Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 48

Sudah sebulan Makyung Bedah tidak dapat dihubungi. Sudah puas Imran mencuba, namun talian tetap tidak bersambung. Dia tahu talian itu tidak akan bersambung lagi.

“Telefonnya dah dimatikan mak,” kata Imran.

“Atau dia terlupa mengecas bateri dan telefon itu mati.” Mak Semah cuba berprasangka baik.

“Mungkin juga. Tapi, Im tak rasa begitu,” kata Imran dengan wajah cuak. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati. Setiap kali terkenangkan Makyung Bedah dan terbayangkan wajah zalim Surya dia rasa bimbang dan sangat takut.

“Habis, apa yang Im rasa?”

Imran termenung. Dia tidak berani menuduh tetapi kata hatinya memang mengesyaki ada perkara buruk telah berlaku. Mungkinkah Surya sudah dirasuk iblis?

“Entahlah mak. Kita tunggu saja dia telefon kita.”

“Kalau dia tak telefon?” tanya Mek Semah, ragu-ragu.

“Kita cari nombor telefon Surya dan telefon dia.” Imran menjawab dengan nada berat. Dia sendiri seperti tidak yakin dengan jawapannya itu.

Mak Semah meletakkan harapan di dalam hati. Semoga dia dapat segera mendengar suara Makyung Bedah. Semoga mereka dapat berkumpul kembali.

Keresahan di hati Mak Semah tidak sehebat yang dirasai oleh Makyung Bedah. Di bilik kecil itu, dia sudah kekeringan air mata. Surya memang sudah meninggalkan bilik itu bersama telefon bimbit miliknya.

Dia rasa sangat sedih dan kecewa. Dunianya gelap gelita. Dunianya hanya di bilik sempit itu. Tidak ada lagi suara Imran dan Mak Semah yang didengarnya. Tidak ada lagi cerita-cerita dari kampung yang sampai kepadanya.

‘Ya ALLAH, kenapalah KAU berikan dugaan begini berat kepadaku,’ bisik hatinya setiap kali dia rasa sedih dengan keadaan dirinya.

Seminggu telah menjadi sebulan. Telefon bimbitnya tetap tidak dipulangkan. Makyung Bedah hilang upaya untuk merayu. Dia tahu Surya memang sengaja ingin dia sengsara. Dengan kata lain, Surya juga gembira kalau dia cepat mati!

“Makanlah mak cik. Kalau mak cik tak makan, saya yang kena marah nanti,” kata Leha, pembantu rumah di rumah banglo itu. Dia susah hati apabila melihat Makyung Bedah tidak menyentuh makanan yang dibawa kepadanya.

“Aku tak selera nak telan makanan ni.”

“Makanlah sikit. Atau mak cik minum susu ni. Biar mak cik sihat.” Leha masih tidak jemu memujuk.

Makyung Bedah diam membatu. Dia memang tidak boleh memaksa dirinya untuk makan dan minum. Untuk apalah dia berlapar kalau tekaknya mampu menelan semua makanan yang dihidangkan itu?

Akhirnya, keadaan tubuhnya semakin lemah dan tidak berdaya. Setiap hari hanya terbaring di katil. Semakin dia lemah, semakin kuat pula ingatannya kepada Mak Semah dan Imran.

“Semah, kalau aku mati dulu aku harap kau maafkan segala salah silapku padamu.”

“Kau tak akan mati. Aku yang akan mati dulu sebab aku yang sentiasa sakit. kau sihat saja.”

“Mati itu tak tentu keadaannya, Semah. Kadang-kadang orang sedang tidur pun boleh mati. Kau ingat Abang Mail? Dia tak pernah sakit. Tapi tiba-tiba dalam tidur dia tinggalkan aku dan anak-anak.”

Semua kenangan dan ingatan bersama Mak Semah di kampung sangat menyentuh hati Makyung Bedah. Ah! Semah. Adakah peluang kita bertemu lagi?

Hal dan keadaan Makyung Bedah yang tidak menyentuh makan dan tidak menghirup minuman itu telah disampaikan kepada Surya.

