Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 34

Hati Maryam sangat sakit bila usulnya ditolak mentah-mentah oleh Makyung Bedah. Dia segera menelefon Surya.

“Apa mak cakap, Kak Yam?” tanya Surya, sedikit teruja.

“Mak tak terima cadangan kita. Dia tak nak kahwin dengan Pak Mud!”

“Kalau macam tu, kita paksa dia. Kita pakat dengan Pak Mud.”

“Surya, kau ingat senang nak paksa orang tua. Lagipun, Pak Mud sendiri tak beri kata putus mengenai hal ini. Dia serahkan pada mak.”

“Maknanya, dia pun nak tapi takut dengan mak. Kalau macam tu, kita paksa mak.”

“Kalau kau berani, pergilah telefon dia dan paksa dia. Akak dah malas. Letih nak layan kerenah orang tua tu.”

Surya terdiam. Dia sebenarnya lagi malas untuk menghubungi Makyung Bedah. Dia bimbang kalau disoal dengan macam-macam pertanyaan. Paling malas kalau ditanya mengenai perkahwinannya.

“Kalau kau nak tahu lagi, dia ugut akak.”

“Ugut apa pulak?”

“Dia akan dedahkan semuanya kepada wartawan kalau kita paksa dia kahwin dengan Pak Mud.”

“Ish! Itu lagi haru biru kak,” kata Surya dengan bimbang.

“Aku rasa macam nak balik dan cekik-cekik budak Imran tu. Ini semua kerana dia. Kalau dia tak ada, mesti mak tak tahu nak buat semua ni,” balas Maryam pula.

“Habis, apa kita nak buat sekarang? Aku sangat bimbang kak.”

“Bimbang kenapa?”

“Abang Fazrin akan mencari orang yang bernama Makyung Bedah. Dia nak senangkan hati mamanya. Aku baru tahu bahawa dia dan keluarganya tu sangat sukakan seni. Mak mertua aku tu, rupanya pernah belajar makyung masa mudanya. Aduh kak! Kalau mereka pergi ke kampung macam mana?”

Maryam terdiam. Tidak disangka kalau keluarga elit dan moden itu meminati makyung. Kalau benar terjadi, habislah Surya. Semua orang akan tahu asal usulnya. Mungkin peminat akan membuangnya. Dia akan dikecam dan tidak diminati lagi.

“Kak, tolong aku kak. Kita mesti buat sesuatu. Cepat atau lambat keluarga mertuaku akan mencari mak di kampung,” kata Surya semakin resah.

“Kenapa kau yakin sangat?”

“Sebab dah cara mereka macam tu. Kalau mereka sukakan sesuatu, mereka akan cari sampai dapat. Aku dah terdengar, mak mertua aku suruh Abang Fazrin cari wartawan yang tulis kisah mak di akhbar hari tu.”

Maryam semakin faham. Memang bala sedang menunggu Surya!

“Kak? Kau faham apa maksud aku sekarang?”

“Aku faham. Tapi kalau kita paksa mak kahwin dengan Pak Mud pun tak akan selesaikan masalah. Mertua kau masih boleh cari mak.”

“Jadi, apa akal kau kak?”

Maryam tidak terus menjawab. Dia masih berfikir. Dia masih mencari jalan.

“Apa kata kita bincang dengan Abang Man. Dia mungkin ada jalan. Akak dah buntu. Otak akak ni dah tak boleh fikir. Mana nak fikir pasal hal ni. Mana nak fikir pasal keluarga akak ni,” kata Maryam.

“Keluarga akak kenapa?”

“Akak ada masalah sikit dengan Abang Shamsul. Biasalah, masalah rumah tangga. Tak apa, akak akan selesaikan sendiri. Kau tu, selesaikan masalah ni dengan Abang Man,” kata Maryam sebelum menutup perbualan.

Akhirnya dengan berat hati, Surya memaksa diri untuk menelefon Azman. Semua yang berlaku diceritakan. Dari awal hingga ke akhirnya.

“Kalau macam tu, kita kena bawa mak tinggal dengan kita,” kata Azman, membuat keputusan veto sebagai anak lelaki tunggal.

“Hah? Itu bukan selesaikan masalah, bang. Itu menambahkan masalah yang ada.” Hampir tercekik pernafasan Surya ketika mendengar usul Azman itu.

“Menambah apanya?”

“Yalah, siapa nak jaga mak nanti? Kat rumah siapa dia kena tinggal? Kat rumah Su, dah tentu tak boleh. Abang, carilah jalan yang meringankan beban kita bukannya menambah beban yang sedia ada,” kata Surya.

Azman diam seketika. Mungkin dia ligat berfikir. Kata-kata Surya itu ada benarnya. Di rumah siapa hendak diletakkan Makyung Bedah.

“Apa kata kita letak kat rumah orang tua-tua?” usul Surya.

“Hah? Itu maknanya kau nak gali lubang kubur!” jerkah Azman dengan kuat.

Surya terdiam. Baru dia terfikir. Kalau Makyung Bedah diletakkan di rumah orang-orang tua, akan semakin senang wartawan membuat terjahan. Akan keluar bermacam cerita.

“Tak apalah. Biar abang bawa dia tinggal dengan abang dulu. Lepas tu kita fikir apa yang boleh kita buat untuk langkah seterusnya,” kata Azman memutuskan bicara.

Hati Surya lega mendengarnya. Satu masalahnya akan selesai. Dia tidak perlu bimbang apa-apa lagi. Bila Makyung Bedah sudah tidak ada di kampung, tentu semua rahsia tidak akan pecah. Tembelangnya akan tertutup.

“Bila abang nak pergi ambil?”

“Tengoklah dulu. Nak kena bincang dengan isteri abang dulu.”

“Kalau dia tak setuju?”

“Abang akan bawa juga tapi mungkin akan letakkan di tempat lain.”

“Tempat lain?”

“Kau tak perlu tahu. Kau tanggung beres saja. Abang tahu nak uruskan mak tu,” kata Azman menutup kebimbangan Surya.

Surya tidak bertanya lagi. Dia yakin dengan keupayaan abangnya. Lagipun, emaknya memang sangat sayangkan Azman. Mesti dia tidak akan menolak kalau diajak tinggal di Kuala Lumpur.


Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.