Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 32

Pagi-pagi lagi Makyung Bedah berjalan kaki ke kedai Pak Mud. Dia perlu selesaikan hal itu dengan Pak Mud sebelum berlarutan menjeruk hatinya. Dia dan Pak Mud kawan sejak muda. Sama dengan Mak Semah. Lelaki itu memang sangat baik tetapi tidak sebaik arwah Ismail. Tidak ada lelaki lain yang mampu menandingi Ismail dalam hatinya. Sungguh. Sampai bila-bila pun memang tidak ada. Noktah.

Makyung Bedah duduk di sebuah bangku yang ada. Dia menunggu sehingga Pak Mud siap melayani pelanggan. Dia tidak mahu mengganggu lelaki itu.

Lama juga dia menunggu. Akhirnya baru ruang masa itu memihak kepadanya.

“Mud, aku ada hal nak cakap dengan kau.” Makyung Bedah memulakan kata selepas dia pasti tidak ada pelanggan di kedai itu.

“Ya Bedah. Cakaplah. Jangan simpan semua kesakitan dalam hati kau. Kita sahabat. Kalau kau sudi meluahkan, aku sudi mendengarnya,” balas Pak Mud sambil menarik kerusi dan duduk di hadapan Makyung Bedah.

Makyung Bedah rasa gugup seketika. Namun dia kena kuatkan hati dan semangat.

“Mud, maafkan aku kerana sikap kurang ajar Maryam.”

“Tak apalah Bedah. Dia tak tahu perasaan kita orang tua.” Pak Mud begitu tenang. Di wajahnya sudah hilang semua rasa risau dan resah. Tidak seperti beberapa hari yang lepas.

“Bukan dia tak tahu tapi dia sengaja tak nak ambil tahu. Dia nak ambil jalan mudah. Dengan menyerahkan aku kepada kau, dia rasa tanggungjawabnya sebagai anak dah selesai,” kata Makyung Bedah dengan suara mula bergetar.

“Bedah, sabarlah. Aku tak sangka mereka buat kau macam ni? Mereka membesar di hadapan mata aku. Semasa kecil dan remaja, mereka anak-anak yang baik dan sopan. Tak sangka mereka berubah,” balas Pak Mud. Memang apa yang Maryam buat ini tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Mereka berubah sebab aku orang kampung yang miskin. Aku penari makyung.”

“Tapi mereka tak boleh nak tolak asal usul mereka. Dah mereka ditakdirkan lahir dari rahim kau. Kalau tak ada kau, mereka tidak akan melihat dunia ini. Kenapa mereka begitu takbur dengan kejayaan mereka,” sanggah Pak Mud. Kalau itu alasan Azman, Maryam dan Surya, Pak Mud rasa ia sangat berdosa. Mereka melupakan jasa seorang ibu. Susah payah melahir dan membesarkan.

“Aku nak tanya kau, Mud.”

“Tanyalah Bedah. Kalau aku mampu jawab aku akan jawab.”

“Aku perlukan jawapan yang jujur. Aku tak nak kau bermuka-muka dengan aku,” kata Makyung Bedah sambil matanya merenung ke jalan yang berdebu.

“Apa maksud kau Bedah?”

“Adakah benar kau dah setuju dengan rancangan yang Maryam buat ini. Adakah benar kau memang sokong kerja gila dia ni?”

“Astaghfirullahhalazim! Aku tak pernah kata macam tu, Bedah. Aku tak pernah setuju. Dia desak aku. Lalu aku kata, aku serah pada kau. Aku kata begitu kerana aku dah tahu kau tak akan terima semua ini.”

“Macam mana kau yakin aku akan tolak?”

“Bedah, aku dah arwah Mail sangat rapat. Macam mana rapatnya kau dan Semah, macam tulah kami. Tidak ada rahsia antara kami. Aku tahu betapa mendalamnya perasaan sayang kamu berdua. Aku tahu kasih kau tak pernah padam pada Mail walaupun dia dah lama tinggalkan kau. Aku yakin akan hati kau yang sangat-sangat sayangkan Mail.” Pak Mud ikut merenung ke arah jalan. Debu yang berterbangan akibat panas yang terik saban hari kadang-kadang menyesakkan hidung.

“Terima kasih Mud. Aku harap kau tak akan khianati tali persahabatan kau dan arwah Abang Mail. Aku masih percayakan kau. Jangan sampai aku hilang kepercayaan pada kau.”

“Aku akan amanah menjaga persahabatan kita sampai mati, Bedah. Percayalah padaku,” balas Pak Mud, bersungguh-sungguh. Dia sangat tulus dengan kata-katanya.

“Kalau macam tu, tak apalah. Kita tunggu apa mereka nak buat pada aku selepas ini.”

“Mereka tak akan buat apa-apa. Aku akan menghalang semua sikap kurang ajar mereka pada kau. Aku akan lindungi kau, Bedah. Kalau kau ada apa-apa masalah, jangan malu datang ke rumahku. Aku ikhlas dari hatiku yang putih untuk membantu kau, Bedah.”

