Marinah sampai ke Kampung Gual Ipoh ketika senja sudah mula berlabuh. Jenazah
Mak Semah telah selamat disemadikan. Dia tidak terkilan kerana dia tahu dia
tidak mungkin akan sempat melihat wajah Mak Semah untuk kali terakhir.
“Maafkan saya kerana tak tunggu awak, Inah. Kami terpaksa segerakan
kerja,” kata Imran ketika menyambut Marinah di muka pintu.
“Tak apa. Saya faham. Saya yang kena minta maaf dari awak,” balas
Marinah. Di hadapannya ketika itu bukan hanya Imran. Pak Mud dan anaknya Jenab
pun ada. Masing-masing masih berwajah muram.
“Kenapa pula?” tanya Imran.
“Sebab saya gagal bawa Mak Bedah balik. Mak awak pergi sebelum sempat
mereka bertemu. Saya memang gagal...” Tiba-tiba Marinah rasa sebak. Banyak
perkara yang berlaku kepada Makyung Bedah begitu menyentuh hatinya.
“Sudahlah Inah. Kita hanya mampu merancang. Selebihnya kerja ALLAH. Mak
saya dah tak ada. Saya dah tinggal sebatang kara. Mak Bedah pun entah di mana,”
keluh Imran.
“Im, jangan cakap macam tu. Pak Mud kan masih ada lagi. Mak kamu dah
serahkan kamu kepada aku. Aku pegang amanah mak kau untuk jaga kamu, Im.” Pak
Mud menepuk bahu Imran.
“Terima kasih Pak Mud,” ucap Imran dengan sebak.
“Kamu tu dah besar depan mata aku. Kalau mak kamu tak pesan pun memang
aku akan jaga kau. Macam anak-anak Mak Bedah kau juga. Mereka seperti anak-anak
aku sebab arwah Imam Mail tu kawan baik aku. Tapi...” Pak Mud sebak. Ayat yang
ingin diluahnya tersekat padat di kerongkong.
“Sabarlah ayah. Kita doakan mereka bertaubat atas kesilapan mereka,”
pujuk Jenab.
Marinah dan Imran faham apa yang ingin diluahkan.
“Pagi tadi saya dah pergi ke rumah Surya mencari mak. Tapi dia dah tak
ada di sana,” kata Marinah mengubah suasana.
Mata Pak Mud, Jenab dan Imran terus merenung wajah Marinah. Cerita
mengenai kehidupan Makyung Bedah memang sudah lama ditunggu.
“Inah, apa berlaku kepada mak?” Imran teruja. Ada debar di dadanya.
“Surya telah membawa dia pergi dari rumah itu. Entah ke mana. Mak
sangat menderita di sana...” kata Marinah. Air mata tidak mampu ditahan lagi.
Esakannya mendodoi.
“Bertenanglah Inah,” kata Pak Mud yang ikut sebak. Walaupun dia belum
mendengar kisah sebenar apa yang berlaku tetapi dia seperti dapat
meramalkannya.
Lama mereka membiarkan Marina menangis. Selepas usai tangisannya,
Marinah mula bercerita. Apa yang didengar dari mulut Bik Sumi diceritakan
semuanya.
“Aku dah agak itu yang berlaku,” keluh Pak Mud perlahan.
“Habis, di mana mak?” tanya Imran.
“Kita kena cari dia. Saya pun tak tahu ke mana Surya menghantarnya.”
“Macam mana kita nak cari dia? Kuala Lumpur itu luas. Dari mana kita
nak mulakan?” Imran begitu keliru.
“Dari rumah banglo itu. Dari tempat dia dibawa pergi,” kata Marinah.
“Apa maksudmu Inah? Kamu nak ke sana lagi? Kamu tak takut mereka
apa-apakan kamu nanti?” Pak Mud mula risau.
“Pak Mud, saya akan buat apa saja untuk mak. Kita kena cari dia!”
“Saya juga bimbangkan awak, Inah.”
“Jangan risau, saya tahu jaga diri saya. Saya dibesarkan di Kuala
Lumpur. Saya faham sepak terajang orang-orang di sana.” Marinah membetulkan
diri. Dia rasa mula bersemangat. Sungguh sakit hatinya kepada Surya yang
menderhaka kepada seorang ibu. Sungguh pilu hatinya mengenang kesedihan dan
rasa kecewa Makyung Bedah berdepan dengan sikap anak-anaknya.
“Maafkan saya kerana belum dapat bersama awak dalam tugas mencari Mak
Bedah ni. Masih banyak hal yang saya kena selesaikan,” ujar Imran pula.
“Tak apa. Biar saya uruskan hal ini sendiri. Macam mana dengan rumah
dan ayam itiknya?”
“Saya jaga semuanya dengan baik. Ikan-ikan mak dah penuh kolam. Kalau
anak-anaknya pulang waktu ini, puas mereka makan ikan-ikan tu.”
“Mereka tak akan balik kecuali ada hal yang berlaku,” kata Marinah sambil
matanya merenung ke luar.