Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 37

Sepanjang jalan, Makyung Bedah hanya diam sahaja. Matanya dipejamkan. Semua yang ada di sepanjang jalan langsung tidak menarik minatnya. Azman pun langsung tidak berminat untuk berbual-bual mesra. Sepatah ditanya, sepatah juga yang dijawab. Akhirnya Makyung Bedah rasa lebih baik dia tidak berdiam diri.

Akhirnya dia terlelap dan hilang dari dunianya untuk seketika.

Ketika Makyung Bedah terjaga, kereta sudah berhenti di hadapan sebuah rumah yang besarnya macam gedung.

“Mak, kita dah sampai,” kata Azman.

“Rumah kau ni Man?”

“Yalah. Takkan nak pergi rumah orang lain pula?” Azman mengangkat suara, tinggi dan kering tanpa kasih.

Pintu terbuka. Seorang wanita keluar mengangkat beg Makyung Bedah.

“Bibik, ini mak saya. Tunjukkan dia bilik yang saya dah suruh bibik kemas kelmarin.” Azman memerintah.

“Baik, tuan.”

Makyung Bedah dibawa ke sebuah bilik. Bilik itu kecil sahaja tetapi ia dilengkapi oleh perabut yang cantik.

“Ini bilik ibu. Kalau ada apa-apa, panggil saya. Bilik saya di hujung sana,” kata wanita yang menghantar Makyung Bedah itu.

“Terima kasih, adik. Siapa nama awak?”

“Nama saya Ningsih.”

Makyung Bedah angguk. Dia rasa Ningsih sebaya dengan Maryam. Masih muda tetapi sudah merantau jauh meninggalkan tanah air. Semuanya demi mencari rezeki.

“Saya nak mandi dan solat. Kiblatnya arah mana?”

“Oh! Ke sana bu!” Ningsih menunjukkan arah. Kemudian dia keluar dari bilik itu.

Selepas mandi dan berwuduk, Makyung Bedah mula menyerahkan dirinya kepada Yang Maha Esa dengan penuh kusyuk.

**

Keesokan pagi, Ningsih mengetuk pintu biliknya ketika dia selesai mengaji. Kata Ningsih, “Tuan besar ingin ketemu.”

Makyung Bedah mengucap syukur. Anaknya sudah jadi tuan besar. Dia menyaksikan dengan matanya sendiri, kehidupan Azman yang mewah. Dia tinggal di rumah yang besar dan mewah. Ada pembantu rumah menguruskannya.

Tetapi, di mana menantu dan cucu-cucunya?

Makyung Bedah segera keluar. Mungkin mereka sudah menunggunya di meja makan. Malam tadi, ketika sampai dia tidak disambut oleh menantunya. Mungkin pagi ini, tangannya akan dikucup mesra oleh mereka.

“Mak, mari sarapan,” ajak Azman. Hanya Azman seorang di meja itu. Tidak ada anak dan isterinya.

“Mak tinggal di sini diam-diam. Saya memang tak cukup masa nak layan mak lebih-lebih. Mak nak apa-apa mak minta pada bibik. Saya dah cakap dengan bibik suruh layan mak dengan baik,” kata Azman sambil mengunyah.

“Ini rumah siapa Man. Mana Humaira?” tanya Makyung Bedah.

“Mak, jangan tanya banyak-banyak boleh tak?” jerkah Azman.

“Mana ada banyak. Mak cuma tanya, mana Humaira dan cucu-cucu mak?” Makyung Bedah cuba pertahankan diri.

Azman tidak menjawab. Dia mencapai cawan minuman dan meneguk dengan rakus. Dia melepaskan marahnya. Tidak lama meja makan itu ditinggalkan.

Makyung Bedah termangu-mangu. Atas meja itu ada bermacam sarapan. Ada roti bakar dengan keju. Ada mi goreng. Ada juga benda-benda yang memang dia tidak pernah jumpa masa di kampung.

“Ibu, nak makan apa?” tanya Ningsih dengan hormat.

