“Mak tengok apa yang
mak buat?” Maryam menoleh kepada Makyung Bedah dengan tenungan tajam. Dia
seperti sedang bercakap dengan orang lain, bukan dengan seorang ibu yang telah
melahirkannya.
“Apa yang mak buat
Yam?”
“Mak dah porak
porandakan hidup saya. Mak datang dan menambahkan masalah saya!” tengking
Maryam dengan kuat.
“Hidup kau dah memang
porak poranda sebelum mak datang lagi. Kau jangan nak salahkan mak, Yam,” kata
Makyung Bedah cuba pertahankan diri.
Maryam terdiam.
“Kau jangan ingat mak
tak tahu, Yam.”
“Mak, kalau mak nak
tolong baikkan rumah tangga saya lebih baik mak pindah dari sini.”
“Ya. Aku fikir pun
macam tu juga. Boleh tak kau tolong hantarkan aku balik kampung. Di sana,
tempat yang paling sesuai untuk orang tua yang tak guna macam aku ni...”
Makyung Bedah rasa lehernya seperti tercekik duri. Dia menelan air liur. Sangat
pahit. Sepahit hidupnya.
“Tidak! Mak tak boleh
balik kampung. Saya akan hantarkan mak ke rumah Surya. Biar dia pula jaga mak.
Saya nak jaga rumah tangga saya. Suami saya tak sukakan mak. Jadi, saya kena
patuh pada suami.”
Makyung Bedah merenung
wajah Maryam. Hati seorang ibu memang sudah relai dan punah ranah. Tetapi kasih
sayang seorang ibu masih ada dalam hatinya. Dia sangat kasihkan Maryam. Hanya
ALLAH yang tahu akan perasaan itu.
“Mak bangga kerana kau
isteri yang patuh. Kalau arwah ayah kau ada, dia pun bangga kerana anaknya
seorang yang taat kepada suami. Cuma, ketaatan kau tak bertempat. Kau sanggup
abaikan seorang ibu kerana seorang lelaki. Kau lupa bahawa hubungan antara
suami isteri ada kata pemutusnya iaitu talak. Tapi kasih sayang seorang ibu,
membawa ke syurga,” kata Makyung Bedah dengan senyuman yang dipaksa.
“Sudahlah mak. Saya
tahu apa yang saya buat.”
“Yam, tolong hentikan
maksiat dan dosa yang sedang suami kau buat di rumah ini,” kata Makyung Bedah
lagi. Dia rasa perlu sampaikan apa yang dia tahu. Dia tidak mahu bersubahat
dengan Shamsul.
“Apa maksud mak? Mak
baru saja tinggal di sini. Jangan sampai mak nak karang fitnah terhadap suami
saya pula!” Maryam berpaling. Renungannya masih tajam dan menikam.
“Memang aku baru duduk
di sini. Dan ALLAH nak tunjukkan semuanya. Kenapa rumah yang besar ini tidak
ada cahaya-NYA? Kerana di rumah ini ada banyak perkara mungkar sedang berlaku.”
“Perkara mungkar apanya
mak?”
“Yam, jangan kau
butakan mata hati kau kerana sayangkan seorang lelaki. Cuba celik dan siasat.
Cuba jangan lena sangat hingga ditipu hidup-hidup. Mak tak nak masuk campur.
Sebab kau pun tak suka, kan?”
Makyung Bedah bangun
dan berjalan ke biliknya. Biarlah Maryam uruskan sendiri hal rumah tangganya.
Dia tidak akan mencampurinya.
Selepas Makyung Bedah
hilang ke biliknya, Maryam segera menghubungi Surya. Semua yang berlaku
diceritakan. Dia berharap Surya akan faham keadaan dirinya.
“Kami dah jaga mak.
Sekarang giliran kau pula!” kata Maryam dengan tegas.
“Macam mana aku nak
jaga dia Kak Yam sedangkan Abang Fazrin tak tahu aku ni ada mak. Aku tak nak
kerana mak, aku dibuang dari keluarga itu. Aku sayangkan kehidupanku sekarang.”
“Kalau macam tu, biar
mak balik kampung je. Kita pun tak perlu nak susah-susah lagi.”
“Jangan kak! Aku tak
nak wartawan terjumpa mak.”
“Kalau macam tu, kau
harus jaga mak. Nak tak nak, memang kau kena jaga. Abang Azman pun tak nak jaga
sebab bini baru dia tu tak suka!”
“Biarlah mak tinggal di
rumah akak untuk sementara waktu ni.”
“Sampai bila?”
“Sampai kita dapat satu
jalan ke mana nak hantar mak.”
“Kau cakap senang.
Abang Shamsul dah kata dia tak suka mak tinggal dengan kami. Kau pun kena
fikirkan pasal rumah tangga akak. Akak pun nak jadi isteri yang taat. Kalau
suami tak suka, macam mana akak nak terus jaga,” kata Maryam,
bersungguh-sungguh.
Lama Surya diam. Dia
berfikir dan berfikir.
“Hanya ada dua jalan.
Kau jaga mak atau kita hantar dia ke kampung!” Maryam membuat keputusan
muktamad.
“Baiklah, aku jaga mak.
Tapi Kak Yam hantarlah waktu semua orang dah pergi kerja. Aku tak nak mereka
tahu mak ada bersama aku,” balas Surya pula.
Makyung Bedah mengemas
beg pakaiannya. Dia tahu dia tidak diperlukan di rumah Maryam. Dia tidak mahu
memaksa diri berlama-lama di situ. Biarlah dia keluar dari situ sebelum keadaan
menjadi bertambah porak poranda.
Tidak banyak barang
yang dia bawa dari kampung. Hanya beberapa helai baju, telekong dan sebuah
Al-Quran terjemahan, sebagai peneman sepinya.
Tiba-tiba telefonnya
berdering. Dia menjawabnya. Suara Marinah menerjah telinga.
“Mak? Mak kat mana?”
Hati Makyung Bedah
tiba-tiba rasa lega dan lapang. Suara Marinah seperti embun yang menyejukkan
suasana.
“Mak kat rumah anak
mak. Inah kat mana?”
“Inah kat kampung. Inah
nak bercuti dengan mak. Tapi, mak tak ada.”
“Inah, Inah tunggu ya.
Mak nak balik esok.”
“Mak nak balik dengan
siapa?”
“Anak mak akan hantar
mak balik. Inah tunggu ya!” kata Makyung Bedah dengan riang. Dia yakin akan
dapat bersama Marinah di kampung.
Usai perbualan dengan
Marinah, Makyung Bedah berbaring dengan senyum senang. Kalau Maryam dan Surya
tidak sudi mengasihinya, biarlah dia mencari kasih sayang Imran dan Marinah di
kampung.
Bermacam gambaran
gembira dibayangkan sebelum matanya terlelap...