Balik dari rumah Semah, Makyung Bedah singgah di Kedai Pak
Mud. Ada barang dapur yang hendak dibeli.
“Kau dari mana Bedah?” tanya Pak Mud yang sedang menyusun
barang-barang di rak.
“Dari rumah Semah.”
“Kenapa dengan Semah?Sakitnya berulang lagi ke?”
“Taklah. Saja aku ziarah dia.”
Pak Mud angguk perlahan. Dia tahu keakraban dua sahabat itu.
Sejak zaman remaja dan muda belia mereka sudah rapat. Hingga masing-masing berkahwin dan hidup
menjanda, hubungan mereka tetap erat.
“Mud, tolong berikan akusetengah
kilo biji sagu dan sekilo gula.”
“Kau nak buat apa dengan biji sagu tu, Bedah?”
“Dah lama tak makan lempeng sagu.Hari-hari asyik makan nasi.”
“Lempeng sagu? Aku pun dah lama tak makan. Nampak gaya aku
pun kena suruh Jenab buat juga ni,” kata Pak Mud dengan mata cerah.
Makyung Bedah tersenyum nipis. Dia duduk di bangku panjang
sementara menunggu barang-barang yang diminta, ditimbang dan dibungkus.
“Bedah, kau tak tengok televisyen malam tadi?”
“Dah lama aku tak tengok.”
“Kenapa? Televisyen kau rosak ke?”
“Taklah. Saja aku malas. Dulu aku rajin tengok rancangan
berita. Tapi sekarang aku ngeri dan sedih nak tengok berita.”
“Kenapa pula?”
“Sebab ia dipenuhi kes jenayah saja. Aku takut nak tengok gambar-gambar
kemalangan jalan raya dan tembakan di sana-sini.”
Pak Mud angguk. Barang yang diminta oleh Makyung Bedah diletakkan di
hadapan wanita itu.
“Jadi, kau benar-benar tak tahu?” Pak Mud menekankan suara.
“Tahu apa?” Makyung Bedah merenung wajah Pak Mud. Usia mereka sebaya.
Waktu kecil mereka adalah rakan sepermainan. Kalau Pak Mud seorang wanita,
darjat sayang Makyung Bedah sama dengan Mak Semah.
“Anak kau, Surya.”
“Kenapa dengan anak aku?” Mata Makyung Bedah semakin terbeliak.
Pak Mud menjadi ragu-ragu untuk meneruskan kata-katanya. Hajatnya untuk
menyampaikan cerita menjadi tumpul serta merta.
“Mud, ada apa dengan anak aku?”
“Kalau kau tak tahu, tak apalah. Aku ingat kau tahu dan sengaja tak nak
kami orang kampung tahu.”
“Mud, kau jangan nak permainkan perasaan aku. Jangan juga nak
persendakan hati aku. Aku tak tahu
apa-apa. Kau beritahulah apa yang kau tahu mengenai anak bertuah aku tu,” kata
Makyung Bedah dengan nada bergetar.
“Mak Bedah! Wah, dapat menantu diam-diam saja ya!” Tiba-tiba Jenab,
anak dará Pak Mud keluar dari belakang kedai. Dia menyengih-nyengih ke arah
Makyung Bedah. Pak Mud cuba memberi isyarat namun ianya tidak difahami oleh
Jenab.
“Menantu? Siapa yang kahwin?” Makyung Bedah semakin keliru. Wajah Pak
Mud dan Jenab, anak daranya direnung silih berganti.
“Surya?” Tiba-tiba Makyung Bedah bertanya dengan suara separuh
menjerit. Dia teringat pada kata-kata Pak Mud di awal tadi.
“Mud, betulkah Surya yang berkahwin?” Makyung Bedah inginkan
kepastian.
“Betulkah Mak Bedah tak tahu?” tanya Jenab dengan rasa
bersalah.
“Kalau aku tahu aku tak tanya!” Suara Makyung Bedah semakin
kering. Wajahnya juga mula berubah rona.
“Betul Bedah. Malam tadi, ada disiarkan sebagai penutup
siaran Berita Hari Ini. Majlis dibuat di sebuah hotel secara besar-besaran.
Meriah sangat. Wajah Surya disolek cantik.Dia seperti seorang puteri raja. Dia mirip kau sewaktu muda, Bedah.”
Pak Mud begitu cermat dan berhati-hati ketika bercerita.
Dada Makyung Bedah terasa sakit seperti dipanah petir!
Tubuhnya terasa sejuk menggigil.
