Anak-anaknya membesar dengan irama makyung. Namun selepas dewasa,
dengan perlahan dan penuh angkuh mereka membenci makyung. Selalu berlaku
pertentangan pendapat mengenai seni bangsa itu. Apakah kebencian kepada makyung
yang menjadi benteng kasih mereka?
Ingatan Makyung Bedah menjalar lagi menyelusuri kenangan lama.
Pada satu ketika, Surya pulang bercuti. Ketika itu dia sudah menjadi
penyanyi. Baru berpijak di dunia seni. Masih mencipta nama.
Makyung Bedah ketika itu sangat merindui makyung. Waktu petang, dia
cuba mengimbau zaman kegemilangannya. Walaupun hanya mendengar muzik makyung
dari kaset, dia masih mampu menghayatinya dengan baik. Dia menyanyi dan menari
dengan asyiknya seolah-olah dia berada dalam dunianya sendiri.
“Mak, dahlah tu. Dah dua hari Surya balik ke sini. Dah dua hari juga
telinga Surya ni bingit dengan lagu makyung
mak tu!” jerit Surya dengan kuat.
Makyung Bedah tersentak. Nyanyiannya terhenti. Muzik dari kaset itu
segera dimatikan.
“Mak tu tak ada nak buat kerja lain ke selain dari menyanyi makyung? Surya rimas tau mak!” sambung Surya lagi.
“Surya, kalau kau nak tahu inilah lagu seni bangsa kita. Seni makyung
ni tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.”
“Seni mak kata? Mak, orang sekarang dah tak dengar muzik macam ni.
Orang sekarang dengar muzik rock dan blues. Muzik makyung ni muzik orang zaman
dulu. Mana ada seninya lagi di zaman ini
mak,” kata Surya dengan ketawa sinis.
“Muzik kelam kabut tu? Yang
berdentam-berdentum macam guruh di langit tu? Yang buat telinga macam nak pecah
tu yang kau kata seni?”
“Mak, ni zaman moden. Ni bukan zaman makyung lagi. Zaman makyung tu dah
habis, dah tak ada. Seni tu dah lapuk mak!” Suara Surya tidak mahu ditukar
nada. Ia tetap meninggi dan penuh keegoaan.
“Surya, kamu ni memang buta seni.Makyung ni pusaka kita. Ini pusaka orang Kelantan.
Orang kenal Kelantan kerana makyung. Orang tak kenal Kelantan kerana rodat,
boria atau dondang sayang atau ulik mayang. Ini hak orang Kelantan, Surya. Sama
dengan budu. Itu seperti tanda nama kita sebagai orang Kelantan.” Makyung Bedah
juga tidak mahu mengalah. Memperlekehkan makyung seperti mempersendakan
dirinya. Makyung itu seni yang indah.
“Hah, rimasnya!” Surya mendengus marah.
Dia bangun meninggalkan Makyung Bedah sendirian. Sejak itu hubungan
antara ibu dan anak menjadi retak dan renggang.
Makyung Bedah memang perasan, Surya sentiasa mencari silap dirinya. Ada
saja perkara yang membuatkan Surya marah. Dia mula terasa bahawa Surya sengaja
mencari alasan untuk menjauhkan diri darinya. Lebih tepat lagi, Surya sedang
mencari jalan untuk memutuskan hubungan ibu dan anak!
“Surya dah berjaya menjadi
penyanyi. Dia dah berkahwin dengan orang kaya. Dia sudah bahagia. Tanggungjawab
aku sebagai emak sudah selesai. Sekarang, Surya menjadi tanggungjawab suaminya.
Ya ALLAH! Biar apapun yang dia lakukan terhadapku, tolong jangan hukum dia.
Dalam hati ibu ini, tidak pernah ada titik benci kepadanya...” bisik Makyung
Bedah perlahan. Ia berdesir seperti angin yang sedang bertiup nyaman di tengah
sawah.