Pagi itu, Datin Seri
Nik Hayati turun lebih awal dari biasa ke ruang makan. Sementara menunggu ahli
keluarga yang lain turun, dia menatap gambar-gambar lama dari sebuah album.
Gambar ketika dia bergiat aktif dalam makyung. Dia tersenyum-senyum
sendiri.
“Selamat pagi, mama.”
Fazrin dan Surya memberi ucapan serentak. Tanpa menunggu jawapan Datin Seri Nik
Hayati, mereka berdua menarik kerusi dan duduk.
“Mama tengok apa tu?”
“Ni ha, gambar-gambar
lama masa mama belajar makyung dulu,” jawab Datin Seri Nik Hayati sambil
menghulurkan beberapa keping gambar yang ada di tangannya.
Fazrin ikut membelek
gambar-gambar itu. Hatinya tertarik dengan kostum dan penampilan mamanya ketika
itu.
“Cantiknya mama masa
muda,” kata Fazrin, jujur.
Datin Seri Nik Hayati
tersenyum mendengar pujian itu.
“Faz, dah dapat ke
orang yang mama suruh cari tu?”
“Siapa mama? Makyung
Bedah? Belum ada berita apa-apa lagi, mama. Kami sedang berusaha mencarinya,”
balas Fazrin.
Surya tersedak. Air
yang sedang diminum tertumpah ke ribanya. Habis basah seluar yang dipakainya.
“Sayang, minumlah
perlahan-lahan. Nak kejar apa ni?” Fazrin menepuk belakang Surya.
“Maafkan Su mama,
abang.” Surya segera bangun dan meninggalkan meja. Alasannya ialah untuk
menukar pakaiannya yang basah tetapi dia sebenarnya ingin melarikan resah yang
sedang membadai diri. Sungguh berkecamuk jiwanya. Sungguh gugup hatinya
berdepan dengan keadaan itu.
Surya menghentikan
langkahnya. Dia berdiri di belakang pintu tidak jauh dari ruang tamu itu. Dia
ingin mendengar butir bicara dua beranak itu.
“Saya dah cuba suruh
orang cari, mama. Tapi ada masalah sikit.”
“Masalah apa?”
“Makyung Bedah tidak
ada di kampung. Dia sudah dibawa pergi oleh anak-anaknya.”
“Ke mana? Ke luar
negeri?”
“Ke KL ni.”
“Kalau setakat ke KL,
kan boleh dicari.”
Surya terdengar sebuah
keluhan terkeluar dari bibir Fazrin. Agak berat dan mendesah.
“Masalahnya mama, semua
orang tak tahu di mana rumah anak-anaknya.”
“Mustahil. Takkan orang
kampung tak tahu? Atau mereka sengaja tak nak beritahu kita.”
“Itulah. Rasa macam ada
yang tak kena di sini. Menurut kata kawan yang pergi ke kampung itu, orang
kampung bersikap pelik. Mereka seolah-olah ingin mengelak dari berbual mengenai
wanita itu. Semua orang kata tak tahu,” jawab Fazrin .
Surya menarik nafas
lega. Dia rasa selamat dan terlindung. Namun, perasaan itu tiba-tiba berubah
menjadi gunung berapi yang meletup dan bersepai.
“Ada cerita yang kami
dengar bahawa salah seorang anak Makyung Bedah adalah seorang penyanyi
terkenal. Tapi kami tak diberitahu siapa.”
“Ya ke? Kalau macam tu,
cuba selidik siapa penyanyi itu. Mungkin lebih senang. Tanya wartawan Majalah
Hiburan. Dia mesti tahu. Atau stesen TV.”
Suara Datin Seri Nik
Hayati kedengaran sangat bersungguh-sungguh. Hati Surya pula semakin tertekan
dan jantung bagai nak gugur.
“Baiklah ma. Saya akan
usahakan sampai dapat.”
Sampai di situ, Surya
hampir tidak boleh berdiri. Lututnya mengigil. Dia berjalan masuk ke bilik dan
mengunci pintu dari dalam.
Dengan cepat dia mencapai
telefon bimbitnya dan menghubungi Maryam. Hanya kepada Maryam, semuanya boleh
diluahkan. Azman sudah hilang entah di mana. Nombor telefon sudah ditukar dan
dia jarang ada di pejabatnya.
“Kak Yam, habislah
aku!”
“Kenapa?”
Tanpa bertangguh, Surya
menceritakan semuanya. Suaranya bergetar bimbang dan cemas. Memang dia sangat panik
dan gugup berdepan dengan keadaan itu.
“Apa yang susahnya.
Biarlah mereka cari. Dah tentu mereka takkan jumpa mak di kampung. Kan?”