Pagi itu selepas Fazrin ke pejabat, Surya ringankan kaki untuk menjengah Makyung Bedah di bilik belakang rumah itu. Memang benar. Makyung Bedah tidak menyentuh makanan yang dihantar kepadanya. Nasi dan air masih tidak luak. Roti, buah-buahan dan makanan lain juga memang tidak disentuh langsung.

“Mak ni dah kenapa? Dah diberi makan tetapi tak makan? Mengada-ngada ni kenapa?” marah Surya dengan mata yang melorot tajam ke arah Makyung Bedah.

“Mak nak balik kampung Surya. Mak nak duduk rumah mak. Tolong hantarkan mak balik. Mak janji akan ikut apa saja syarat kau!” rayu Makyung Bedah dengan linangan air mata.

“Syarat saya, mak kena tinggal di sini sampai mati!” tengking Surya.

Makyung Bedah bangun dari pembaringan. Tubuhnya yang lemah cuba dikuatkan. Dia perlu berdepan dengan Surya demi masa depannya.

“Surya, sekali lagi mak rayu pada kau. Tolonglah hantarkan mak balik kampung. Kalau kau tak nak hantar sampai kampung pun, kau hantarlah sampai stesen bas. Biar mak cari jalan balik sendiri,” rayu Makyung Bedah dengan suara menahan tangis.

“Tidak! Mak tak boleh ke mana-mana!” tegas Surya pula.

“Apa yang kau nak sebenarnya dari ibu tua yang tak berharta ini, Surya?”

“Aku tak nak apa-apa! Aku hanya nak mak duduk diam-diam. Jangan sampai ada yang tahu mak di sini. Jangan sampai ada orang tahu, mak tu mak aku!”

“Kalau macam tu, biar aku tinggal di kampung saja. Kalau kau tak nak orang tahu aku ni mak kau, aku tak akan mengaku kau tu anak aku!” balas Makyung Bedah dengan suara meninggi juga. Dia juga ikut sudah mula ‘berkau aku’ mengikut rentak Surya. Dia rasa kesabarannya mula hilang.

“Sudah mak! Aku tak nak bergaduh dengan mak. Mak makan ni. Jangan sampai mak sakit kerana tak makan. Kalau mak sakit, aku juga yang susah.”

Surya melangkah keluar tanpa menoleh lagi.

Makyung Bedah menelan air liur. Kali ini lebih pahit dari sebelumnya. Dia merenung hidangan di hadapannya. Gelas air putih dicapai dan dia meneguk perlahan. Terasa tekaknya mula nyaman. Benar kata Surya, dia kena makan agar dia tidak sakit. Dia tidak mahu jatuh sakit. Kalau dia sakit, siapa yang akan menjaganya? Kalau dia di kampung, Imran ada. Mak Semah ada. Orang kampung pun tidak akan membiarkan dia terlantar sendirian.

Serta merta dia memaksa selera. Sangat payah namun dicuba juga. Sedang dia terkial-kial menelan nasi yang ada di mulutnya, pintu biliknya ditolak perlahan. Wajah Leha, tersembul dengan senyuman senang.

“Kalau mak cik rasa nak makan apa-apa, cakaplah dengan saya. Saya boleh masakkan,” kata wanita itu dengan ramah.

Hati Makyung Bedah rasa tertambat dengan kata-kata itu.

“Esok, bolehkah awak masakkan saya sayur labu dengan daun selasih. Juga boleh tak gorengkan saya ikan kering butir nangka. Dah lama saya tak makan,” kata Makyung Bedah.

“Yang sayur tu saya boleh masak. Tapi yang ikan kering tu, saya tak tahu itu ikan apa?” tanya Leha dengan sengih.

Makyung Bedah tidak menjawab. Baru dia teringat, mungkin ikan itu tidak ada di Kuala Lumpur. Mungkin ikan itu hanya ada di Kelantan sahaja.

Dia terus memaksa diri menghabiskan nasi di pinggan. Sangat payah. Nasi putih akhirnya disulami air kosong sahaja...


Previous: Bab 47
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.