Makyung Bedah termenung seketika. Dia teringat kepada
Azman. Sejak kahwin, Azman berubah menjadi anak yang kasar dan lupa jalan
pulang ke kampung itu. Mungkin benar kata Imran itu.
“Kenapa Bedah?” Mak Semah cuak melihat wajah Makyung Bedah
yang berubah rona.
“Kau beruntung Semah. Anak kau sangat baik dan penyayang.Anak-anak aku…”
“Ish! Janganlah kata macam tu.Kau tetap kena bangga dengan anak-anak kau. Mereka semua
berjaya. Berkat usaha gigih kau, kau mampu membesarkan mereka dengan jayanya.
Mariam kini seorang guru. Azman seorang ahli perniagaan yang berjaya. Surya
pula, mewarisi bakat dan kebolehan kau. Dia jadi penyanyi tersohor.”
“Itu aku tahu. Mereka memang berjaya.Aku bangga. Tapi, aku tidak bangga dengan perangai mereka.”
“Aku ni hanya ada satu anak. Dialah racun dan dialah penawar.”
“Semah, Imran tu budak baik.
Walaupun dia tak ada pangkat tinggi dan tak makan gaji tapi dia anak yang taat
dan soleh. Lebih baik ada satu anak daripada tidak ada langsung macam aku ni,”
kata Makyung Bedah. Matanya merenung jauh ke halaman.
Hati Mak Semah berbunga bangga ketika Makyung Bedah memuji Imran.
Memang dia sangat bangga dengan apa yang dia ada. Seluruh kampung selalu memuji
kebaikan Imran.
“Mengumpat saya ke Mak Bedah?” tegur Imran dari belakang.
Makyung Bedah dan Mak Semah menoleh.
Imran menyengih. Makyung Bedah melihat wajah itu sangat
polos dan tulus.
“Tak mengumpat, tapi memuji saja. Im memang anak yang baik,”
jawab Makyung Bedah.
“Kalau Mak Bedah nak makan telur itik dan angsa, saya boleh
berikan saja. Tak payah nak pujisaya
melambung macam ni,” kata Imran dengan ketawa.
Makyung Bedah ikut ketawa. Rasa segar jiwanya. Rasa ringan
beban fikirnya.
“Kau memang baik. Mak Bedah tak tipu. Ini cakap masjid.”
Ketawa Imran pecah berderai.
“Pandai juga Mak Bedah melawak ya!”
Mak Semah ikut ketawa. Dia senang hati melihat wajah
sahabatnya cerah ceria.
“Im, buatkan air. Dah lama Mak Bedah datang, tapi belum
minum lagi,” suruh Mak Semah setelah ketawa mereka usai.
“Menjunjung perintah, mak,” gurau Imran sambil segera
berjalan ke arah dapur.
“Anak-anak kau tak telefon, Bedah?”
Makyung Bedah menggeleng.
“Mungkin mereka sibuk.Kaulah yang kena telefon mereka,” kata Mak Semah.
“Aku nak malas, Semah. Kalau aku telefon, mereka bukan nak jawab pun!
Kalau mereka jawab, bukan mereka nak tanya aku ni sihat ke tidak.”
“Habis, apa yang mereka tanya?”
“Mereka tanya: mak, duit dah habis ke? Kalau duit ada lagi
mak tak payah ganggu kami! Kami tahu tanggungjawab kami pada mak,” jawab
Makyung Bedah dengan wajah muram.
Mak Semah mengurut dada. Kenapa begitu sekali Azman, Maryam
dan Surya melayan emak mereka. Tidakkah mereka rasa bersalah dan berdosa
membiarkan seorang ibu terkutang-kating seorang diri?
“Surya dah semakin
terkenal. Kau beruntung, Bedah.” Mak Semah cuba membuat Makyung Bedah rasa senang
hati.
“Beruntung kenapa? Aku tak rasa apa-apa pun.”
Mak Semah terdiam seketika. Kecil hati Makyung Bedah sangat parah dan lukanya sangat dalam.
“Mari kita basahkan tekak, Mak Bedah. Ini, ada jemput-jemput
pisang yang masih panas.”Imran muncul sambil menatang dulang
minuman dan sepinggan jemput-jemput.
“Rajinnya kau, Im.” Makyung Bedah memuji ikhlas.
“Tak payah puji-puji. Dah memang kerja saya sebagai inang pengasuh di
rumah ini,” jawab Imran sambil melentikkan jarinya untuk menggayakan tarian
makyung.
Hati Makyung Bedah tersentuh dengan gaya Imran.Sekali lagi dia teringat kepada anak-anaknya. Alangkah bagus
kalau mereka menghargai ‘kepandaiannya’ itu.
Sebelum ingatannya melata kepada penghinaan anak-anaknya terhadap dunia
makyung dan masa lalunya, dia segera mencapai sebiji jemput-jemput pisang dan
mengunyahnya.
“Mak nak makan jemput-jemput ni?”
“Boleh juga. Tengok Mak Bedah kau makan, nampak sedap pulak,” jawab Mak
Semah dengan senyuman terpaksa. Dia perasan apa yang berlaku di hadapannya
tadi.
Imran menghulurkan sebiji jemput-jemput kepada Mak Semah dengan penuh
hormat. Dengan perlahan, Mak Semah mengunyah.
Suasana sepi. Masing-masing mengunyah dan menikmati rasa jemput-jemput buatan
Imran.
“Ini kuih kesukaan Abang Mail,” kata Makyung Bedah tanpa menoleh.
Kunyahan Mak Semah dan Imran terhenti. Mereka saling berpandangan.
“Kau ingat lagi tak, masa aku mengandungkan Azman aku mengidam nak
makan jemput-jemput pisang. Waktu itu memang tak ada pisang. Puas Abang Mail
cari di sana sini, tapi tak dapat. Akhirnya, dia ganti jemput-jemput pisang
dengan jemput-jemput ikan bilis. Aku menangis sepanjang malam. Kesian Abang
Mail. Keesokan harinya dia cari pisang sampai dapat. Dia sangat baik… ” Suara
Makyung Bedah sebak.
Mak Semah ikut sebak.
“Dahlah. Hal yang lama itu jangan diingat lagi.”
“Ya. Hal itu sudah lama.Tapi ia tetap ada dalam ingatan aku,
Semah. Ia seperti baru semalam berlaku.
Aku rasa macam Abang Mail tak mati.”
Kunyahan diteruskan. Matanya mula berkaca. Namun dia cuba menahan agar
kaca itu tidak pecah dan jatuh berderai.
“Walaupun saya tak sempat mengenalinya, saya yakin arwah Pak Mail
seorang yang sangat baik dan berbudi kepada orang kampung ini. Sebab itu
namanya tidak putus disebut dan dikenang,” kata Imran pula.
“Memang dia sangat baik, Im. Iman dan budi bahasanya tidak ada tolok
bandingnya,” kata Mak Semah sebagai mewakili suara Makyung Bedah.