Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 21

Imran membeli beberapa barang keperluan. Kemudian mencapai akhbar Berita Harian seperti yang dipesan oleh Makyung Bedah.

“Mak kau macam mana Im?” tanya Pak Mud selepas Imran membayar semua harga barang.

“Alhamdulillah, Pak Mud. Mak semakin sihat. Dia bertambah ceria dan bersemangat sekarang. Sejak Mak Bedah sering ke rumah kami.”

“Baguslah. Memang mereka tu sahabat sejati. Sudah lama berkongsi susah dan senang bersama. Mereka saling membantu.”

“Kesakitan mak saya tak seberapa berbanding kesakitan Mak Bedah tu, Pak Mud.”

“Apa maksud kamu, Im?” tanya Pak Mud, sambil merenung wajah Imran.

“Mak Bedah tu sedang sakit jiwanya,” balas Imran.

“Hah? Dia gila ke?” tanya Pak Mud dengan panik.

“Bukan gila, tapi dia sengsara dan menderita dengan perbuatan anak-anak dia tu.”

Pak Mud menarik nafas lega. Dia rasa senang hati kerana dugaannya meleset.

“Ya. Yang tu Pak Mud tahu. Kesian dengan Bedah tu. Kalaulah Abang Mail ada, takkan begini jadinya nasib dia.” Wajah Pak Mud berubah suram. Belas simpati mengalir lembut di sudut hatinya. Dia tidak menyangka kalau anak-anak Makyung Bedah yang berjaya dalam hidup sanggup melukakan hati ibunya.

Dari perkahwinan Azman lagi, seluruh warga desa itu tidak berpuas hati dan menaruh belas kepada Makyung Bedah. Selepas itu Maryam pula berkahwin. Keadaan yang sama berlaku.

Kini, Surya pula mendera perasaan ibunya. Kali ini dengan lebih parah lagi kerana Makyung Bedah langsung tidak diberitahu.

“Kau jagalah Mak Bedah kau tu, Im. Dah memang tak ada orang lain lagi yang dia nak tumpang selain kau dan mak kau. Saudara maranya yang lain tinggal jauh-jauh belaka. Setahun sekali pun tak ada yang datang menjenguk. Kami ni tak rapat sangat dengan dia. Hanya melihat kesedihannya dari jauh.”

“Insya-ALLAH Pak Mud. Saya tak akan biarkan dia sengsara dan lara dengan perasaannya itu lagi. Anak-anak dia pasti satu hari akan menyesal. ALLAH pasti akan membalas perbuatan derhaka mereka itu,” jawab Imran.

Pak Mud angguk setuju. Memang janji ALLAH itu jelas. Anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan senang hidupnya. Hanya masa yang akan menentukan nasib anak-anak Makyung Bedah.

Imran melangkah keluar dari kedai itu dan terus menunggang motornya menuju ke rumahnya.

“Dah balik hero kau Semah. Tengok, berpeluh-peluh dia,” laung Mak Bedah dari tangga.

Mak Semah yang berada di ruang tamu, tersenyum senang melihat gelagat Makyung Bedah.

“Ini surat khabar yang mak nak tu.” Imran menghulur akhbar di tangannya.

“Bedah? Sejak bila kau pandai baca surat khabar ni?”tanya Mak Semah dengan hairan.

“Siapa kata aku nak baca?” balas Makyung Bedah dengan ketawa.

“Habis tu?”

“Aku nak tengok gambar saja. Lagipun, Im ada untuk tolong baca. Kan Im?” Makyung Bedah menoleh kepada Imran yang masih tercegat berdiri.

Imran segera faham akan maksud yang ada di sebalik kerdipan mata Makyung Bedah. Kerinduan seorang ibu muncul dalam berbagai keadaan.

“Selepas solat zuhur dan makan kenyang-kenyang, Im baca untuk mak ya!” balas Imran dengan senyum senang.

Imran berlalu ke bilik mandi. Dia bukan sahaja hendak mandi dan berwuduk tetapi dia juga hendak mematikan rasa belas yang baharu hendak muncul.

Makyung Bedah membelek helaian akhbar dengan perlahan.

“Kau nak cari berita mengenai Surya ke Bedah?” tanya Mak Semah.

Diam. Mata Makyung Bedah masih tertumpu kepada helaian akhbar itu. Dia seolah-olah mencari sesuatu.

“Aku faham perasaan kau Bedah. Sabarlah. Serahkan semuanya kepada ALLAH. Mungkin satu hari mereka akan insaf dan kembali jua kepada kau.”

Makyung Bedah hanya tersenyum-senyum.

