Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 47

Hari itu entah apa mimpinya, tiba-tiba Surya muncul di bilik Makyung Bedah. Ketika itu Makyung Bedah sedang berbaring selepas menunaikan solat zuhur.

“Mak, esok saya nak keluar negeri selama seminggu. Selama saya tak ada, harap mak tak buat hal pulak. Mak boleh keluar dari sini tetapi kalau mak nampak ada orang, mak cepat-cepat masuk ke bilik ini semula. Faham mak?”

“Sampai bila kau nak kurung mak macam ni, Surya?” Makyung Bedah cuba mencari simpati.

“Sampai bila-bila selagi mak masih hidup,” kata Surya, dengan angkuh.

“Baik kau hantar saja mak balik ke kampung. Di sana mak hidup aman. Tak kisahlah kalau kau tak nak tengok mak lagi pun. Mak reda begitu daripada kau kurung mak di sini.”

“Kalau mak ada di kampung, wartawan akan cari mak di sana. Mereka akan korek semua rahsia peribadi saya. Mak, dunia artis ni tak sama dengan dunia makyung mak tu. Kat sini kita ada banyak musuh yang tunggu peluang nak jatuhkan kita.”

Makyung Bedah semakin faham erti semuanya. Mengapa Azman memaksanya ke Kuala Lumpur. Mengapa pula Maryam bersungguh-sungguh hantar dia ke rumah Surya. Kemudian Surya pula mengurungnya dalam bilik stor itu. Semuanya demi menjaga nama mereka.

Aduhai anak...

“Surya, boleh mak cakap sikit?” Makyung Bedah rasa inilah peluang untuk dia meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Apa dia?” Surya mengadap Makyung Bedah.

“Surya, berhentilah jadi artis.”

“Apa yang mak merepek ni?” sergah Surya dengan cepat.

Makyung Bedah tersentak. Jantungnya bergegar dengan sergahan Surya itu. Dia cuba bertenang dan memujuk hati agar tidak bersedih kali ini.

“Mak tengok, hidup kau hilang arah sejak kau jadi artis. Kau lupa diri. Kau lupa Tuhan!” balas Makyung Bedah.

“Mak ingat hanya mak yang beriman? Mak nak bangga dengan cara hidup mak yang tak tinggal sejadah tu?” Surya bertanya sinis.

Kali ini hati Makyung Bedah sangat tersentuh.

“Astaghfirullahhalazim... bertaubatlah Surya!” jerit Makyung Bedah dengan kuat. Kali ini hatinya sangat tersentuh dan marah. Surya semakin kurang ajar.

“Nak bertaubat dari apa? Saya tak buat dosa apa-apa pun? Mak tu yang nak kena bertaubat. Dah tua, nak mati pun masih nak ingat makyung. Sudahlah mak. Mak ingat pesan saya tadi. Boleh keluar dari bilik ini tetapi hati-hati. Jangan sampai ada yang tengok!” Surya berjalan keluar dari bilik.

Namun ketika dia sampai di muka pinta, telinganya menangkap bunyi deringan telefon dari arah almari pakaian. Dia berpaling dan segera berjalan ke arah almari. Telefon yang ada diambil dan dibelek. Nama Imran tertera jelas di skrin.

Surya membiarkan deringan itu hingga ia berhenti dan berdering beberapa kali.

“Oh! Jadi mak selalu berhubung dengan budak Imran tu? Apa yang mak cerita pada dia? Burukkan saya?” Surya menjengilkan matanya kepada Makyung Bedah.

“Kenapa kau fikir macam tu? Kau rasa kau ada buat salah?” Makyung Bedah pula tidak mahu menyerah kalah.

Surya terdiam.

“Surya, aku tak perlu nak mengadu apa-apa. Orang melihat apa yang kau buat pada aku. ALLAH lebih tahu.”

“Apa yang saya buat?” tanya Surya dengan muka selamba.

Makyung Bedah merenung mata Surya. Dia mencari rasa kasih dan rindu dalam mata itu. Tidak ada. Dan sekarang, Surya tidak tahu dirinya bersalah. Apakah semua perbuatannya selama ini dianggap biasa dan tidak bersalah?

Aduhai anak...

“Saya pergi dulu,” kata Surya selepas lama Makyung Bedah diam termenung. Dia berjalan semula ke arah pintu. Telefon bimbit milik Makyung Bedah tidak dipulangkan.

“Mana kau nak bawa telefon mak tu, Surya?”

Surya berpaling. “Biar saya pegang telefon ini. Biar mak tak dapat nak mengadu kepada sesiapa lagi. Biar tidak ada yang tahu mak di sini,” jawab Surya.

“Surya, tolonglah. Kalau kau nak kurung mak, mak rela. Tapi tolong pulangkan telefon itu. Hanya itu cara mak nak dengar suara Mak Semah kau. Kalau kau ambil telefon itu, putuslah hubungan kami.”

“Memang saya nak mak putuskan hubungan dengan mereka. Kerana mereka mak panjang langkah. Kerana mereka mak pandai melawan!” balas Surya tanpa rasa simpati.

“Surya, janganlah macam tu. Mak hanya ada mereka. Mak sanggup buat apa saja asal kau tak putuskan hubungan mak dengan mereka. Pulangkan telefon mak itu. Tolonglah...” rayu Makyung Bedah bersungguh-sungguh.

Namun rayuannya tidak dilayan oleh Surya. Langkahnya diteruskan tanpa belas. Dia langsung tidak menoleh lagi.

“Surya! Tolonglah pulangkan harta aku!” pekik Makyung Bedah dengan kuat. Dia tidak peduli apa-apa lagi. Air matanya menitik deras.

Namun pekikannya hanya berlalu bersama angin. Surya menyiram cuka di atas luka yang sedia ada. Sakitnya!

“Zalimnya kau Surya...” ratap Makyung Bedah di celah tangisannya. Siapakah yang peduli. Tidak ada yang mendengar semua ratapan dan rintihan itu. Hanya tembok batu yang menjadi saksi untuk semua kesedihan hati seorang ibu.


Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.