“Terima kasih sekali lagi, Mud. Setakat ini, aku memang tak pernah ada masalah. Yang buat masalah adalah anak-anak aku tu. Mereka memang tak senang tengok aku keluar dari kampung ni. Surya sangat bimbang kalau aku beritahu wartawan bahawa aku ni mak dia. Begitu juga Azman dan Maryam. Semua tak nak mengaku, perempuan tua yang miskin ini emak yang melahirkan mereka.” Makyung Bedah menahan sebak. Kalau boleh dia tidak akan membiarkan setitik pun air matanya gugur di hadapan Pak Mud.

“Bedah, aku faham perasaan kau. Aku cuma boleh berdoa agar budak-budak tu segera sedar bahawa mereka dah jadi anak derhaka.ALLAH sedang melaknati mereka.”

Sepi. Makyung Bedah tidak berminat untuk menyampuk.

“Aku balik dulu, Mud.”

“Kau tak singgah rumah Semah?”

“Taklah. Nanti petang baru aku pergi. Aku nak singgah jumpa Abang Mail sekejap.” Makyung Bedah bangun. Dia membetulkan kain yang menutup kepalanya.

“Bedah?” Mata Pak Mud terbeliak. Wajahnya cuak dan ragu-ragu dengan apa yang didengarnya.

Namun, Makyung Bedah tetap melangkah pergi. Dia langsung tidak menoleh ke arah Pak Mud. Langkahnya lemah longlai. Langkah orang kecewa.

Pak Mud menghantar langkah itu dengan mata simpati.

‘Kesian Bedah. Kenapalah sampai hati anak-anak buat dia macam tu!’ rungut Pak Mud di dalam hati.

“Kenapa dengan Mak Bedah tu ayah?” tanya Jenab yang muncul dari belakang kedai.

“Entahlah. Dah nasib dia macam tu,” jawab Pak Mud tanpa menoleh.

“Lain macam saja Mak Bedah sejak akhir-akhir ini.”

“Lain macam mana, Jenab?” Kali ini Pak Mud menoleh. Kata-kata Jenab menarik perhatiannya.

“Kata tok haji, Mak Bedah tu semakin kerap dan suka menyanyi makyung sejak akhir-akhir ini.”

“Macam mana tok haji tahu?” tanya Pak Mud, hairan. Tok haji yang dimaksudkan oleh Jenab ialah Haji Awang yang membeli tanah sawah milik keluarga Imam Yunus.

“Kalau dia pergi melihat sawahnya, dia selalu dengar Mak Bedah menyanyi sorang-sorang. Pelik betul perangai dia sekarang. Dulu dia tak macam tu,” kata Jenab.

“Dia sangat menderita, Jenab.”

“Apa maksud ayah?”

Pak Mud menceritakan semuanya termasuk hal Maryam hendak menjodohkan dia dengan Makyung Bedah.

“Ish, apa masalah Kak Yam tu? Dia tu belajar sampai universiti. Dah jadi cikgu pulak tu.”

Pak Mud mendengar semua rungutan Jenab dengan hati yang gundah. Kalau benar apa yang dikatakan Jenab tadi bagaimana? Apakah fikiran Makyung Bedah terlampau terganggu sehingga dia melakukan sesuatu yang sudah lama ditinggalkannya?

“Kita mesti bantu Mak Bedah, ayah.” Jenab memecah sepi. Fikiran Pak Mud yang sedang bekerja keras terhenti seketika.

“Apa yang kita mampu tolong selain berdoa.”

“Ayah boleh tolong nasihatkan Kak Yam dan Kak Surya tu. Atau ayah nasihatkan Abang Azman sebagai anak lelaki tunggal,” ujar Jenab.

“Ayah tak berani. Hari tu mereka balik kampung dan serang Imran gara-gara Imran bawa Mak Bedah kamu ke Kuala Lumpur tempoh hari. Berpunca dari situlah semuanya ini berlaku,” tingkah Pak Mud.

“Kenapa pula?”

“Mereka marah bila kisah Mak Bedah masuk surat khabar. Mereka malu kalau orang tau itu emak mereka.”

Jenab terdiam. Dia mengulum semua rasa yang sedang berlegar dalam hatinya. Dia kehilangan emak ketika masih di bangku sekolah. Dia rindukan seorang emak. Maryam dan Surya ada emak tetapi mereka langsung tidak rindu. Malah mereka begitu berani bersikap kurang ajar kepada seorang ibu. Paling buruk, bila mereka malu hendak mengaku Makyung Bedah itu emak mereka.

Alahai....

Ketika dua beranak itu sedang termenung mengenangkan nasib Makyung Bedah, Imran sampai dengan motornya.

“Pak Mud, ada nampak Mak Bedah tak? Saya dah ke rumahnya tapi dia tak ada,” kata Imran dengan wajah bimbang.

“Tadi dia ada datang ke sini.”

“Habis tu, mana dia?”

“Dia dah pergi. Katanya nak ke kubur. Im, baik kau pergi tengok dia. Aku nampak dia agak murung.”

Imran tidak menunggu lama. Dia terus menekan gear dan dengan laju meninggalkan Pak Mud dan Senah. Hatinya yang risau semakin bertambah-tambah. Sejak pagi Makyung Bedah tidak menjawab panggilan telefon. Kemudian bila ke rumahnya, dia tiada.


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.