Bersama dua orang rakannya, Imran mengusung tubuh Makyung
Bedah ke hospital. Sepanjang jalan itu, Makyung Bedah meracau sahaja. Butir
bicaranya tidak terang. Dia seolah-olah berada di dunia lain dan sedang berbual
dengan sesaorang.
“Man, nanti kalau balik dari sekolah tolong belikan mak biji
sagu. Mak nak buat lempeng sagu untuk ayah. Dah lama dia tak makan lempeng
kegemarannya itu.” Suara Makyung Bedah parau di celah kerongkong.
Imran menelan air liur. Sungguh berat derita yang ditanggung
oleh Makyung Bedah. Rindu, lara dan kecil hati seorang ibu.
“Yam, mak dah belikan baju baru untuk Yam.Baju yang Yam suka tu. Tengok ni…” Suara Makyung Bedah gemersik
di celah bibir. Matanya masih pejam dan nafasnya tidak teratur.
Imran menyentuh dahi Makyung Bedah yang panas.
“Mak, sabarlah mak. Kita dah dekat. Jangan lalai mak. Ingat
pada ALLAH.” Imran berbisik ke telinga Makyung Bedah.
“Surya, jangan lupa kasut tu. Esok kan kamu kena hadirkan
diri ke majlis penyampaian hadiah. Biarlah kasut tu koyak dan berlubang asalkan
ia bersih dan putih. Cikgu Che’Nab mesti suka tengok,” sambung Makyung Bedah. Suara
itu semakin lemah. Kemudian Makyung Bedah terlentuk lemah.
“Mat, cepat Mat. Mak Bedah dah pengsan!” kata Imran dengan
panik. Dia mengipas-ngipas dengan sebuah majalah.
Mat Deris, menekan lampu kecemasan dan memandu kereta dengan
laju. Dia ikut bimbang dengan keadaan Makyung Bedah itu.
“Dia ni demam rindu ni. Kesian Mak Bedah. Kenapalah
anak-anak dia tak berperasaan langsung.Dah berjaya
dan kaya, tinggalkan orang tua ni begitu saja. Tak tanya khabar pun,”
rungut Imran perlahan.
“Si Tanggang Moden!” tambah Mat Deris dengan keras.
“Aku rasa macam nak tumbuk muka anak-anak dia kalau aku
jumpa,” tambah seorang lagi.
Kereta yang dipandu Mat Deris sampai di hadapan Hospital
Tanah Merah. Dengan cepat, Imran turun dan memaklumkan hal Makyung Bedah itu di
Kaunter Trauma dan Kecemasan.
Dua orang kakitangan hospital bergegas keluar dengan menolak
stretcher.Tubuh Makyung Bedah diangkat dan segera
dikejarkan ke bilik rawatan kecemasan.
“Aku harap dia tak apa-apa. Kalau jadi apa-apa pada dia,
tahulah aku kerjakan anak-anak dia!” kata Mat Deris, geram.
Setengah jam kemudian, seorang doktor keluar dan memanggil
Imran.
“Awak anak dia?”
“Saya hanya jiran dia. Kenapa doktor?”
“Kami terpaksa tahan dia di wad. Tekanan darahnya sangat
rendah dan demamnya sangat tinggi. Kalau dibiarkan dia boleh koma,” kata doktor
itu.
“Buatlah yang terbaik untuk selamatkan dia, doktor. Saya
akan bertanggungjawab atas
semuanya sebab anak-anak dia tak ada di sini,” kata Imran. Matanya mula basah.
Tidak sanggup lagi dia menahan hati mendengar kata-kata doktor itu. Sekujur
tubuh Makyung Bedah yang lemah dan tidak bermaya sangat membuatkan hatinya
cemas.
Akhirnya Makyung Bedah ditahan di wad. Dia diberikan rawatan
rapi.
Imran dan kawan-kawannya meninggalkan Makyung Bedah dengan
hati yang berat.
“Mak, kami balik dulu. Nanti kami akan datang lagi pada
waktu melawat nanti. Mak jangan susah hati ya. Selagi saya ada, saya akan jaga
mak,” kata Imran di hujung telinga Makyung Bedah.