Selera Makyung Bedah tidak terbuka. Ia tertutup rapat. Semua yang ada di hadapannya tidak sama dengan nasi goreng kampung yang dimasak oleh Imran. Walaupun Imran hanya menggoreng bawang dan mencurahkan budu ke dalam resepinya, tetapi ia sangat membuka selera Makyung Bedah.

“Saya nak minum je.” Akhirnya itu yang diputuskan oleh Makyung Bedah.

“Ibu boleh cuba roti bakar dengan butter,” kata Ningsih pula.

Makyung Bedah geleng. Sudah setua itu, dia belum pernah menjamah makanan seperti itu. Inikah makanan Azman setiap pagi? Bukankah dulu Azman suka makan nasi dengan ikan rebus goreng setiap pagi?

Secawan air dihidangkan. Aromanya menyentuh hidung. Makyung Bedah menghidunya.

“Air apa ni, Ningsih?”

“Coklat panas, bu.”

“Ish! Saya tak pandai nak minum benda ni. Boleh bancuhkan saya kopi O saja. Atau teh O. Itu yang saya biasa minum di kampung.”

Ningsih ketawa. Dia segera menutup mulut agar tidak dikatakan kurang ajar.

“Kenapa kau ketawa? Saya ada cakap salah ke?” Makyung Bedah rasa hairan melihat gelagat pembantu rumah Azman itu.

“Maafkan saya bu. Saya bukan ketawakan ibu. Saya ketawa sebab selera kita sama. Saya pun tak pandai nak minum ini. Saya lebih suka kopi O atau teh O. Tapi orang di rumah ini tak minum itu.”

“Jadi tak ada kopi di sini?”

“Ada. Saya membeli dan menyimpan untuk diri saya sendiri. Sekarang, kita boleh kongsi minum bersama. Ibu tunggu sekejap ya. Biar saya bancuh kopi untuk ibu.” Ningsih berlalu ke dapur. Makyung Bedah tersenyum. Dia rasa lega dan senang hati kerana tekak Ningsih sama dengan tekaknya. Tekak orang kampung.

Ningsih keluar dengan seteko kopi O. Asap masih berkepul bersama aroma yang sangat disukai oleh hidung Makyung Bedah.

“Nah ibu. Kopi O kegemaran ibu dan saya.”

“Kesukaan tekak orang kampung,” balas Makyung Bedah dengan ketawa kecil.

Makyung Bedah menghirup kopi panas itu. Dia pejamkan mata. Sedapnya kopi bancuhan tangan Ningsih. Sesedap bancuhan Imran.

“Im, bawakan mak biskut!” kata Makyung Bedah tanpa membuka mata. Dia terasa angin lembut dari sawah sedang menerjah wajahnya. Alangkah nyamannya.

“Ibu, panggil siapa?” tanya Ningsih dengan hairan.

Makyung Bedah membuka mata. Dia tersedar dari lamunan. Akhirnya dia menjawab pertanyaan Ningsih dengan senyuman. Baru sehari meninggalkan kampung, dia sudah merindui Imran.

Selesai bersarapan, Makyung Bedah berjalan-jalan di sekitar halaman.

“Siapa yang tanam pokok-pokok ini Ningsih?”

“Abang Pandy, tukang kebun rumah ini.”

Wah! Kayanya Azman. Siap ada pemandu, tukang kebun dan pembantu rumah. Semuanya cukup di rumah Azman tetapi di mana Humaira?”

“Ningsih, mana isteri Azman?” tanya Makyung Bedah. Dia sudah bertanya kepada Azman tetapi tidak dijawab malah dimarah. Sekarang, biar dia tanya dengan pembantu rumahnya.

“Maksud ibu, Nyonya Nafisa? Dia ke luar negara. Dah seminggu. Dua tiga hari lagi dia akan balik,” jawab Ningsih.

“Nafisa? Siapa Nafisa?”

“Isterinya tuan.”

Makyung Bedah semakin bingung. Ke mana Humaira? Dari mana pula datangnya Nafisa? Namun, dia tidak mahu bertanya lagi. Dia menyimpan soalannya dalam hati. Banyak rupanya rahsia yang Azman sembunyikan dari dia.


Previous: bab 36
Next: BAB 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.