Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 28

Makyung Bedah tergamam. Dia terpaku dan nampak agak keliru. Dia menenyeh mata, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

“Betulkah apa yang aku lihat ni Semah?”

“Betul Bedah. Itu anak kau Maryam dan Surya. Ya ALLAH! Termakbul juga doa kau nak tengok mereka, Bedah.”

“Kau tak tipu aku ke, Semah?” Makyung Bedah masih sangsi.

“Benar mak. Itu Kak Yam dan Surya.” Imran cuba menyakinkan Makyung Bedah yang keliru dengan mata sendiri.

Makyung Bedah bangun dan segera berjalan ke arah Maryam dan Surya. Langkahnya langkah rindu. Sudah lama dia menunggu saat itu. Sudah lama dia merayu agar mereka pulang menjenguknya. Kali ini dia tidak perlu merayu lagi.

“Apa khabar mak?” Maryam menghulurkan tangan. Makyung Bedah tidak menyambut huluran tangan itu. Sebaliknya dengan cepat dia menarik Maryam ke dalam pelukannya.

“Anak mak dah balik. Rindunya mak pada kau Yam...” Makyung Bedah mencium seluruh muka Maryam dengan penuh rindu.

Maryam membiarkan. Walaupun dari wajahnya tergambar rasa jengkel dengan perbuatan Makyung Bedah itu

Kemudian Makyung Bedah menoleh pula ke arah Surya. Dia menghulurkan tangan. Dia ingin menarik Surya ke dalam pelukannya.

Surya menyambut huluran itu dengan ragu-ragu. Ketika Makyung Bedah ingin memeluknya, dia mengelak diri. Wajahnya masam dan agak kurang senang dengan perbuatan Makyung Bedah itu.

“Su tak rindu mak ke? Mana menantu mak?” tanya Makyung Bedah sambi menjengahkan kepala ke arah kereta. Kosong. Tidak ada sesiapa.

“Mak, mari kita balik ke rumah kita. Kami balik ni sebab ada hal nak bincang dengan mak,” kata Surya terus berjalan ke kereta. Dia langsung tidak menoleh lagi.

Makyung Bedah terpempan sedih. Langkah Surya direnung dengan mata berkaca. Benarkah itu anak yang dikandungnya?

“Mak, tunggu apa lagi? Marilah naik kereta,” sergah Maryam pula. Dia berjalan ke arah kereta yang memang tidak dimatikan enjinnya.

Makyung Bedah termangu-mangu. Kakinya sangat berat untuk ikut melangkah. Dia menoleh kepada Mak Semah dan Imran. Dia mencari kekuatan.

Namun ketika itu, Mak Semah sudah tunduk menyembunyikan wajah. Imran juga. Masing-masing tidak mampu menahan rasa yang sedang bergelora di dada.

“Mak! Cepatlah. Kami tak ada masa nak main-main kat sini!” Suara Surya melaung dari dalam kereta.

Wajah Makyung Bedah berubah rona. Hatinya sangat sebal melihat sikap kurang ajar anak-anaknya. Maryam dan Surya sedang memalukannya di hadapan Mak Semah dan Imran.

Mak Semah dan Imran memerhati dengan dada yang robek!

“Im, tolong hantarkan mak balik,” kata Makyung Bedah, dengan suara bergetar dan sebak.

“Mak?” Imran mengangkat muka, mencari kepastian.

“Mak tak selesa nak naik kereta orang kaya tu. Biarlah mak naik motor buruk Im saja. Nanti kotor pulak kereta mereka,” balas Makyung Bedah. Suaranya mula berubah dan pecah seperti pecahnya hati seorang ibu.

“Tapi, mereka datang nak ambil mak. Mak pergilah balik dengan mereka. Mungkin mereka ada perkara nak bincang. Pergilah mak,” pujuk Imran sambil matanya menatap wajah Makyung Bedah yang mula berubah rona itu.

“Mak akan balik kalau Im hantar. Kalau tidak, mak akan duduk saja di sini. Mereka boleh bincang apa saja di sini.”

“Bedah, jangan buat mereka macam tu,”

“Semah, kau sendiri tengok apa yang mereka buat pada ibu tua ini. Aku tak tahu kenapa mereka balik kalau sekadar nak toreh hati aku ni. Darah dari luka yang sedia ada belum kering. Sekarang mereka tambah lagi.”

Maryam tidak sabar lagi. Dia menekan hon berulang kali. Namun Makyung Bedah pekakkan telinga. Dia langsung tidak berganjak.

“Bedah, pergilah. Kasihan Maryam dan Surya tu!”

“Im, tolong hantarkan mak.” Makyung Bedah menoleh kepada Imran. Kali ini dia memang mengharapkan simpati Imran. Hatinya nekad tidak akan memijakkan kakinya ke dalam kereta mewah itu.

Ketika itu Imran pula menoleh ke arah Mak Semah dan mencari keputusan dari Mak Semah.

“Pergilah Im. Jangan biarkan mereka tu menunggu.”


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.