“Maafkan aku Bedah. Aku ingat kau tahu hal ini,” kata Pak Mud lagi. Dia
benar-benar kesal kerana Makyung Bedah mendapat tahu hal itu dari mulut dia dan anak daranya.
Makyung Bedah cuba tersenyum untuk melegakan hati Pak Mud dan Jenab.
Jauh di sudut hatinya, dia sedang menahan sebuah kesakitan. Jiwanya
pula sedang menanggung lara.
Tersangat sakit apa yang dilakukan oleh Surya itu. Sampai hati Surya
berbohong kepadanya. Sebulan lepas, dia menelefon anak bongsunya. Berpuluh kali
dicuba, barulah Surya menjawab.
“Mak, sekarang Surya ada show di luar negara.Mungkin lama. Mak jangan telefon Surya tau! Nanti Surya suruh Kak Yam
masukkan duit dalam akaun mak.Mak pergilah jalan-jalan makan angin.
Mak ajaklah sapa-sapa yang mak suka.”
“Habis bila kau nak balik jumpa mak? Mak tak nak duit kau.
Mak nak kau!”
Tut! Talian diputuskan.
Sejak itu dia tidak dapat menghubungi Surya lagi.
Tiba-tiba dia mengetap bibir. Dia rasa sangat geram. Surya memang
melampau. Sangat melampau. Dia telah mencarikkan hati seorang ibu.
“Aku balik dulu Mud, Nab. Dah dekat zuhur ni.” Makyung Bedah segera
membayar harga barang yang dibeli. Dia cuba tersenyum dan menutup luka hati
yang sedang berdarah itu.
Kemudian dengan langkah longlai, dia meninggalkan tempat itu.Dia cuba menguatkan langkah. Dia cuba kuatkan semangat.
“Ya ALLAH, berikan aku kekuatan.” Itu yang dipintanya sepanjang jalan.
“Surya, kenapa buat mak macam ni…” rintihnya perlahan. Ketika itu juga
air matanya mula menitik. Sudah tidak mampu dia menahannya lagi. Biarlah relong
air mata itu pecah. Ia bukti sebuah hati sedang berdarah!
Sampai di rumah, Makyung Bedah tidak terus naik. Dia duduk
di pangkin bawah pokok gajus yang sedang bergayutan buahnya. Dia membuka
kerudung di kepala. Air matanya dikesat perlahan.
“Sampai hati kamu buat mak macam ni, Surya. Kamu pinggirkan
ibu tua yang malang ini. Apakah kerana kamu malu kalau orang tahu aku ini
ibumu?” Makyung Bedah terus merintih seolah-olah Surya ada di hadapannya ketika
itu.
Lama dia menangis dan melayan kesakitannya. Dia seperti tidak percaya
dengan apa yang berlaku. Surya anak yang dimanja-manja. Kasih sayang dan
perhatiannya kepada Surya tulus dari hati mengikut tanggungjawab yang
diamanahkan oleh ALLAH.
Dia naik ke rumah. Terasa ingin mendengar sendiri cerita itu dari mulut
yang empunya diri. Dia mencuba nasib, menghubungi Surya melalui nombor yang
diberikan.
‘Nombor yang anda dail tidak ada dalam perkhidmatan.’Itu suara yang didengarnya dari hujung talian.
“Macam mana tak ada pulak.Inilah nombor
yang selalu aku guna.”
Dia mencuba dan mencuba. Jawapannya tetap sama. Akhirnya dia berhenti mendail
kerana jemarinya mula penat dan hatinya mula yakin dengan kenyataan yang benar
bahawa memang Surya sudah tidak mahukan dia lagi.
Hatinya semakin lara. Dia berbaring di pangkin itu. Matanya merenung
awan yang memutih. Cahaya matahari yang memang bersinar terang mencantikkan
lagi keadaan awan hingga nampak berkilauan.
“Abang… tengoklah apa yang Surya buat pada Bedah.Apa salah Bedah bang…” Makyung Bedah teresak-esak.
Tiba-tiba dia rasa semangatnya sangat lemah. Dia langsung tidak mampu
memujuk hatinya dan menahan rasa sakit hatinya.
Lama dia terbaring. Lama dia merenung awan. Kemudian dia merenung ke
dalam dirinya, mencari kesilapan dan kekurangan sebagai seorang ibu.
“Tak cukupkah kasih sayangku kepadanya? Kenapa tak ada rasa kasih dan
kasihan langsung dalam hatinya?”
Dia bergolek ke kiri dan ke kanan. Pangkin kayu itu tidak terasa keras
dan kasar.
Akhirnya dia terlena bersama air matanya.
Dia membawa dukalara itu ke dalam mimpinya.