Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 61

*61*

Makyung Bedah masuk ke dalam teksi selepas bersalaman dengan Bik Sumi. Surya tidak masuk ke dalam teksi itu bersamanya.

“Mak, ini ada duit untuk mak buat belanja dalam perjalanan,” kata Surya sambil menghulurkan sebuah sampul surat.

Makyung Bedah merenung sampul itu dengan hati yang kosong. Dia juga rasa cuak. Kenapa Surya sudah berikan dia duit sedangkan dia belum masuk ke dalam teksi. Tiba-tiba dia rasa sedih menyucuk nubari.

“Ambillah! Tak payah nak buat muka sedih macam tu!” tengking Surya tanpa segan kepada pemandu teksi yang sedang menunggu itu.

Dengan perlahan dan lambat, Makyung Bedah mengambil dan terus memasukkan sampul itu ke dalam beg yang dikepit di bawah ketiaknya.

“Dah, boleh jalan sekarang!” kata Surya kepada pemandu teksi. Dengan pantas dan tidak berlengah, pemandu teksi itu segera menekan pedal minyak.

Hati Makyung Bedah berderau cuak ketika kereta bergerak pergi. Dia menoleh ke belakang. Surya melambai-lambaikan tangan dengan senyuman senang.

“Encik, kenapa encik tinggalkan anak saya?” Makyung Bedah terpinga-pinga bingung. Lambaian Surya membuatkan hatinya terasa sangat pilu. Terasa seperti hatinya sedang direntap dengan kuat oleh satu tangan yang zalim!

“Dia kata dia tak ikut sama. Dia dah bayar tambang dan suruh hantar mak cik ke stesen bas.”

Air mata Makyung Bedah bergenang. Tubuhnya menggeletar. Dia cuba menahan agar dia tidak menangis. Sudah lama dia menangis kerana anak. Kali ini, dia cuba bertahan diri.

‘Sampai hati kau Surya. Langsung kau tak sudi bersalam dan memeluk aku. Busuk sangatkah tubuhku ini hingga begitu sekali sikapmu? Jahat sangatkah aku ini hingga kau tak sudi nak hantar aku?’

Bisikan itu terbetik dari hati seorang ibu. Dia tunduk. Dia pejamkan mata. Lalu jauh di sudut hati, dia cuba mengubati hatinya sendiri!

“Boleh saya tanya, mak cik nak ke mana?”

“Saya nak balik ke kampung saya di Kelantan.”

“Tapi, kenapa anak mak cik suruh hantar ke Terminal Bas Pudu Raya?”

“Kenapa, tak ada bas ke di situ?” tanya Makyung Bedah.

“Ada bas, tapi bukan ke Kelantan. Ia stesen untuk ke tempat lain.”

Makyung Bedah diam berfikir. Apa muslihat Surya? Adakah dia sengaja berbuat begitu agar Makyung Bedah tidak sampai ke kampung?

“Habis sekarang mak cik nak ke mana?”

“Anak, boleh tak hantarkan mak cik ke stesen bas ke Kelantan? Tolonglah nak...” rayu Makyung Bedah penuh harap.

“Baiklah. Tapi, kenapa anak mak cik buat begitu?”

“Maafkan mak cik. Mak cik tak tahu dan tak ada jawapan untuk itu. Biarlah, asalkan mak cik sampai ke kampung mak cik. Dah lama mak cik di sini. Mak cik dah rindukan kampung mak cik. Entah hidup lagi ke ayam itik dan ikan-ikan mak cik di kolam,” jawab Makyung Bedah dengan perlahan. Dia memandang keluar.

Suasana sepi. Makyung Bedah masih melayan perasaannya sambil mata memandang ke arah jalan raya. Pemandu teksi itu pula memandu dengan penuh hati-hati. Dia seperti tidak berani untuk berbual-bual lagi dengan Makyung Bedah.

Setengah jam kemudian, teksi itu berhenti di hadapan sebuah kompleks hentian bas yang besar dan sibuk.

“Mak cik, kita dah sampai. Mak cik turun dan naik tangga tu. Di tingkat atas tu ada kaunter jualan tiket bas. Mak cik tanya dengan orang kalau mak cik tak tahu.”

“Apa nama tempat ni?”

“Terminal Bas Bersepadu. Atau singkatnya orang panggil TBS.”

“Terima kasih ya kerana tolong hantar mak cik ke sini. Mak cik doakan anak ini sentiasa diberkati ALLAH. Hanya doa yang mak cik ada,” kata Makyung Bedah ketika membuka pintu teksi dan turun.

