Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 62

Gambar Surya ditatap oleh Makyung Bedah dengan mata rindu. Wajah anaknya itu direnung dengan hati kasih. Tumpuannya masih tidak berganjak dari gambar Surya. Cantik. Itu yang ada dalam hatinya. Dia memuji Surya dari pandangan mata seorang ibu yang melahirkan.

‘Abang, tengoklah anak abang ini. Cantiknya dia, kan?’

Bibirnya tersenyum-senyum. Entah kenapa, dia senang dan rasa lapang sekali melihat gambar Surya dan keluarga barunya itu.

“Mak cik minat penyanyi ni ke?” Seorang gadis menegur. Makyung Bedah mendongak.

“Kenapa?”

“Sebab saya tengok mak cik asyik dok renung gambar ni dari tadi.”

“Dia cantik, kan?” Makyung Bedah menduga.

“Ya. Dia cantik dan suaranya juga merdu. Untung dia dapat kahwin dengan anak Datuk. Kalau tak menyanyi pun dia mampu hidup mewah,” jawab gadis itu dengan petah.

Hati Makyung Bedah berbunga bangga. Sampailah hajat Surya hendak menjadi orang terkenal. Terpenuh juga impian Surya hendak hidup mewah.

“Anak, boleh tolong baca apa cerita yang ditulis ni?” tanya Makyung Bedah menunjukkan ke arah muka surat yang penuh dengan tulisan bersama gambar-gambar Surya itu.

“Mak cik tak tahu baca?”

Makyung Bedah menggelengkan kepala, jujur.

“Habis, kenapa mak cik beli majalah ni?”

“Sebab mak cik berkenan dengan gambar muka depan ni. Mak cik suka tengok senyuman budak ni. Bila tengok wajah dia, mak cik terbayangkan wajah anak mak cik,” jawab Makyung Bedah sambil tangannya mengusap-usap wajah Surya pada kulit majalah itu.

Gadis itu angguk perlahan. Walaupun di wajahnya tergambar kekeliruan, namun dia tetap angguk. Kemudian dia mengambil majalah itu dari tangan Makyung Bedah dan mula membelek halaman yang menyiarkan cerita mengenai Surya Ismail, penyanyi rock terkenal di Malaysia.

Apa yang tertulis mula dibaca oleh gadis itu. Semuanya mengenai lagu-lagu yang terkandung dalam album baru yang bakal terbit. Banyak cerita mengisahkan hal-hal kariernya.

“Semuanya mengenai kisah album barunya, mak cik.” Gadis itu melangkau baris tulisan. Dia seperti bosan dengan kisah yang ditulis itu.

“Tak ada kisah mengenai keluarganya?” tanya Makyung Bedah pula.

Gadis itu mencari-cari kalau ada tertulis cerita keluarganya dalam rencana dua muka surat itu. Tiba-tiba matanya terpandang kepada sebuah perenggan.

“Ada mak cik. Dia kata dia bersyukur kerana ada suami dan keluarga mertuanya yang banyak memberi sokongan dan kasih sayang.”

“Itu saja?”

“Dia kata lagi, sejak kecil dia menjadi yatim piatu. Dia dibesarkan oleh mak ciknya yang juga meninggalkannya ketika masih perlukan kasih sayang dan perhatian. Jadi dia rasa bertuah kerana dapat merasai kasih sayang seorang ibu dari Datin Seri Nik Hayati.” Gadis itu berhenti membaca. Dia membelek-belek majalah itu.

Hati Makyung Bedah berdebar kencang. Dia rasa tubuhnya ringan melayang-layang seperti sedang ditiup angin puting beliung.

“ALLAH hu AKBAR!” rintihnya perlahan.

“Kenapa mak cik?” tanya gadis itu sambil meletakkan majalah itu di atas ribaan Makyung Bedah.

“Tak ada apa-apa. Mak cik rasa sakit kepala.”

“Kalau macam tu, baik mak cik makan panadol. Mak cik nak panadol?”

Dengan cepat Makyung Bedanh mengangguk. Dia tidak mahu gadis itu mengesyaki apa-apa. Dia tidak mahu gelora hati seorang ibu pecah menjadi tangis di hadapan orang yang tidak dikenali.

Dua biji panadol dihulurkan kepadanya. Makyung Bedah terus menelan bersama air mineral yang ada di tangannya.

“Anak ni nak ke mana?”

“Saya nak ke Kuala Trengganu. Mak cik nak ke mana?”

“Mak cik nak ke Kelantan.”

“Mak cik dah beli tiket?”

“Belum lagi, nak. Mak cik tak pandai. Boleh tak anak tolong belikan tiket untuk mak cik?” Makyung Bedah memang sangat mengharapkan bantuan gadis itu. Kalau tadi dia hanya gerun untuk memijak tangga bergerak itu, sekarang tubuhnya semakin lemah dan longlai. Ayat-ayat yang dibacakan oleh gadis itu sangat menghancurkan hatinya.

Gadis itu angguk. Dia nampak ikhlas dan tulus ingin membantu.

“Nah, ini duitnya,” kata Makyung Bedah sambil menghulurkan wang kertas seratus ringgit.

“Mana kad pengenalan mak cik?”

“Nak buat apa kad pengenalan?” Makyung Bedah terpinga-pinga. Dia mula bimbang.

“Mak cik, di terminal ini nak beli tiket bas kena ada kad pengenalan atau paspot kalau orang luar. Bukan boleh suka-suka beli macam tu je,” balas gadis itu dengan senyum. Mungkin dia faham apa yang dibimbangkan oleh orang tua seperti Makyung Bedah.

Makyung Bedah ikut tersenyum. Dia mengeluarkan kad pengenalan dari beg kainnya. Kad itu dihulurkan kepada gadis itu.

“Mak cik tunggu di sini ya. Tengok-tengokkan beg saya ni. Biar saya pergi ke kaunter.”

Makyung Bedah menghantar lenggang gadis itu hingga ke tangga. Dia bersyukur kerana dipertemukan dengan gadis itu.

Dia kembali teringat kepada Surya. Sampai hati Surya beritahu masyarakat dia anak yatim piatu sejak kecil. Memang benar dia anak yatim tetapi dia bukan piatu.

‘Kau lupa tangan ini yang membelai kau sampai dewasa. Tangan ini yang bekerja siang malam untuk membesarkan kau sampai pandai. Kau lupa kalau ibu tua ini yang bergolok bergadai untuk mencari duit belanja kau ke universiti. Surya, kau lupa semuanya...’ rintihnya dalam hati.

Air matanya bergenang. Gambar Surya di kulit majalah itu ditatap lama. Kenangan masa lalu tergambar jelas. Surya yang manja dan keletah. Surya yang kuat merajuk. Surya yang pengasih dan suka tidur berpelukan dengannya. Surya yang sangat dimanjakan hingga membuatkan kakak dan abangnya cemburu.

“Surya...” rintih Makyung Bedah. Dia rasa sangat letih dan kesakitan. Lalu dia sandarkan tubuhnya ke kerusi. Dunianya dirasakan gelap dan kelam. Kemudian dia rasakan hidupnya kosong dan tubuhnya ringan bagai kapas. Dia diterbangkan angin dan melayang-layang entah ke mana...


Previous: Bab 61
Next: Bab 63

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.