“Kalau mereka tahu aku
anaknya? Mereka akan mencari mak di sini. Dan kalau mereka jumpa, macam mana?
Aduh kak. Buntu aku kak...” keluh Surya.
Tidak ada suara Maryam
yang menyambung kata. Lama suasana sepi.
“Apa aku nak buat
dengan orang tua ni, kak? Tolonglah...” rayu Surya.
“Entahlah. Akak pun
buntu. Kau buatlah apa yang kau rasa patut. Akak tak cukup masa nak fikirkan
pasal mak. Abang Shamsul pula tengah buat perangai. Dia sengaja cari pasal nak
merajuk dengan akak. Rumah tangga akak tengah kelam kabut ni. Kau jangan tambah
lagi satu masalah pada akak, Surya,” kata Maryam. Tanpa ucapan selamat tinggal,
talian diputuskan.
Surya rasa ingin
menjerit sekuatnya. Semua masalah kini terbeban kepadanya. Azman dan Maryam mula bersikap lepas tangan.
“Su! Su!” panggil
Fazrin di muka pintu.
Surya segera ke bilik
air. Seluar yang dipakai segera ditukar. Kemudian dia segera membuka pintu.
“Maaflah. Su kat bilik
air, tak dengar abang panggil.”
“Abang pergi dulu. Hari
ni abang tak ke pejabat. Abang nak ikut mama ke rumah kebajikan orang tua-tua.
Mama nak menyumbang derma. Su nak ikut?”
“Taklah. Tengah hari ni
Su kena ada di studio. Proses latihan terakhir sebelum rakaman dimulakan. Abang
pergi dengan mama ya. Lain kali Su ikut,” kata Surya memeluk pinggang Fazrin. Dia
berpura-pura manja. Dia berpura-pura tidak ada apa yang sedang berlaku.
Fazrin angguk. Dia mengucup
dahi Surya dan keluar dari bilik itu. Tidak lama kedengaran enjin kereta Fazrin
menderum pergi. Surya menarik nafas lega.
‘Apa aku nak buat
dengan orang tua tu?’ Hati Surya mula berbisik. Akalnya mula mencari-cari
jalan. Namun, semuanya buntu. Tidak ada jalan keluar.
Dia keluar dari bilik
selepas yakin suami dan ibu mertuanya sudah pergi.
“Bik Sumi!” laungnya ke
arah dapur. Dia tahu, wanita itu pasti sedang sibuk menguruskan dapur.
Wanita Indonesia yang
dipanggil Bik Sumi tergesa-gesa datang. Tangannya yang basah kerana sedang
mencuci pinggan mangkuk segera dilapkan.
“Mana Leha?”
“Leha ada di bilik mak
cik. Dia menghantar sarapan,” kata Bik Sumi.
“Dengar sini baik-baik.
Mulai hari ini, saya nak awak dan Leha lebih berhati-hati jaga mak cik tu.
Jangan sampai Datuk, Datin dan suami saya tahu rahsia ini,” kata Surya memberi
amaran.
Bik Sumi
terkebil-kebil. Wajahnya kelat dan kurang senang.
“Boleh saya tanya
sikit, puan?” Bik Sumi memberanikan diri.
Surya kurang senang
dengan permintaan itu. Namun, dia angguk juga.
“Kenapa mak cik tu
disembunyikan di situ? Apa salah dia hingga puan buat dia begitu?” tanya Bik Sumi,
perlahan dan teragak-agak.
Sejak awal dia kurang
berpuas hati dengan layanan Surya kepada Makyung Bedah, ibunya. Seorang ibu
tidak seharusnya menerima layanan begitu dari anaknya.
“Heh! Itu urusan aku. Ingat
bibik! Kalau rahsia ini pecah, aku cari kau! Aku boleh buat kau dihantar balik
ke kampung kau! Nasib kau di tangan aku!” jerit Surya, marah. Suaranya angkuh
dan sombong. Dia mendabik dada.
Bik Sumi angguk
perlahan. Wajahnya murung dan kurang senang. Sejak dia bekerja di rumah itu,
dia jarang dimarah oleh majikannya. Hanya selepas Surya datang, keadaan mula
berubah. Ada saja kerjanya yang ditegur. Surya kuat memerintah. Dia berlagak
seperti dialah tuan rumah sedangkan Datin Seri Nik Hayati tidak begitu.
Kadang-kadang dia
terfikir untuk memberitahu Datin mengenai apa yang berlaku di belakang rumah
itu. Namun, wanita itu sentiasa sibuk. Dia tak mahu mengganggu masa Datin Seri
Nik Hayati. Dia juga tidak mahu berlaku
pergaduhan dalam rumah itu.
Lalu semuanya ditelan
dengan hati yang tidak rela!