Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 42

Makyung Bedah mengelek beg pakaian yang dibawanya dari kampung keluar dari rumah besar milik Azman itu dengan deraian air mata. Nasib baik ada Ningsih yang baik budi ingin menghantarnya ke rumah Maryam.

Dia tahu kedatangannya ke rumah itu juga tidak disukai. Buktinya, Maryam langsung tidak senyum ketika menyambut dia di pintu pagar.

“Apa masalah mak ni, dah duduk rumah besar dan selesa masih tak puas hati.” Maryam berleter ketika kaki Makyung Bedah menjejak masuk ke rumah itu.

“Tuan yang halau ibu. Saya tak tahu nak hantar ke mana. Jadi saya hantar ke sini.” Ningsih yang menjelaskan hal sebenar kepada Maryam.

Makyung Bedah tetap diam, membisu seribu bahasa. Sukar untuk dijelaskan perasaannya kepada Maryam. Dia hanya mampu pasrah dan menerima takdir itu dengan hati yang terluka.

Maryam membawa Makyung Bedah ke sebuah bilik. Bilik itu sederhana besar. Tidak berperabut. Hanya katil bujang dan sebuah almari pakaian.

“Ini bilik mak. Maaflah, hanya ini yang mampu saya sediakan untuk mak. Mak rehatlah. Saya dan anak-anak saya nak keluar sekejap,” kata Maryam sambil melangkah pergi. Namun beberapa langkah, dia menoleh kepada Ningsih.

“Kalau kamu nak balik, tolong tutup pintu dan pagar saya. Jangan kamu lama-lama di sini nanti bos kamu bising pula,” katanya.

Ningsih angguk perlahan.

“Ibu, saya harap ibu selesa di sini. Kalau ibu ada apa-apa masalah, ibu telefon saya. Ini nombor saya. Dan ini, nombor telefon Nyonya Humaira.” Ningsih menghulurkan sekeping kertas yang bertulis tangan.

Makyung Bedah mengambilnya. Walaupun dia tidak tahu membaca, tetapi dia tetap menyimpan kertas itu dengan baik di dalam beg duitnya. Mana tahu di masa-masa akan datang dia memang perlukannya.

“Ningsih, terima kasih atas kebaikan kamu kepada saya. ALLAH akan membalasnya kerana saya tidak ada apa-apa untuk membayar semua kebaikan dan jasa kamu.”

“Bu, saya buat semua ini bukan minta dibalas. Saya belas melihat keadaan ibu. Sayang saya sendiri bekerja di rumah itu. Kalau tidak...”

“Tak apalah Ningsih. Kamu dah buat yang sepatutnya kepada saya,” potong Makyung Bedah.

Ningsih pergi meninggalkannya sendirian di bilik itu. Suasana kembali sepi dan jiwa Makyung Bedah mula sunyi. Kesedihan yang ditanggung muncul kembali. Semua perbuatan dan kata-kata Azman mula melintas di dalam ingatan.

Air matanya mengalir perlahan. Puas dipujuk hati agar tidak berduka. Namun air mata tidak mampu ditahan.

Maryam langsung tidak menjenguk dan bertanyakan hal dirinya sepanjang hari dan malam itu. Nasib baik Ningsih ada membekalkan dia biskut dan air mineral. Itulah yang mengisi perutnya malam itu.

Sepanjang malam dia menyerahkan diri kepada ALLAH. Dia berzikir dan mengaji.

Keesokan pagi, selesai solat subuh dia menjengah keluar dari bilik. Maryam dan anak-anaknya sedang kelam kabut untuk ke sekolah.

“Yam,” panggil Makyung Bedah cuba menarik perhatian Maryam.

Maryam menoleh seketika. Anak-anaknya sudah berlari keluar kerana bas sekolah sudah sampai.

“Kalau mak nak makan apa-apa, mak masaklah. Saya ni tak ada orang gaji macam rumah abang tu. Saya cuma upah orang datang mencuci dan mengemas seminggu sekali. Mak masak untuk mak saja. Kami semua makan kat luar,” kata Maryam sambil tergopoh gapah menuju ke kereta.

Makyung Bedah angguk perlahan. Dia menghantar mereka pergi dengan mata yang bergenang.

Rumah itu tidak sebesar rumah Azman. Hanya rumah teres dua tingkat. Rumah orang kebanyakan di Kuala Lumpur. Hanya lebih besar dari rumah mereka di kampung. Hiasannya memang cantik dan nampak mahal. Namun, mata Makyung Bedah tidak melihat adanya kebahagiaan dalam rumah itu.

Ia nampak gelap dan tidak ada cahaya. Ia nampak kusam dan tidak bermaya. Makyung Bedah seperti melihat sebuah kehancuran dan kecelaruan dalam rumah itu. Kenapa?

Dia keluar ke halaman rumah. Halamannya tidak besar seperti halaman rumah Azman. Namun ia cukup untuk menanam pokok kunyit dan halia. Atau untuk menanam beberapa pokok bunga sebagai penyeri mata. Tetapi semua itu tidak ada. Halaman itu kosong dan kering berdebu.

‘Maryam memang sejak kecil tidak sukakan pokok. Bukan. Pokok yang tidak sukakan Maryam. Kalau dia menanam, tak pernah hidup. Tangannya panas.’ Itu yang berbisik di hati Makyung Bedah.

Kenangan itu berbalam datang.

“Kak Yam tanam pokok, pokok pun tak nak hidup. Tangan Kak Yam memang panas!” kata Surya mengekek ketawa.

“Esok kalau kau ada rumah, rumah kau tak ada pokok apa-apapun Yam.” Dia pula mencelah dan menyokong cakap Surya.

“Mak, apa nak disusahkan. Esok kalau Yam dah ada rumah sendiri, Yam gaji orang menjaga halaman rumah Yam. Lagipun buat apa nak tanam bunga dan pokok. Nak makan kunyit, beli saja. Buat menyemak saja jika ditanam.” Maryam meningkah.

Memang benar kata Maryam. Sekarang dia langsung tidak menanam apa-apa pokok di halaman rumahnya.

Sedang dia termenung dan memerhati, sebuah kereta berhenti di pintu pagar. Seorang lelaki keluar bersama seorang wanita. Mereka berjalan berpelukan menuju ke pintu. Makyung Bedah cuba mengecam betul-betul.

Shamsul menantunya!


Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.