“Kalaulah Surya belum kahwin, ingin aku kahwinkan dengan Imran agar silaturrahim kita berpanjangan.”

“Ish! Ke situ pulak kau fikir. Sekarang pun silaturrahim kita tak putus. Kita dah jadi macam keluarga. Apa lagi yang kau nak,” kata Mak Semah.

“Entahlah Semah. Aku nak sangat Imran tu jadi muhrim aku. Sekurang-kurangnya masa aku sakit, dia boleh menjaga aku tanpa halangan hukum.”

Mak Semah termenung.

“Sudahlah. Surya dah kahwin. Dia dah ada hidupnya sendiri. Mari kita doakan agar dia bahagia.”

Selesai makan tengah hari, Imran membelek-belek akhbar yang dibeli. Dia mencari-cari kalau ada berita dan cerita mengenai Surya, penyanyi rock yang sedang mencipta nama. Cerita terbaru, dia sedang merakamkan album kedua. Tapi Imran sendiri tidak tahu apakah album pertamanya mendapat sambutan atau tidak. Di corong radio pun jarang dia mendengar lagu-lagu nyanyian Surya.

Tidak ada nama Surya tercatit dalam akhbar. Imran terus membelek dan melihat berita-berita lain.

Makyung Bedah dan Mak Semah duduk bersantai.

“Malam ni kau tidur di sini saja, Bedah,” kata Mak Semah.

“Ish, tak boleh. Sejak Abang Mail tak ada, aku jarang tinggalkan rumah.”

“Kami bimbangkan mak,” celah Imran pula.

“Tak perlu bimbang apa-apa. Serahkan semuanya kepada ALLAH. Kita minta perlindungan DIA.”

“Kalau mak sakit malam-malam, mak nak panggil siapa?” tanya Imran. Matanya beralih memandang Makyung Bedah.

“Mak panggil anak maklah.”

“Mereka semua jauh.”

“Mak panggil anak yang paling dekat.”

“Siapa?”

“Siapa lagi, Im kan ada,” jawab Makyung Bedah dengan kerdipan mata kasih kepada Imran.

Imran membalas dengan senyuman.

“Macam mana mak nak panggil kalau dah malam. Rumah kita bukannya dekat, mak.”

“Mak ketuk benda ni!” Makyung Bedah menunjukkan telefon bimbitnya.

Sekali lagi Imran tersenyum Dia terlupa bahawa Makyung Bedah ada telefon bimbit. Ia model Samsung. Katanya itu pemberian Maryam semasa dia mula mengajar.

“Mak, pihak Jabatan Kebudayaan sedang mencari tokoh-tokoh seni untuk dijadikan ikon kepada anak muda zaman ini. Mak tengok ni!” kata Imran sambil menunjukkan satu ruangan berita yang ada di dada akhbar.

Tanpa diminta, dia membacakan apa yang tertulis.

“Kenapa Im cakap dengan mak?”

“Sebab Im rasa mak sesuai dan layak. Primadona makyung yang tersohor pada satu masa.”

Makyung tunduk merenung lantai. Benarkah dia memang tersohor? Benarkah ada orang yang mahu menghargai makyung selepas sekian lama ia dilupakan?

“Mak tak layak nak dihargai begitu, Im.”

“Mak, izinkan Im hantar nama mak. Lepas tu baru kita tahu mak layak atau tidak,” balas Imran. Matanya melorot ke arah Makyung Bedah, mencari jawapan.

“Mak malu, Im.”

“Mak nak malu apa? Bukannya mak buat salah. Mak memang penari makyung yang hebat. Semua orang kampung dan orang di Kelantan ini tahu hal itu.”

“Tapi kata Surya, seni makyung ni orang tak pandang lagi pada zaman ini. Orang lebih sukakan muzik rock yang membingitkan telinga tu,” balas Makyung Bedah mengulang kenyataan Surya tidak lama dulu.

“Itu kata Surya. Kata orang yang mata dan hatinya dikelabui muzik penjajah. Dia lupa budaya sendiri kerana mengagungkan seni dan budaya kita. Malah sekarang dia lupa adab dan hukum kerana fikirannya mula dijajah nafsu!” kata Imran dengan suara sedikit tegang dan kasar. Entah kenapa, bila mendengar nama Surya hatinya menjadi marah.

Makyung Bedah senang hati kerana Imran memahami dan menghargai kebolehannya.

“Boleh ya mak?” Sekali lagi Imran bertanya.

Dengan senang hati, Makyung Bedah angguk.

“Terima kasih mak.” Imran tersenyum. Makyung Bedah dan Mak Semah ikut tersenyum. Puas hati mereka melihat Imran tersenyum.


Previous: Bab 20
Next: bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.