Teksi itu berlalu pergi. Makyung Bedah terkulat-kulat memandang sekeliling. Ramai orang berada di sekitar terminal itu. Suasana sekelilingnya agak sibuk. Untuk pertama kali dalam hidupnya dia berada di tengah-tengah kesibukan secara bersendirian. Dia terpinga-pinga seperti rusa masuk kampung.

Dia nampak ada deretan kerusi yang disediakan dalam bangunan itu. Dia segera berjalan ke arahnya. Dia perlu duduk dan tenangkan hati.

‘Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku balik ke kampung,’ bisik hati Makyung Bedah ketika melabuhkan punggung ke kerusi. Dia menarik nafas lega. Keluar dari rumah banglo itu terasa seperti terlepas dari sebuah penjara. Walaupun hatinya terluka dengan perbuatan Surya namun jiwanya rasa segar selepas dapat menyedut udara luar.

Lama dia duduk membuang lenguh dan membuang rasa. Tidak lama, dia rasa kuat dan bersemangat. Bayangan wajah Mak Semah dan Imran mula muncul di ruang mata.

“Aku balik, Semah. Esok kita dah dapat bersama. Aku janji tak akan tinggalkan kau lagi. Kau tunggu ya Semah,” kata Makyung Bedah perlahan solah-olah berbisik. Bibirnya menguntum senyuman.

“Mak cik, nak ke mana?” tanya seorang anak muda di sebelahnya.

Makyung Bedah menoleh.

“Mak cik nak ke Kelantan. Anak ni nak ke mana?”

“Saya nak ke Johor. Mak cik dah ambil tiket?”

“Belum. Nak ambil kat mana ya?”

“Mak cik naik tangga tu. Kat tingkat atas tu ada banyak kaunter. Mak cik beratur saja dan cakap nak ke mana,” jawab anak muda itu dengan sopan.

“Terima kasih anak ya,” kata Makyung Bedah sambil bangun. Dia berjalan ke arah tangga yang ditunjukkan. Sampai di tepi tangga, langkahnya terhenti.

“Ya ALLAH, macam mana aku nak naik ni?” Dia panik melihat tangga yang sedang bergerak laju. Dia gerun dan takut. Langkahnya diundurkan ke belakang kerana ada beberapa orang lain yang hendak menggunakan tangga itu.

Ketika tidak ada orang lain, dia mendekati tangga itu sekali lagi. Kakinya dihulurkan tetapi serta merta rasa takutnya menerpa. Dia undur lagi. Dua tiga kali dia mencuba namun hasilnya tetap sama.

Akhirnya dia mencari kerusi dan duduk membuang gerun. Matanya masih terpaku kepada tangga yang bergerak naik itu. Ramai orang yang melangkah ke tangga itu dan dibawa naik dengan selesa.

Hari semakin meninggi. Perutnya mula berkeroncong lapar. Kerongkongnya pula mula perit, haus. Di hadapannya ada sebuah kedai yang menjual beraneka barang. Dia bangun dan berjalan ke arah kedai itu. Dia membeli sebungkus roti dan sebotol air mineral.

Ketika dia beratur untuk membayar, matanya terpandang kepada sebuah majalah hiburan yang disusun di rak.

“Dik, ambilkan majalah tu satu,” kata Makyung Bedah kepada seorang pekerja kedai yang sedang menyusun buku dan majalah.

Majalah itu dihulurkan dan Makyung Bedah menerima dengan tangan yang sedikit terketar.

Gambar di muka depan direnung. Gambar Surya bersama suami dan keluarga mertuanya!

“Mak cik nak beli ke majalah tu?” tegur juruwang.

“Ya... ya. Kira semua ni,” jawab Makyung Bedah sambil menyerahkan semua barang yang ada di tangannya termasuk majalah hiburan itu.

Selepas membayar dia kembali duduk. Air mineral diteguk sekadar membasahkan tekak yang sangat kering dan kehausan seolah-olah lepas berlari di gurun pasir. Roti pula langsung tidak disentuh. Perutnya memang lapar tetapi seleranya tidak sudi muncul.

Dia membuka majalah yang baru dibeli. Surya tersenyum bahagia. Kedua-dua mertuanya juga tersenyum. Mereka berada dalam suasana yang sangat bahagia. Suami Surya, sangat kacak dan berwajah tenang. Entah kenapa hati kecil Makyung Bedah terpaut hati kepada menantu yang tidak dikenalinya itu.

‘Aku sudah sangat hampir dengan kalian selama beberapa bulan. Namun takdir ALLAH belum memberi peluang untuk kita bertemu. Tak apalah. Aku tak setaraf dengan kamu semua. Aku hanya perempuan kampung yang kolot dan miskin. Aku ibarat melukut di tepi gantang. Anak sendiri malu untuk mengaku aku ini ibunya...’ Hatinya berbisik pilu.


Previous: 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.