. Dia melusuri laman sosial milik Surya. Dia meninjau-ninjau
cerita mengenai keluarga mertuanya, Datuk Seri Azimi. Tidak ada yang boleh
dijadikan bahan pencarian. Akhirnya Marinah memberi laporan kosong kepada
Imran.
“Saya belum dapat
apa-apa bahan.”
“Cubalah lagi. Jangan
berhenti berusaha. Kasihani mak saya dan mak di sana. Kita tak boleh biarkan
keadaan ini berterusan.”
Sekali lagi Marinah
membuat janji. Dia tetapkan tekad untuk terus mencari. Dia akan lebih berusaha.
Makyung Bedah dan Mak Semah perlu ditemukan. Mereka tidak boleh dipisahkan
lagi.
Dia terus berfikir dan
mencari jalan. Semua orang kenal Surya. Tetapi tidak ada yang tahu di mana dia
tinggal.
Tiba-tiba Marinah teringat
untuk mencari Surya melalui syarikat rakamannya. Lalu dia mencari maklumat
mengenai syarikat yang merakamkan album Surya. Dia segera mencari alamat dan
lokasi syarikat tersebut melalui google.
Tidak lama dia
tersenyum senang sambil mencatit apa yang dicarinya itu pada sekeping kertas.
‘Aku harap semuanya
berjaya. Aku harap dapat berjumpa Surya di sana. Atau setidak-tidaknya aku dapat
mengesan alamatnya,’ bisik hati Marinah sambil merenung apa yang ditulisnya.
Dengan tangkas pula,
dia mencapai kunci kereta dan segera menuju ke arah alamat yang ada dalam
genggamannya.