Dari pintu, dia
terdengar Makyung Bedah sedang mengaji. Dia berdiri menunggu. Lama. Namun
selepas melihat Makyung Bedah tidak berhenti mengaji dan selamba saja
seolah-olah tidak menghiraukan kedatangannya, Surya hilang sabar. Tidak sanggup
dia berdiri dan menunggu begitu.
“Mak! Apa yang mak
sedang buat ni?” tengking Surya.
Makyung Bedah berhenti
membaca. Dia menutup Al-Quran. Entah untuk kali berapa Surya menengkingnya
begitu, dia sudah lupa. Dia seorang ibu, bukan tunggul yang tidak ada perasaan.
“Apa ni Surya? Dahlah
kau masuk tak beri salam. Lepas tu dengan suara meninggi, menengking. Kau ingat
kau sedang bercakap dengan siapa?” Makyung Bedah cuba berhemah.
“Heh! Tak payahlah nak
ajar aku. Aku tengah sakit hati ni. Mak jangan nak tambah dengan leteran
murahan mak tu!”
Makyung Bedah bangun
dan meletakkan kitab suci Al-Quran di atas meja. Dia cuba bertenang dan cuba
memujuk diri agar tidak rasa sakit dengan apa yang sedang didengarnya.
“Kan aku dah kata, mak
jangan keluar dari bilik kalau orang semua belum pergi kerja? Kenapa mak degil?
Sekarang, suami aku dah nampak mak. Apa aku nak jawab dengan dia?” tanya Surya
dengan suara nyaring dan kering tanpa rasa berdosa.
Makyung Bedah mula
faham erti kemunculan Surya di hadapannya pagi itu. Kesakitan yang cuba
dielakkan, berdenyut perlahan. Dalam kesakitan itu, dia hanya mampu berdoa di
dalam hati: “Ya ALLAH, KAU ampuni anakku ini. Jangan kau letakkan dosa ke
atasnya ya Tuhan. Kalau benar dia anakku, KAU berikan dia rahmat-MU.”
Makyung Bedah tunduk,
dia mengharapkan doanya benar-benar dimakbulkan ALLAH. Dia sayangkan Surya.
Anak itu lahir dengan kerelaan dan pengorbanannya.
“Kenapa diam? Kenapa
tak nak jawab?” tengking Surya lagi.
Makyung Bedah yang
sedang hanyut dalam doanya, terkejut. Doanya tidak sempat diaminkan. Dia
merenung wajah Surya. Tiba-tiba ALLAH memberinya ilham.
“Kau jawablah, mak ini
peminta sedekah yang menumpang di sini. Kau beritahu mertua dan suami kau
bahawa, kau sangat kasihan dengan orang tua ini lalu kau mengutip dan memberi
tempat perlindungan dari panas dan hujan. Kau beritahulah begitu, agar orang
memandangmu dengan rasa kagum, anakku!” kata Makyung Bedah dengan sebak. Sangat
perit lehernya ketika mengucapkan kata-kata itu. Duri-duri kecewa dan kecil
hati sedang menyucuk-nyucuk nubarinya.
“Senanglah mak cakap!
Aku yang kena jawab dan berdepan dengan mereka. Mak apa tahu?” Tengkingan Surya
semakin meninggi. Langsung tidak ada belas. Tiba-tiba dia rasa perlu mencabut
duri kecewa itu dari hatinya.
“Aku memang tak tahu,
Surya. Yang aku tahu, seorang anak perlu mengasihi ibunya. Yang aku tahu,
seorang anak tidak boleh meninggikan suara kepada ibunya. Aku memang tak tahu
kalau dalam kitab yang kau baca, lain pula hukumnya. Aku memang tak tahu kalau
dalam hukum yang kau belajar, darjat seorang ibu itu berada di bawah tapak kasut
anaknya!”
Surya terdiam rasa
tersindir. Dia mengetap bibir. Lama dia berdiam diri. Makyung Bedah sempat
meneliti wajah Surya yang dirasakan sangat kusam dan tidak bercahaya!
“Surya, mak sayang kau.
Mak tak nak kau terus hidup macam ni. Berdirilah di bumi nyata,” sambung
Makyung Bedah. Kali ini suaranya diperlahankan untuk memikat perhatian
Surya.
“Apa maksud mak ni?”
“Kalau kita orang
miskin, kenapa tak nak mengaku? Kenapa mesti nak berbohong? Sampai bila nak
berlakon dan berbohong? Satu hari kalau orang tahu, nasib kau akan lebih teruk
dan buruk, Surya!”
“Orang takkan tahu
kalau mak tak buat perangai di sini.”
“Jadi, kau nak kurung
mak sampai mati?”
“Kalau itu yang boleh
buat orang tak tahu siapa aku sebenarnya, aku akan buat.”
“Kau tak takut pada
Tuhan? Kau tak takut balasan ALLAH?” Makyung Bedah menduga. Surya bukan
calang-calang anak. Dia khatam Al-Quran dua kali. Dia belajar agama di masjid.
Dia ada ijazah dari sebuah universiti. Akalnya cerdik. Kenapa dia tidak mampu
berfikir akan dosa dan pahala?
“Mak, dosa pahala tu
biar aku yang tanggung. Aku cuma nak mak duduklah diam-diam. Mak cuba jaga nama
baik aku. Aku tak nak hidup susah macam dulu, mak. Tolonglah!”
Bergegar dada seorang
ibu. Makyung Bedah hanya mampu menelan air liur. Dia semakin faham harga
dirinya di hati Surya. Anaknya sangat nekad ingin hidup mewah dan dipandang
mulia. Hatinya sedang dirasuk iblis. Semua ajaran baik yang diberikan oleh
arwah Ismail sejak kecil dilupakan
begitu sahaja. Ia berkecai bersama kemegahan dunia!
Air susu yang diberikan
kepada Surya, sedang dibalas dengan tuba yang sangat pahit!