Keesokan paginya,
selepas solat subuh Makyung Bedah meneruskan rutin biasa. Dia mengaji. Namun
baru bibirnya dibasahi beberapa ayat, Maryam muncul di muka pintu.
“Mak, saya akan hantar mak
ke rumah Surya sekarang. Mak dah siap?” tanya Maryam dengan kasar.
Makyung Bedah angkat
muka. Dia menamatkan bacaan. Al-Quran di tangannya segera ditutup.
“Yam, jangan hantar mak
ke mana-mana lagi. Hantar saja mak balik ke kampung. Mak tak nak menyusahkan
sesiapa lagi. Rumah pusaka yang arwah ayah bina itu cukup untuk mak hidup
sampai mak mati,” kata Makyung Bedah dengan lemah lembut dan perlahan.
“Tak boleh! Surya tak
nak mak tinggal di kampung.”
“Aku nak balik kampung. Hantarkan aku ke kampung!”
tegas Makyung Bedah. Tiba-tiba suaranya berubah nada.
“Tidak mak. Surya dah
setuju untuk jaga mak.”
“Surya? Dia nak jaga
aku?” Makyung Bedah mengulum senyum sinis.
“Dia baru saja
telefon.”
“Bukan kau yang paksa
dia, Yam?”
Diam. Maryam rasa dia sedang
dijerat.
“Kalau aku di rumah
Azman dan di rumah kau ini dah bawa masalah, buat apa aku nak beri Surya
masalah juga. Lebih baik aku balik ke rumah aku sendiri. Hidup dan mati aku
biarlah di sana,” putus Makyung Bedah.
“Mak! Jangan degil
boleh tak? Ikut saja apa yang kami rancang ni. Semua untuk kebaikan!” Tiba-tiba
Maryam menengking.
“Untuk kebaikan kau
adik beradik, tapi bukan untuk kebaikan aku!” balas Makyung Bedah pula.
“Mak nak ke tak nak,
sekarang saya nak hantar ke sana. Tak boleh nak tunggu lagi. Mari!” ajak
Maryam.
Makyung Bedah masih
tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia diam membatu.
Maryam keluar dari
bilik dan segera ke garaj. Dia menghidupkan enjin kereta. Kemudian dia masuk
semula untuk mengambil beg tangannya. Dia menjengah ke bilik Makyung Bedah.
“Mak! Cepatlah. Saya
tak cukup masa nak main-main macam ni!” jerit Maryam.
Air mata seorang ibu
berlinangan. Kenapa dalam suara Maryam langsung tidak ada kasih sayang dan rasa
hormat. Rasanya dia tidak pernah mengajar anak-anaknya dengan kasar. Tetapi
kenapa anak-anaknya menjadi begitu kasar dengan orang tua?
Dengan perlahan, akhirnya
Makyung Bedah bangun. Beg dikelek dengan kemas sebagai tanda menguatkan
perasaannya yang sedang haru biru dan retak!
Sepanjang jalan dia
diam. Maryam pun diam.
“Kita dah sampai rumah
Surya. Saya tinggalkan mak di depan pagar tu. Mak jangan ke mana-mana pulak, nanti
Surya keluar ambil mak.”
Makyung Bedah tidak
menggeleng, tidak pula mengangguk. Hatinya cuma berbisik, “Buatlah apapun anak,
kerana ibu tua ini sudah menjadi Quran buruk untukmu ...’
Makyung Bedah berdiri
di luar pagar. Seorang pengawal keselamatan mendekatinya.
“Mak cik nak jumpa
siapa?”
“Saya nak jumpa anak
saya, Surya.”
Lelaki itu meneliti
wajah Makyung Bedah dengan rasa kurang senang dan cuak. Dari hujung rambut
hingga ke hujung kaki dia merenung, mencari jawapan.
Makyung Bedah berdiri
dengan tenang. Dia tahu mesti tidak akan ada yang mempercayainya.
“Pak cik! Puan Surya
suruh benarkan mak cik ni masuk.” Tiba-tiba seorang wanita muncul dari
belakang.
“Jadi, benarlah ini maknya
Puan Surya?”
Namun soalan itu tidak
berjawab. Makyung Bedah sudah dipimpin masuk dan pagar segera ditutup.
Makyung Bedah memandang
rumah besar itu dengan pandangan kosong. Sedikitpun dia tidak berbangga. Rumah
gedung itu memang begitu mewah. Tetapi itu bukan rumah Surya. Itu rumah
keluarga suaminya. Surya hanya bernasib baik kerana dipilih menjadi sebahagian
daripada ahli keluarga rumah itu.
Sudah dua rumah dia
menumpang. Sudah dua anak dia rasa ‘belaian’nya. Kini dia sampai ke rumah yang
ketiga. Dia belum tahu nasibnya di rumah itu.
Makyung Bedah dibawa
masuk melalui pintu belakang.
“Mak cik tunggu di sini
ya. Kejap lagi Puan Surya akan turun. Mak cik nak minum apa?”
“Air kosong.” Makyung
Bedah duduk dengan tenang. Dia tidak berselera untuk meminta lebih dari air
kosong. Hanya tekaknya yang perlu dibasahkan.
Segelas air kosong
diletakkan di hadapannya. Dengan bismillah, dia meneguk air itu dengan
perlahan. Sejuk. Dahaganya hilang.
Makyung Bedah cuba
memujuk hati agar bertenang dan tabah. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
Tanpa menunggu lama dia menekan butang dan menjawabnya.
“Mak, jadi tak mak balik
kampung?” Suara Marinah menerjah telinga. Suara itu sarat dengan harapan dan
rasa rindu.
“Inah, maafkan mak...”
Suara Makyung Bedah pula mula sebak.
“Mak tak jadi balik?
Tapi kenapa?”
“Mereka tak nak hantar
mak balik. Mak pula tak tahu nak balik sendiri.”
“Kalau macam tu, mak
berikan alamatnya. Biar Inah datang ambil mak.”
“Mak tak tahu mak ada
di mana, Inah. Nantilah, kalau ada peluang mak minta alamat rumah ini dengan
Surya.”
Akhirnya perbualan usai
dengan rasa hampa. Marinah tidak mampu berbuat apa-apa. Makyung Bedah pula
hanya menahan esak dan sebak.
“Hah, mak dah sampai?” Surya
muncul di hadapannya dengan pakaian yang cantik dan rapi.
Makyung Bedah merenung
wajah Surya. Cantik. Itu yang terbetik di hatinya. Benar juga kata Pak Mud,
Surya adalah bayangan dirinya waktu muda-muda dulu.
Pertanyaan Surya itu
dibalas dengan senyuman yang terpaksa. Dia tenang menunggu Surya mendekat dan
bersalam. Dia menanti Surya memeluknya
dengan penuh rindu. Dia pejamkan mata, menanti penuh harap!
Namun semuanya tidak
berlaku. Surya tidak memeluknya. Malah Surya juga langsung tidak mendekatinya.
Rindunya terbiar sepi. Aduhai anak...
“Mari, saya tunjukkan
bilik mak.” Surya berjalan ke arah pintu.